Terengganu sokong langkah SPRM wajibkan ahli politik, pegawai kanan isytihar harta – MB

Terengganu sokong langkah SPRM wajibkan ahli politik, pegawai kanan isytihar harta – MB

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata berdasarkan undang-undang baharu itu, mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan penjara atau denda.

KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu menyambut baik langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewujudkan akta yang akan mewajibkan ahli politik serta pegawai kanan kerajaan membuat pengisytiharan harta.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya sentiasa mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarang cadangan atau usaha SPRM dalam menangani isu integriti termasuk melibatkan pentadbiran negeri.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata berdasarkan undang-undang baharu itu, mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan penjara atau denda.

“Berkaitan perkara ini, kita akan tunggu maklumat balas daripada SPRM untuk berhubung dengan kerajaan negeri. Untuk makluman semua wakil rakyat kita telah pun melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada Februari lalu sebagai komitmen untuk mencegah gejala rasuah.

“Bagaimanapun, kita akan ambil langkah yang sesuai dan bertepatan bagi menyokong pelaksanaan peruntukan khusus dalam Akta SPRM 2019 yang dijangka direalisasikan hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Terengganu Inc Group Corporate Directors Programme di sini, hari ini (21 April 2019).

Program berbentuk taklimat itu bertujuan memberi maklumat dan pengetahuan baru kepada ahli lembaga pengarah dan pengerusi anak syarikat kerajaan negeri supaya lebih kompetitif dan berdaya maju.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan tetap melaksanakan penutupan 50 anak syarikat yang tidak menjalankan sebarang perniagaan bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau akan mengadakan perjumpaan khas dengan pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat berkaitan sebelum satu pengumuman dibuat.

“Setakat ini, jumlah anak syarikat yang akan ditutup masih sama dan saya akan maklum pada mereka (pengerusi dan ahli lembaga pengarah) apabila tiba masanya.

“Adalah tidak wajar untuk kita buat pengumuman tanpa maklum terlebih dahulu kepada pemegang-pemegang taruh yang terlibat,” katanya.

http://bernama.com/bm/news.php?id=1718689

— Bernama

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.