Elfira Loy hamil, doa termakbul

Elfira Loy hamil, doa termakbul

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Saya baru kahwin empat bulan dan rezeki ini datang saya rasa ini salah satu doa saya termakbul dengan cepat. Jadi saya gembira dan teruja. Mungkin ini juga doa orang ramai supaya saya dapat timang cahaya mata dengan cepat.

SELEPAS mendapat izin daripada suami barulah pelakon Elfira Loy bersedia untuk berkongsi kisah dirinya yang kini sedang hamil selepas empat bulan mendirikan rumah tangga.

Elfira atau nama penuhnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faris Khairol Anuar pada 1 Januari lalu.

Beliau yang masih malu-malu hendak bercerita tentang pengalaman hamil itu berkata, kalau ada yang bertanya barulah beliau bercerita.

“Alhamdulillah kalau orang tanya secara berdepan memang saya akan jawab ya, saya hamil. Dulu saya tak nak bagi tahu sebab masih baru lagi dan tak begitu yakin.

“Sekarang ini saya lebih yakin sebab sudah buat pemeriksaan dan tengok bayi sihat. Alhamdulillah saya harap semua orang mendoakan yang terbaik untuk saya,” ceritanya selepas majlis prapelancaran koleksi raya Elfira Loy X MC Vouge di ibu kota semalam (25 April 2019).

Kata Elfira, beliau sangat gembira bila dapat tahu hamil sebab sekarang ini banyak sangat kes wanita yang sukar untuk mendapat cahaya mata.

“Saya baru kahwin empat bulan dan rezeki ini datang saya rasa ini salah satu doa saya termakbul dengan cepat. Jadi saya gembira dan teruja. Mungkin ini juga doa orang ramai supaya saya dapat timang cahaya mata dengan cepat,” akuinya.

Menurut Elfira kandungannya sudah melepasi peringkat trimester pertama dan setakat ini, beliau tidak mengalami alahan yang teruk.

Jelasnya, sewaktu sedang menjalani penggambaran drama beliau tidak sedar yang dirinya hamil selain terasa diri mudah lesu.

“Masa trimester pertama saya sedang jalani dua penggambaran drama dan telefilem. Memang penat sangat tapi saya cuba kuatkan diri sebab kena kerja.

“Setakat ini, tak ada alahan sangat tapi bab makan tu tak dapat nak elak, masa tak hamil pun saya suka makan. Saya tak tahu saya mengandung masa penggambaran, itu cabaran untuk saya sebab badan cepat letih,” tambahnya.

Kata Elfira, sebelum berjumpa doktor beliau ada buat ujian kehamilan sendiri, tetapi tidak yakin dirinya boleh hamil dalam tempoh terdekat.

‘Bila dah lama baru saya pergi jumpa doktor dan sahkan saya hamil. Suami pun sangat gembira dan tak sangka rezeki dapat anak cepat dan kami bersyukur dengan berita itu,” jelasnya yang bakal bersalin hujung tahun ini.

Biarpun masih mendapat tawaran berlakon sekarang ini, namun Elfira tidak terima kerana tahu kemampuan dirinya pada saat hamil.

“Ini pengalaman pertama saya mestilah banyak perkara yang perlu dipelajari. Bab berlakon tu saya tolak tepi dulu sebab yang utama sekarang saya perlu jaga kesihatan diri dan kandungan ini.

“Saya bakal lahir anak hujung tahun dan kalau tanya nak anak lelaki atau perempuan, dah tentu saya nak anak perempuan supaya ada geng. Sebenarnya tak kisah mana-mana janji dia keluar dengan mudah dan selamat,” katanya tersenyum.

— BebasNews.my

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.