Perketat peraturan terhadap penunggang motosikal berkuasa tinggi

Perketat peraturan terhadap penunggang motosikal berkuasa tinggi
(GAMBAR) PANELIS bersama hos-hos rancangan Sila Duduk Jangan Lari bertajuk Konvoi Superbike: Highway Jadi Litar yang disiarkan secara langsung dari TV Al Hijrah pada 22 April 2019. – Foto BebasNews.my

 

Oleh NURULANUAR MANSOR

Pengetahuan teknikal tunggangan akan memberikan penunggang tunggangan yang lebih terkawal, baik dan menyelamatkan dirinya dan pengguna jalan raya yang lain. Itulah kenikmatan sebenar ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi.

SIKAP dan cara penunggangan motosikal berkuasa tinggi bergantung kepada pengalaman dan kematangan penunggangnya.

Walaupun kebanyakan penunggang motosikal berkuasa tinggi menunggang secara berhemah, tidak dinafikan ada segelintir dalam kalangan mereka yang memandang ringan undang-undang jalan raya serta keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Keadaan ini berlaku kerana keterujaan tidak terkawal penunggang terutama mereka yang baru berjinak dengan motosikal berkuasa tinggi.

Perkara itu dinyatakan oleh dua panelis jemputan program bual bicara Sila Duduk Jangan Lari (SDJL), Nazahim Mohd. Yusoff dan Nurull Hadi Ramli berdasarkan kepada pengamatan mereka selama berkecimpung dalam kegiatan bermotosikal berkuasa tinggi.

NAZAHIM MOHD YUSOFF

Nazahim dan Hadi merupakan dua ikon media sosial dalam kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi tempatan yang dijemput untuk berkongsi pendapat membincangkan isu Konvoi Superbike: Highway Jadi Litar yang menjadi tajuk episod ke-69 rancangan mingguan terebut.

Dalam perbincangan yang disiarkan secara langsung dari TV Al Hijrah pada malam Selasa (Isnin 22 April), kedua-dua mereka bersetuju bahawa keadaan itu mewujudkan kewajaran bagi pihak berkuasa untuk mengkaji kemungkinan undang-undang yang berkaitan dengan penunggang motosikal berkuasa tinggi diperketat.

Menurut Nazahim, langkah tersebut mungkin dapat membantu mendidik penunggang motosikal berkuasa tinggi menunggang dengan lebih berhemah.

“Sikap dan cara tunggangan bergantung kepada diri masing-masing. Ramai dalam kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi mempunyai pengalaman, pengetahuan teknikal dan kawalan diri yang baik, namun tidak dinafikan, ada juga segelintir yang tidak mempunyai semua itu.

“Justeru, inilah antara kewajaran untuk memperketat undang-undang ataupun peraturan yang membabitkan penunggang motosikal berkuasa tinggi,” kata beliau kepada BebasNews.my ketika ditemu bual selepas rancangan itu

NURULL HADI RAMLI

Bagi Nurull Hadi pula, setiap penunggang motosikal berkuasa tinggi perlu mempunyai pengetahuan teknikal dan kawalan diri yang baik ketika menunggang.

Menurut beliau, penunggang yang berpengalaman seperti dirinya dan Nazahim lebih mementingkan pengalaman dan keselamatan menunggang daripada kelajuan.

“Pengetahuan teknikal tunggangan akan memberikan penunggang tunggangan yang lebih terkawal, baik dan menyelamatkan dirinya dan pengguna jalan raya yang lain.

“Itulah kenikmatan sebenar ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi,” katanya.

Dalam episod yang dimudahcarakan oleh personaliti televisyen terkemuka, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf dan wartawan BebasNews.my, Nurulanuar Mansor tersebut, kedua-dua panelis juga bersependapat tidak adil jika masyarakat menyalahkan semua penunggang motosikal berkuasa tinggi hanya kerana sikap segelintir daripada kelompok itu.

Menurut mereka, banyak perkara positif yang dilakukan oleh kelompok penunggang motosikal berkuasa tinggi yang boleh dijadikan contoh oleh masyarakat.

Dalam masa sama, kedua-dua panelis juga menasihatkan mereka yang mahu berkecimpung dalam kegiatan bermotosikal berkuasa tinggi untuk mendidik diri sentiasa berhemah ketika melakukan tunggangan demi kepentingan semua pihak.

Rakaman siaran SDJL berkenaan boleh ditonton pada pautan berikut https://www.facebook.com/tvalhijrah.TVAH/videos/520783065119049/

— BebasNews.my

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.