PRK Sandakan: PBS sahkan akan bertanding

0
2

 

Kita masih meneliti senarai nama dan berharap boleh membuat pengumuman (mengenai calon) sebelum hari penamaan calon. Kita ada senarai calon berpotensi yang panjang dan ahli serta akar umbi di Sandakan masih menghantar senarai nama calon.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengesahkan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, pada 11 Mei ini, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat di sini, baru-baru ini dan menggambarkan penyertaan parti itu bagi menyahut permintaan serta sokongan akar umbi.

Katanya, PBS kini pada peringkat menyaring senarai nama memilih calon terbaik yang boleh menang.

“Kita masih meneliti senarai nama itu dan berharap boleh membuat pengumuman (mengenai calon) sebelum hari penamaan calon. Kita ada senarai calon berpotensi yang panjang dan ahli serta akar umbi di Sandakan masih menghantar senarai nama calon.

“Senarai itu termasuk pemimpin dalam parti dan dari luar. Kami teruja untuk mengibarkan bendera parti pada pilihan raya kali ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini (22 April 2019).

Kali terakhir PBS menggunakan bendera sendiri Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1999, sebelum bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pada 2002.

PBS kemudian mengumumkan keluar BN tahun lalu susulan prestasi teruk kerajaan pada PRU-14.

PRK Parlimen Sandakan ditetapkan pada 11 Mei depan dengan penamaan calon Sabtu ini, susulan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Setakat ini, tiga calon Bebas sudah mengesahkan bertanding PRK itu, manakala beberapa parti termasuk Gabungan Bersatu Sabah (GBS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan MCA turut menunjukkan minat bertanding, namun tiada pengumuman rasmi dibuat sehingga kini.

https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/04/555844/pbs-tanding-prk-sandakan

— Berita Harian

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here