Apakah Islam hanya ibadat?

Apakah Islam hanya ibadat?

 

Oleh DR ISMAIL IBRAHIM

Seorang Muslim haruslah mempunyai pandangan hidup yang menyeluruh, termasuk ketika membicarakan ibadat sendiri, bahawa hal ini mengandungi ibadat fardu ain, dan fardu kifayah yang amat luas itu. Islam bukan hanya tertumpu kepada ibadat khusus, tetapi juga merangkumi ibadat umum dalam kategori fardu kifayah.

SEBENARNYA ketika membicarakan tentang agama Islam, bukanlah pembicaraan hanya berkisar di sekitar hukum dan fatwa sahaja. Islam sendiri telah menjelaskan tentang fungsi hukum hakam yang dimaksudkan, iaitu ketika Islam menentukan bahawa dalam Islam ada beberapa kategori perintah Allah, iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Keseluruhan konsep semua kategori aturan perintah Allah ini telah difahami orang Islam, terutama dalam menentukan kerja dan amalan yang boleh dilakukan dan yang tidak seharusnya dilakukan.

Yang seharusnya dilakukan, dalam erti mesti, ialah wajib, namun terdapat yang digalakkan iaitu sunat, dan hukum harus yang memberikan perseimbangan untuk dilakukan, atau pun tidak. Dalam bab tegahan pula ialah amalan yang dijauhkan ialah haram, malah yang amat tidak digalakkan untuk dilakukan ialah makruh. Bagaimana pun pentafsiran tentang hukum yang saya jelaskan di sini hanyalah untuk difahami orang awam, bukanlah istilah dan huraiannya secara saintifik dan akademik.

Hal ini difahami kebanyakan umat Islam, terutama dalam budaya Melayu yang terpengaruh dan sebati dengan ajaran Islam. Malah bagi budaya Melayu sendiri ketika disebutkan perbuatan yang wajib dilakukan, dan perbuatan yang haram, perbezaannya jelas sekali tentang dua kriteria perbuatan ini, yang satunya mesti dilakukan, dan yang satu lagi jangan dilakukan.

Hal ini amat jelas dengan cabang-cabang hukuman Allah dalam kategori sunat dan makruh serta harus untuk dilakukan. Malah hal ini, terutama dalam dekad-dekad awal kedatangan Islam, termasuk ke alam Melayu ini, ketika Tok Guru hanya beberapa orang saja yang menjalankan pengajarannya di kampung-kampung lama dulu, amat difahami umum, kerana mereka lebih menekankan tentang perbuatan yang mesti dilakukan, dan yang semestnya ditinggalkan, yang termasuk dalam kategori wajib dan haram.

Tetapi senario ini agak berbeza dalam masyarakat Islam ketika memasuki zaman teknologi maklumat dan intelektual baru, ketika para saintis dan ahli akademik banyak membicarakan cabang ilmu secara holistik dan lebih mendalam.

Hal ini mungkin mempengaruhi kaedah pembelajaran dan kajian ahli dan ilmuwan agama sendiri yang dalam kepelbagaian cabang ilmu itu lebih cenderung membicarakan skop menyeluruh itu dalam bab hukuman dan fatwa semata-semata, lalu pembelajaran agama hanya banyak berfokus kepada cabang hukum terutama dari sudut Syariah dan amalam peribadi, atau yang hanya memfokuskan kepada hukum sunat dan harus, makruh dan haram sahaja, tanpa membicarakan tentang falasah hukum bagi sesuatu cabang ilmu itu, dan hubungannya dengan iman dan akhlak manusia, yang lebih luas bidang pembicaraannya.

Sungguh pun istilah ekstremis tidak wujud dalam Islam, tetapi baginda Rasulullah SAW dari awal lagi menyatakan tentang sikap baginda sebagai seorang manusia yang perlu menjaga keseimbangan antara tuntutan jasmani dan rohani, ruh dan jasad Baginda. Para sahabat Baginda menyangka bahawa sebagai Rasul dan Nabi, Baginda tentulah bersolat sepanjang malam, berpuasa saban hari, malah mungkin juga seorang Muslim tidak perlu berkahwin.

Hal ini diterangkan sendiri oleh Baginda, bahawa Baginda berpuasa dan berbuka, bersolat malam dan tidur, malah berkahwin. Hal ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa terdapat keseimbangan dalam kehidupan kerohanian dan fizikal Baginda, kerehatan dan tuntutan jasmani yang harus dipenuhi. Namun dengan itu Baginda juga menunjukkan bahawa aktiviti keagamaan adalah meliputi berbagai dimensi spiritual dan fizikal manusia. Pemikiran yang terlalu dangkal, atau simplistik tidak wujud dalam jiwa orang Islam, malah dengan hanya berdoa dan membaca ayat-ayat tertentu siang malam, membawa seseorang ke syurga dengan pastinya, haruslah diberikan pentafsiran yang jelas dan menyeluruh.

Pemusatan kuliah, tazkirah dan kelas agama yang hanya menumpukan kepada pemikiran yang dangkal dan simplistik seperti ini haruslah disertai dengan penjelasan yang lebih ilmiah daripada hanya mengambil doa dan agama sebagai ramuan ubatan yang membawa seseorang itu ke syurga, terutama tanpa menghubungkannya dengan amalan soleh yang seharusnya dilakukan oleh seorang hamba Allah yang juga melengkapi tuntutan akidah dan Syariah serta komponen terpenting dalam agama kita iaitu akhlak dan nilai peradaban yang seharusnya menjadi amalan umat Islam itu sendiri.

