Ramadan bukan bulan membazir makanan

0
54

 

APA SAJA bersama NAZERI NONG SAMAH

Kalau dulu yang agak pelik nama kuih ‘badak berendam’ dan ‘ayam neraka’ dijual di pasar Ramadan, tetapi sejak dua tiga tahun lalu kuih baharu diperkenalkan ialah ‘kuih kuba guling’ ori Rantau Panjang, Kelantan.

TIDAK lama lagi pada hari Isnin 1 Ramadan 1440 (Hijrah) bersamaan 6 Mei 2019 (Masehi), insya-Allah umat Islam sedunia akan mula menunaikan ibadat puasa Ramadan selama 30 hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari Rabu 1 Syawal 1440 (Hijrah) bersamaan 5 Jun 2019 (Masehi) bagi Muslim Malaysia.

Dalam konteks Muslim Malaysia ini, sayugia diingatkan mulai sekarang ketika era kegawatan ekonomi diharap mereka perlu insaf bahawa Ramadan bukan bulan untuk membazir makanan seperti amalan membuat atau membeli makanan mengikut hawa nafsu lapar berpuasa siang hari, tetapi tidak pernah habis sepenuhnya apabila menjamu selera berbuka puasa.

Mengikut kaji selidik bagi tahun 2015 oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendapati sepanjang 30 hari bulan Ramadan menyaksikan sebanyak 270,000 tan sisa makanan terbuang dengan purata 9,000 tan sehari.

Terdapat juga pendapat ilmiah yang menganggarkan 270,000 tan makanan membazir terbuang itu mampu memberi makan kepada 180 juta orang iaitu enam kali ganda daripada keseluruhan lebih 32 juta penduduk Malaysia sekarang.

Geleng kepala kita melihat angka pembaziran tersebut yang bertentangan dengan ajaran Islam, apatah lagi kemungkaran itu berlaku ketika menunaikan ibadat Rukun Islam keempat daripada lima perkara.

Justeru firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang membazir itu saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah Al-Isra’ ayat 27).

Maka sudah jelas Islam melarang perbuatan membazir yang paling ketara khususnya dalam konteks ketika terlalu banyak membeli makanan dan minuman pada bulan puasa untuk tujuan memenuhi hawa nafsu lapar ketika berbuka puasa, tetapi pada akhirnya banyak berlebihan kerana perut kita bukan terlalu besar untuk diisi dengan segala macam rezeki tersebut.

Allah SWT turut berfirman yang bermaksud: “Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan (melampaui batas).” (Surah Al-A’raf ayat 31).

Sebaik-baiknya ketika zaman inflasi melanda dunia sekarang yang turut melibatkan Malaysia, marilah kita umat Islam khasnya memilih hidup bersederhana mengikut gaya hidup atau lebih afdal dengan istilah sunnah Nabi Muhammad SAW dan banyak riwayat menyebut baginda tidak makan berlebihan ketika berbuka puasa.

Ada pelbagai riwayat mengenai gaya Rasulullah berbuka puasa iaitu dengan hanya memakan kurma dalam jumlah yang ganjil sama ada tiga ulas atau tujuh ulas, kemudian meminum air putih jernih sebelum menunaikan solat.

Terdapat riwayat Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW biasanya berbuka puasa dengan rothb (kurma basah) sebelum menunaikan solat. Jika tidak ada rothb, maka baginda berbuka dengan tamar (kurma kering). Dan jika tidak ada yang demikian, baginda berbuka dengan seteguk air.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Sepintas lalu tentu ada yang berpendapat bahawa apa yang kurangnya pada Rasulullah SAW yang amat dikasihi Allah SWT boleh mendapatkan apa yang baginda mahu, tetapi baginda tetap tawaduk dengan memilih kehidupan sederhana, maka berapa ramai antara kita bersedia untuk mengikut cara junjungan besar kita itu berkaitan aspek makan dan minum ketika berbuka puasa?

