[VIDEO/AUDIO] ABANG TAHU KAU LAPAR…

[VIDEO/AUDIO] ABANG TAHU KAU LAPAR…
Ilustrasi atas: Hunger by The Sea Sue SudburyBournemouth University

 

PROSA bacaan Dato’ Zaini Hassan sempena pelancaran #alumniUiTMforFoodBank oleh Yayasan Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B), alumni UiTM Malaysia di Hotel Tamu, Kampung Baharu KL pada 8 April 2019.

 

ABANG TAHU KAU LAPAR

 

Abang tahu kau lapar
Kerana bukan semua macam kita

Ada yang bernasib baik, ada yang kurang
Ada yang tiada masalah, ada yang bermasalah

Ada yang semasa susah, wang akan tiba
Ada yang semasa susah, wang tak kunjung tiba

Kerana apa, kerana orang tua kita berada di kampung Charok Bunting, Siong sana,
Sedangkan orang tua dia, di Bukit Damansara

Kita bukan sama. Taraf kita bukan sama

Ada kala kocek kita kosong. Terpaksa menagih sana-sini.
Jika sahabat yang baik, dia akan kongsi — aku 5 ringgit, kau 5 ringgit;

Jika ada sahabat yang pokai semacam aku, jom kita makan di sana sahaja!

Kita ke Masjid,  isi perut — nasi bungkus fakir miskin — untuk orang semacam kita

Balik ke asrama kita ulang kaji lagi
Aku berdoa kepada Yang Maha Esa kuatkanlah semangat aku
Kuatkan kudrat aku.

Aku belajar untuk menjadi seorang engineer; accountant; lawyer…
Mengubah nasib keluarga aku di charok nun di sana. Charok itu maknanya ceruk hululah!

Mengubah nasib aku yang rumah masih; berdindingkan buluh; beratap rumbia; berlantai nibung.

Adik beradik 8 orang. Bapa penoreh getah. Kejab ada hasil, kejab tiada. Kerja membanting tulang, hasilnya beberapa kupang sahaja;

Siapa kata suasana itu sudah tiada. Pergilah ke Charok Bunting, Mukim Siong di sana, kau akan saksikannya.

Anak-anak orang  Bukit Damansara tidak tahu itu semua;
Tak pasti adakah mereka sedar?

Namun harapan aku
Walaupun aku makan di masjid, kekadang tertidur di masjid
Alhamdulillah. Masih ada makan

Ya Allah, bukalahlah hati abang-abangku
Membantu pada yang lebih asnaf daripada aku

Bantulah mereka. Bantulah mereka

Kita semua bukan sama. Aku dan kau bukan sama

Atap genting, atau atap rumbia. Bukanlah sama

Namun, aku tak pernah menyesal. Itu ketentuan illahi

Terpulanglah kepada aku untuk mengubahnya

Terima kasih UiTM, kerana memberi peluang kepada aku — tanpa kau mengira darjat.

Walaupun aku dari atap rumbia, masih dapat bersama sahabatku dari atap genting. Kami tidur seasrama.

Terima kasih abang-abangku sekelian, yang telah berjaya di luar sana

Ingatkan kami di sini ya; yang masih kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu ada.

Terima kasih abang-abangku. Kerana terus membantu.

Terima kasih, terima kasih…

 

 

 

Zaini Hassan
30 Mac 2019
Shah Alam.
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.