Isu pelantikan Ketua Hakim Negara: AG kena bantu nasihat PM

Isu pelantikan Ketua Hakim Negara: AG kena bantu nasihat PM

 

Perlembagaan menyatakan dengan jelas dan terang dalam Perkara 122B bahawa Ketua Hakim Negara ‘hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja’.

BANGI – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat, seolah-olah wujudnya kecelaruan dalam memahami Perlembagaan Persekutuan oleh pihak eksekutif.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian susulan kenyataan perdana menteri ketujuh itu berhubung isu pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum.

Dalam temu bual dengan akhbar berbahasa Inggeris, The Star yang diterbitkan hari ini (22 April 2019), Dr Mahathir berkata, Pakatan Harapan (PH) telah memilih calon, tetapi masih belum mendapat pengesahan daripada Majlis Raja-Raja.

“Saya selalu fikir bahawa Agong adalah orang yang mesti meluluskan semua pelantikan senior tetapi entah bagaimana atau sebaliknya, terdapat rujukan kepada Majlis Raja-Raja. Sekarang, bukan hanya Agong tetapi juga harus merujuk kepada Majlis Raja-Raja,” kata Dr Mahathir.

Kesal dengan kenyataan itu, Asyraf berkata, tidak timbul persoalan mengapa kini Majlis Raja-Raja dibabitkan sama dalam lantikan Ketua Hakim Negara.

Ini kerana, katanya, Perlembagaan Persekutuan sejak dahulu lagi memang menggariskan dengan jelas dan terang bahawa lantikan Ketua Hakim Negara ini hendaklah dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) selepas Baginda berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Kenyataan Tun Dr Mahathir ini menimbulkan pelbagai persoalan, adakah beliau cuba tidak memahami atau beliau sememangnya tidak membaca Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas dan terang dalam Perkara 122B bahawa Ketua Hakim Negara ‘hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja’.

“Tun perlu akur bahawa beliau tidak mempunyai kuasa mutlak dalam lantikan Ketua Hakim Negara ini, sebaliknya beliau terikat dengan pelbagai prosedur, khususnya yang terpenting adalah perkenan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Asyraf yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas menasihati Dr Mahathir berhubung isu ini.

“Di sinilah peranan yang seharusnya dimainkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas dalam menasihati Perdana Menteri, bukannya sibuk melayani kerenah puak liberal yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

https://www.ismaweb.net/2019/04/22/ag-kena-bantu-nasihat-pm-usah-sibuk-layan-kerenah-puak-liberal/

— ISMAweb

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.