Tanpa menghubungkan agama dengan budaya manusia, jasmani dan rohani, maka kita sering melihat bahawa dunia kerohanian dan fizikal manusia sering dipisahkan oleh Syariah sendiri. Ibadat wuduk, solat dan infaq mempunyai hubungan yang rapat dengan kebersihan, disiplin, pengurusan masa, dan semua pengurusan dengan diri sendiri dan masyarakat di sekeliling.

Membaca dan mencari ilmu pengetahuan merupakan perutusan utama yang diterima oleh Baginda, dengan ungkapan “Iqra’” (Bacalah) Sekiranya umat Islam dibekalkan dengan perutusan ini dengan penuh komitmennya, dan tindakan selanjutnya dari budaya membaca dan menuntut ilmu dalam segala cabangnya, maka umat Islam tidak akan jatuh dalam dunia buta huruf pada umumnya, dan nescaya umat Islam akan menguasai ilmu pengetahuan dengan baik dalam dunia ini, malah sekiranya dikaitkan juga dengan pembangunan ekonomi, zakat, waqaf dan sedekah atau infaq, maka ekonomi umat Islam juga akan maju dan meningkat untuk kepentingan dunia dan akhirat umat Islam sendiri.

Oleh itu dalam memberi kuliah, tazkirah, menganjurkan kelas agama, tahfiz dan sebagainya, malah dalam menyampaikan pendidikan Islam, pada masa kini, maka hal itu adalah merupakan sebahagian daripada cara hidup dan budaya yang menyeluruh bagi masyarakat sendiri. Budaya hidup masyarakat merupakan satu kesatuan dan elemen penting dalam hidup manusia ketika mengamalkan sistem ibadat, hukuman dan fatwa, tatasusila dan cara hidup spiritual dan fizikal manusia, pembangunan ekonomi dan kekuatan kebendaan masyarakat, malah politik dan pemerintahan negara itu sendiri.

Sistem pemerintahan umpamanya yang berpaksikan kaedah demokrasi dan perlembagaan dan undang-undang yang tertentu haruslah dibawakan dalam amalan yang beragama dan iman, amanah dan adab, walau pun politik sering menimbulkan sengketa dan perselisihan, namun agama mempunyai sistem masyarakat yang tertentu dalam hal ini, terutamanya dalam aspek akhlak, kepemimpinan dan sebagainya.

Budaya hidup inilah yang mencatatkan sejarah kegemilangan Islam dalam peradaban dan nilai kehidupan bermutu dalam sejarah dunia ini, sehingga Islam telah berjaya membentuk semula pada masa kini dengan masyarakat maju di Andalusia dan Eropah, yang sekarangnya ini bangun semula di Bosnia Herzegobina, Albania dan Croashia.

Hal ini perlu dipelajari dengan baik, kerana pembangunan cara hidup Islam dan budaya mereka, sering dicabar dan ada kalanya dibunuhkan seperti yang berlaku di Eropah pada zaman silam, seperti di Granada dan Qurduba, namun Islam dengan cara hidupnya yang maju dalam negara Eropah baharu mungkin dapat kembali hidup semula seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Tegasnya kefahaman kita dalam masyarakat negara kita sendiri, terutama dalam budaya Melayu Muslim sekarang ini haruslah dibangunkan dalam bentuk dan sistem yang baharu, supaya masyarakat Melayu dan budayanya akan dapat bangun dalam dunia ini dengan penuh legasinya, bersumberkan ajaran Islam yang holistik dan sepadu, universal dan bertamadun.

Pada awal-awal era kebangkitan Islam sekitar tahun-tahun tujuh puluhan kita sering bertemu pandangan para pejuang Islam tentang takrifan ibadat di dalam Islam, yang merangkumi ibadat khusus dan ibadat umum mengikut ruh dan semangat Islam sendiri. Dengan itu, maka ibadat sendiri mengandungi dua wajah, iaitu ibadat khusus dan ibadat umum. Rukun-rukunnya sama iaitu niat kerana Allah SWT, amalan yang harus dilakukan, dan proses membuat amalan baik itu tidak melalaikan kewajipan hamba Allah dalam amalan dan ibadatnya yang khusus.

Hal ini dijelaskan dengan amat panjang, iaitu apakah ibadat khusus dan apakah ibadat umum itu. Mungkin hal ini dapat dicernakan oleh para ulamak dan intelek Islam yang menguasai semua bidang ilmu, iaitu agama dan profesional, untuk menjelaskan apakah ibadat khusus yang terlaksana dalam fardu ain, dan apakah bentuk ibadat umum, yang terlaksana dengan fardu kifayah itu.

Jadi seorang Muslim haruslah mempunyai pandangan hidup yang menyeluruh, termasuk ketika membicarakan ibadat sendiri, bahawa hal ini mengandungi ibadat fardu ain, dan fardu kifayah yang amat luas itu. Tegasnya Islam bukan hanya tertumpu kepada ibadat khusus, tetapi juga merangkumi ibadat umum dalam kategori fardu kifayah.

— BebasNews.my

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.