Rasulullah SAW turut bersabda yang bermaksud: “Maka sesungguhnya orang yang paling lama lapar pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak kenyang di dunia.” (Hadis riwayat Baihaqi dan AtTirmizi).

Daripada beberapa pernyataan ringkas menerusi Firman Allah SWT dan Hadis Rasulullah SAW tersebut, ia bolehlah dijadikan bahan renungan, sekali gus bermuhasabah diri bagi umat Islam yang bijak berfikir dan membuat pertimbangan rasional terutama dalam era inflasi teruk dalam tahun 2019 ini menyebabkan ia memberi keinsafahan bahawa banyak pengajaran diperoleh daripadanya.

Sebelum ini kita juga pernah mendengar tazkirah oleh alim ulama mengenai mengenai ungkapan peringatan ‘Allah SWT akan menarik nikmat daripada golongan yang tamak, membazir dan tidak bersyukur,’ maka hakikanya inilah keadaan yang dialami, sekarang sekali gus menuntut agar umat Islam sekalian memilih gaya hidup serba sederhana Rasulullah SAW.

Oleh kerana harga barang mahal tanpa kawalan tertentu, eloklah kita berjimat cermat membeli pakaian raya, selain jika berkunjung ke pasar Ramadan nanti, berpada-padalah jangan menurut hawa nafsu bisikan syaitan ketika membeli juadah atau minuman untuk berbuka puasa. Belilah sekadar cukup untuk berbuka puasa agar tidak berlaku pembaziran.

Peniaga pasar Ramadan pun kreatif mencipta pelbagai makanan dan minuman menyelerakan untuk menggoda iman pembeli. Antaranya kini sudah berleluasa iklan kuih untuk pasar Ramadan dan kuih raya terdapat dalam media sosial.

Kalau dulu yang agak pelik nama kuih ‘badak berendam’ dan ‘ayam neraka’ dijual di pasar Ramadan, tetapi sejak dua tiga tahun lalu kuih baharu diperkenalkan ialah ‘kuih kuba guling’ ori Rantau Panjang, Kelantan. Nampak gayanya ‘kuih kerbau guling’ warna hitam seperti dodol itu simbolik berguling dilumur dengan tepung masak atau kelapa parut seperti kerbau berkubang dan berguling dalam lumpur.

Ketika memilih makanan di pasar Ramadan itu pastikan keadaannya bersih tidak dihurung ribuan lalat agen pembawa penyakit taun. Bagi membeli air minuman sejuk dengan pelbagai jenis termasuk teh hijau ais yang bukan ori teh, tetapi diperkaya dengan warna hijau tiruan memang menjadi rebutan pembeli hingga sanggup berbaris panjang.

Penulis pernah ke pasar Ramadan di kawasan Pandan, Selangor ketika hujan lebat tahun 2018. Air hujan daripada kanopi kotor gerai menjual air kelihatan mencurah-curah masuk ke dalam bekas air jualan yang dibiarkan sahaja oleh peniaga terbabit. Selepas hujan berhenti, orang ramai berebut-rebut membeli air minuman bercampur air hujan kotor itu.

Kadang-kadang terdapat juga penjual membancuh air jualannya dengan air paip mentah kerana memburu untung lebih tak mahu guna air mineral yang lebih bersih. Penjual air sedemikian tak pernah bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan pengguna. Jawablah di padang Mahsyar kelak atas kecurangan dilakukan sewaktu berada di pentas dunia…!

Masalah kebersihan di pasar Ramadan itu juga perlu sentiasa dipantau oleh penguat kuasa Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara bagi memastikan jualan air minuman bersih, selain makanan bertutup tidak dicemari lalat atau tiada menjual semula makanan sehari sebelumnya yang dikhuatiri telah basi sekali gus terdedah berisiko keracunan kepada pengguna.

— BebasNews.my

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here