TP1B lancar agihan sarapan dan makan malam kepada pelajar UiTM

TP1B lancar agihan sarapan dan makan malam kepada pelajar UiTM
Gambar atas: Zaini Hassan (tengah) dan di kirinya Prof Dr Azizan Abdullah bergambar dengan ahli-ahli jawatankuasa pelancaran majlis agihan makanan kepada pelajar UiTM di Kolej Kediaman Delima 2, Shah Alam semalam.

 

SHAH ALAM — Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B), yayasan kendalian alumni UiTM melancarkan agihan sarapan  dan makan malam kepada pelajar-pelajar universiti itu semalam (26 April 2019).

Program kebajikan itu akan dijalankan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu.

Program “Ingatan Abang-Abang Alumni kepada Adik-Adik UiTM” adalah bagi mendekatkan hubungan kedua-dua pihak.

TP1B memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk tujuan itu dan sebanyak RM50,000 untuk tujuan derma siswa kepada pelajar yang memerlukan bantuan.

“Kami juga pernah mengalami suasana yang sama seperti yang dihadapi oleh para pelajar sekalian. Kita bukan sama, ada yang senang, ada yang susah,” kata Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan di majlis yang diadakan di Kolej Kediaman Delima 2 UiTM Shah Alam.

Katanya, aktiviti seperti ini diharapkan akan disambut oleh semua pihak yang ada kaitan sentimental dengan institusi pengajian itu.

Zaini Hassan dan Prof Dr Azizan Abdullah (kiri) mengedarkan bungkusan sarapan kepada para pelajar UiTM Shah Alam selepas melancarkan program agihan makanan di Kolej Kediaman Delima 2, Shah Alam semalam.

Beliau juga mencadangkan kolej-kolej kediaman atau asrama di universiti itu mengikut jejak kolej kediaman Universiti Malaya (UM) yang menjadikan kolej kediaman mereka sebagai tempat sesuatu yang cukup ingati.

“Di UM ada Kolej Kediaman 1 hingga 12 dan bekas penghuni setiap kolej itu membuat majlis makan malam elit setiap tahun bagi mengumpul dana kebajikan dan disalurkan kembali kepada kolej-kolej kediaman itu.

“Selain universiti dan fakulti kita, asrama kediaman tempat kita tempat kita rehat, tidur, mandi adalah juga sesuatu yang sangat diingati.

“Budaya ‘home-coming’ seperti itu juga perlu diterap pada asrama Kolej Kediaman Delima, Seroja, Cempaka, Teratai, Perindu dan di sistem UiTM seluruh negara.”

Turut hadir di majlis itu ialah Naib Canselor HEP, Prof. Dr Azizan Abdullah, pengurus-pengurus kolej kediaman, para alumni dan pelajar.

—BebasNews
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.