Komen Anina tentang papan iklan Good Friday tidak bijak, kata peguam syariah

Komen Anina tentang papan iklan Good Friday tidak bijak, kata peguam syariah

KOTA KINABALU — Seorang peguam syariah mempersoalkan kritikan bekas ketua wanita PPBM, Anina Saadudin terhadap papan iklan di Sabah yang menunjukkan ucapan Good Friday kepada penganut Kristian dengan menyifatkannya sebagai “tidak bijak dan tidak cerdik”.

Hamid Ismail, yang bertanding atas tiket PAS di kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas berkata, ia juga menimbulkan ketegangan tidak perlu antara rakyat Malaysia di Sabah dan semenanjung.

Katanya, walaupun beliau sendiri kurang senang dengan penggunaan papan iklan untuk acara agama di Sabah, namun beliau percaya Anina tidak perlu mengkritiknya, sama ada untuk tujuan politik atau meraih populariti.

“Apa-apa yang nampak baik di semenanjung Malaysia tidak semestinya baik di Sabah dan sebaliknya.

Hamid Ismail.

“Di Sabah, papan iklan dengan mesej khas untuk penganut Kristian adalah perkara biasa. Ia pernah berlaku sebelum ini semasa pilihan raya umum ke-14,” katanya kepada FMT.

Kenyataan Anina yang dimuat naik ke media sosial Jumaat lepas dibantahi oleh sesetengah pengguna internet.

Beliau berkata, sebelum ini iklan sedemikian hanya menggunakan banner dan bunting, tetapi kini ia naik “pangkat” kepada papan iklan.

“Tak cukup tinggi boleh guna ‘crane’ bagi tinggi lagi. Tak cukup besar nanti, boleh tambah tiang supaya saiznya boleh ‘double’. Tahun depan boleh iklan dalam TV pula. Sama ratalah katakan,” katanya.

Hamid berkata, jika kenyataan Anina dibuat atas dasar kebimbangan berhubung isu agama sekalipun, beliau seharusnya menyalurkan kebimbangan itu kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Biar pihak berwajib menentukan sama ada berlaku perlanggaran peraturan atau undang-undang,” katanya.

“Saya pasti pihak berkuasa tahu tentang Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan mengenai larangan penyebaran ajaran atau kepercayaan agama dalam kalangan penganut Islam.”

Hamid berkata, rakyat Sabah hidup aman dan harmoni walaupun masyarakatnya berbilang agama dan kaum kerana rasa hormat dan sikap toleransi berakar kuat dalam kehidupan mereka.

Tony Paridi Bagang.

Penganalisis politik Tony Paridi Bagang berkata, sikap taksub hanya akan meningkatkan rasa kurang percaya rakyat Sabah terhadap penduduk semenanjung.

Beliau berkata, kritikan terhadap perbuatan Anina itu menunjukkan rakyat Sabah dan Sarawak tidak akan menerima ketaksuban agama.

“Komen itu tidak seharusnya dibuat sama sekali. Ia hanya menunjukkan kejahilan beliau mengenai hubungan kaum dan toleransi agama yang wujud di Sabah.

“Komen beliau tidak membantu memupuk kesatuan dalam kepelbagaian. Sebaliknya ia mencetuskan rasa prejudis dalam kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/04/22/komen-anina-tentang-papan-iklan-good-friday-tidak-bijak-kata-peguam-syariah/
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.