[PUISI] Jika air kering…

0
48

 

Oleh ZAINI UJANG

Jika air sering juga kering, maknanya pengurusan permintaan perlu dimantapkan. Pastikan pengguna menggunakan air secara berhemah. Berhemah juga bermakna beringat bahawa sumber air adalah anugerah Allah yang perlu digunakan tanpa dibazirkan.

i
Jika air empangan kering pada musim kemarau, jangan salahkan Tuhan yang tidak menurunkan hujan! Jangan terpingga-pingga mencari gerangan untuk diaibkan. Dan jangan tidak keruan mencari penyelesaian.

ii
Jika air empangan kering maknanya asas rekabentuk, pengurusan lembangan dan bekalan air perlu disemak semula secara tulus dan sejujurnya. Pertama-tamanya apakah seluruh lembangan sungai telah diwartakan sebagai kawasan tadahan hujan? Kalau sudah, pastikan penebangan pokok dan hutan tidak dilakukan sewenang-wenangnya. Pokok dan hutan menadah hujan dan mengairkan anak sungai, menokok air dalam empangan. Hutan mengurangkan hakisan tanah dan menjernihkan air empangan. Pastikan juga lembangan sungai tidak dimajukan sebagai kawasan pertanian (risiko pencemaran air menerusi penggunaan racun perosak, dan ammonia serta fosforus dari sebatian baja), apatah lagi pengkalan industri!

iii
Jika air empangan selalu kering, kawal kadar pelepasan air supaya tidak dibazirkan ketika paras air masih penuh. Bina takungan air tepi sungai (ORS) berhampiran loji rawatan air di hiliran. Pastikan sumber-sumber pencemaran air terkawal dan risiko pencemaran sumber air dapat diminimumkan. Tindakan pencegahan mengawal pencemaran perlu sentiasa dijalankan oleh semua pihak, tidak hanya dibebankan kepada pihak berkuasa.

iv
Jika air paip sering kering, terutamanya jika berlaku kerja pembaikan atau penyelenggaraan berjadual, pastikan kadar simpanan (reserve margin) melebihi tahap minimum yang ditetapkan: sekurang-kurangnya 15%. Pastikan air yang terawat disimpan dalam sistem pempaipan menggunakan tangki simpanan yang secukupnya. Pastikan kebocoran dan kecurian air dapat dikurangkan. Pastikan juga pengguna tidak menyimpan air berlebihan sebaik sahaja kerja penyelenggaraan diumumkan.

v
Jika air sering juga kering, maknanya pengurusan permintaan perlu dimantapkan. Pastikan pengguna menggunakan air secara berhemah. Teladani negara maju: 160 liter sehari setiap penduduk. Pastikan tarif air dirangka untuk mengalakkan penggunaan air secara berhemah. Berhemah bermakna berdikit dan menyedari bahawa semakin banyak penggunaan air maka semakin banyak pula sumber alam yang terpaksa dikorbankan untuk membina empangan, paip dan bekalan elektrik.
Berhemah juga bermakna beringat bahawa sumber air adalah anugerah Allah yang perlu digunakan tanpa dibazirkan. Bukankah mereka yang membazir itu saudara syaitan?

vi
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” [Surah al-Israa : 27]

23 April 2019
Kuala Lumpur

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10157232244284948&set=a.10150283559414948&type=3&theater

— BebasNews.my

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here