Menteri Besar Perak: Kerajaan negeri perinci infrastruktur Pulau Bebas Cukai (PBC) Pangkor

Menteri Besar Perak: Kerajaan negeri perinci infrastruktur Pulau Bebas Cukai (PBC) Pangkor

Kita juga perlu pastikan atau pun mendidik penduduk tempatan yang mempunyai atau memiliki tanah di sana supaya tidak menjual tanah mereka sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan atau swasta untuk memajukan kawasan berkenaan supaya dapat dimajukan sebagai pusat pelancongan utama di negeri kita.

 

IPOH — Kerajaan negeri sedang memperincikan keperluan teknikal bagi semua projek infrastruktur Pulau Bebas Cukai (PBC) Pangkor yang dijangka akan mula beroperasi 1 Januari tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata antara yang sedang diperincikan termasuklah pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ).

“Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri pada masa ini sedang menyelaras aspek pelaksanaan yang berkaitan termasuklah keperluan CIQ dan projek keutamaan lain bagi membolehkan PBC Pangkor dibangunkan secara strategik serta bersepadu demi manfaat rakyat negeri Perak.

“Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 22 Januari 2019 sudah pun bersetuju dengan penetapan polisi PBC Pangkor termasuklah penetapan lokasi pintu masuk iaitu jeti di pekan Pangkor sebagai Jeti Awam Pelancong dan jeti di Sungai Pinang Besar sebagai Jeti Kargo.

“Proses pewartaan PBC Pangkor sedang dalam tindakan Kementerian Kewangan untuk meminda Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Cukai Jualan 2018, Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan Akta Zon Bebas 1990 serta semua perundangan subsidiari yang terbabit,” katanya menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor) pada sesi soalan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan dikemukakan Teoh Yee Chern (PH-Astaka) yang mahu tahu usaha yang sudah dilaksanakan kerajaan dalam memastikan rakyat terus mendapat limpahan kemakmuran dan tidak mendapat nasib seperti  `lebai malang’ apabila usaha itu dilaksanakan, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri sentiasa menyelaras gerak kerja termasuk perancangan jangka masa panjang, sederhana dan pendek.

“Kita perlu melipatgandakan usaha dalam jawatankuasa kerja membabitkan kerjasama strategik negeri dan Persekutuan dan jawatankuasa kerja ini perlu memberikan tumpuan khusus kepada perkara yang perlu diberikan perhatian penyelarasan keselamatan dan infrastruktur yang perlu diberikan keutamaan bagi merealisasikan impian PBC Pangkor 2020.

“Pada masa  sama, kita juga perlu pastikan atau pun mendidik penduduk tempatan yang mempunyai atau memiliki tanah di sana supaya tidak menjual tanah mereka sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan atau swasta untuk memajukan kawasan berkenaan supaya dapat dimajukan sebagai pusat pelancongan utama di negeri kita,” katanya.

— Berita Harian

 

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.