Isu matrikulasi: Kuota kekal tapi banyak persoalan masih tergantung

Isu matrikulasi: Kuota kekal tapi banyak persoalan masih tergantung

 

Oleh MEGAT MOHD HISEMUDIN MEGAT KASIM

Untuk penempatan tambahan 15,000 adalah penambahan 60% daripada bilangan sedia ada. Apakah infrastruktur penempatan pelajar-pelajar telah disiapkan ataupun jika dibuat secara penambahan berkala sehingga cukup 40,000 orang? Apakah bajet penambahan ini telah disediakan?

SETELAH perbincangan mengenai kuota matrikulasi dibawa ke mesyuarat Kabinet dan telah ditetapkan yang kuota tersebut dikekalkan mengikut status quo sedia ada iaitu Bumiputera 90% dan bukan Bumiputera 10%.

Kemudian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee mengeluarkan kenyataan yang lebih menimbulkan suasana hangat ialah penambahan bilangan pelajar sedia ada seramai 25,000 orang kepada 40,000 orang.

Selama ini, orang-orang Cina dan India telahpun dijanjikan oleh Pakatan Harapan akan menuju kepada hak persamaan. Yakni tidak terkecuali untuk mendapatkan hak pendidikan dalam matrikulasi.

Tetapi ia dibantah oleh orang-orang Melayu lantaran pewujudan matrikulasi itu sendiri adalah satu jalan pintas bagi orang-orang Melayu untuk ke menara gading bagi kursus yang berkaitan dengan sains, teknologi, perubatan dan pelbagai bidang lagi.

Kerana diketahui yang Bumiputera agak ketinggalan dalam bidang ini dan sekiranya tidak diadakan program yang semacam ini sudah tentu jurang bilangan profesional dalam pelbagai jurusan antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera semakin besar.

Jadi natijah asalnya ialah untuk menolong Bumiputera selaras dengan pelbagai dasar negara yang memperuntukan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputera. Ini termasuklah bagi kes pembinaan ITM yang dinaik taraf kepada UiTM sekarang.

Namun atas sifat kemajmukan dan pertimbangan sosial, maka Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Matrikulasi juga membuat peruntukan 10% kepada bukan Bumiputera.

Dengan cara ini tidak menampakkan sangat yang institusi ini dimonopoli kaum Bumiputera. Namun jika ditinjau dari bilangan pelajar-pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera dari pelbagai institusi awam dan swasta, ia menampakkan yang kaum Bumiputera masih jauh ketinggalan lagi.

Mahu tidak mahu pelbagai dasar yang mirip menolong orang-orang Melayu dan Bumiputera harus dipertahan malah dipertingkat lagi.

Sebab itulah apabila Dr. Maszlee mengumumkan yang kerajaan meneruskan status quo sedia ada, ia mendapat reaksi yang baik dalam kalangan orang-orang Melayu dan Bumiputera.

Hal yang berbeza ditunjukkan oleh orang-orang Cina dan India. Mereka mengharapkan sistem kuota ini dihapuskan. Tanpa melihat kepada natijah asal penubuhan matrikulasi dan melihat dengan skop yang lebih luas perbandingan jurang profesional bukan Melayu dan orang-orang Melayu.

Bermakna mereka hanya mahukan apa yang berada di depan mata tanpa melihat keseluruhannya. Ia tambah diapi-apikan oleh parti-parti politik khususnya DAP.

Selain itu, satu persoalan yang tentang penambahan bilangan pelajar dari 25,000 ke 40,000 orang. Ia satu angka yang agak besar iaitu penambahan 15,000 orang.

Sekali pandang ia adalah satu anjakan yang hebat namun apakah ia satu realiti?

Memang diketahui yang Dr. Maszlee suka membuat pengumuman dahulu kemudian barulah membuat kajian. Ia berbeza dengan cara lazim, buat dulu kajian barulah umumkan hasilnya.

Dengan beberapa contoh terdahulu, segala pengumum ini hanya sedap pada mulut dan ada juga dibantai lunyai, seperti idea kasut hitam dan kolam renang.

Untuk penempatan tambahan 15,000 adalah penambahan 60% daripada bilangan sedia ada.

Apakah infrastruktur penempatan pelajar-pelajar telah disiapkan ataupun jika dibuat secara penambahan berkala sehingga cukup 40,000 orang?

Apakah bajet penambahan ini telah disediakan. Berapa lama akan disiapkan? Adakah ada pembinaan baru bangunan di lokasi sedia ada atau pembinaan di tempat lain?

Apakah telah disiapkan tenaga pengajar yang mencukupi untuk membimbing pelajar-pelajar ini. Para pensyarah untuk matrikulasi adalah berbeza dengan guru-guru biasa.

Persoalan ini masih tergantung!

Soalan yang kedua pula, apabila Dr. Maszlee mengumumkan penambahan bilangan pelajar kepada 40,000 ia mengundang rasa bantahan yang amat kuat dalam kalangan orang-orang Cina dan India.

Kerana penambahan ini tidak memadai dengan kenaikan 1,500 orang saja pelajar-pelajar India dan Cina.

Penambahan dari kalangan orang-orang Melayu dan Bumiputera semakin tinggi untuk ke IPTA, ini akan menyekat kemasukan pelajar-pelajar lepasan STPM yang kebanyakannya dari kaum Cina dan India.

Oleh itu, pengumuman Dr. Maszlee lebih banyak mengundang persepsi negatif.

Perkara yang belum tentu menjadi, tetapi telah diumumkan terlebih awal.

Pada 25 April lalu pula, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Ni Ching dalam kenyataannya menyebut yang perkara ini tidak dibincangkan pada peringkat kementerian.

Apakah akan terjadi lagi percanggahan yang menyebabkan Dr. Maszlee akan membuat U-Turn pula.

https://www.facebook.com/hisemudin/posts/2190551597680583

MEGAT MOHD HISEMUDIN MEGAT KASIM mendapat pendidikan di SJKC Chung Hwa, Parit, Perak. Kemudian ke Shen Jai High School, Ipoh. Memperolehi ijazah dalam Jurusan Kejuruteraan Awam dari National Cheng Kung University, Taiwan. Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kejuruteraan awam. Kini bergiat sebagai penulis bebas terutamanya bidang penterjemahan bahasa Mandarin ke bahasa Melayu dan pengarang matematik sepenuh masa.

PENAFIAN : Tulisan ini merupakan pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan serta pendirian BebasNews.my

— BebasNews.my

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.