Kecewa Syed Saddiq pentingkan nilai komersial berbanding sosial

0
36

 

Syed Saddiq perlu meletakkan keutamaan tugas beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan di hadapan dan menyerahkan kepada menteri yang berkenaan dalam soal nilai komersial. Syed Saddiq mesti fokus terhadap isu-isu pokok yang melanda belia dan sukan di negara ini.

BERIKUT adalah kenyataan media Timbalan Pengerusi Pertubuhan Keilmuan Nasional, Mohd Faizal Zulkifly berhubung rancangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membawa masuk artis K-Pop sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 :

Pertubuhan Keilmuan Nasional (KN) melahirkan rasa kecewa terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas justifikasi yang diberi terhadap cadangan beliau membawa masuk artis K-Pop, BTS untuk mengadakan konsert di negara ini.

Alasan beliau bahawa kemasukan artis luar negara ke Malaysia adalah atas tujuan membawa nilai komersial melalui penjanaan wang dari sektor pelancongan adalah sama sekali tidak wajar.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan belia dan sukan di negara ini, Syed Saddiq tidak wajar memgutamakan nilai komersial mengatasi nilai sosial kerana fokus utama beliau adalah membangunkan sahsiah belia Malaysia dan bukan merosakkannya dengan budaya hedonisme yang dibawa artis luar negara.

Kenyataan Syed Saddiq tersebut juga dilihat satu pengabaian tugas hakiki beliau dan alasan berkenaan kemasukan pelancong yang menjana keuntungan juga bukan bidang tugas beliau sebaliknya tugas Kementerian Pelancongan.

Beliau juga tidak harus campur tangan dalam pengurusan perniagaan Perbadanan Stadium Nasional kerana beliau sendiri mendakwa di bawah kepimpinan beliau, beliau tidak mahu meletakkan orang politik dalam badan berkenaan untuk mengelak campur tangan politik yang menyebabkan kerugian badan tersebut.

Justeru, kenyataan beliau bahawa tindakan membawa masuk artis luar negara adalah bertujuan menjana keuntungan untuk Perbadanan Stadium Negara juga dilihat bercanggah dengan prinsip beliau sebelum ini kerana ia adalah satu bentuk campur tangan oleh beliau sebagai menteri secara tidak langsung.

Dalam keadaan negara yang masih belum stabil sepenuhnya, Syed Saddiq sebagai menteri yang bertanggungjawab perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada isu-isu penting melibatkan belia seperti peluang pekerjaan, penagihan dadah, PTPTN, pembangunan pertubuhan belia serta isu berkaitan sukan seperti kebajikan atlet dan sebagainya.

Syed Saddiq tidak harus mengabaikan pembangunan sahsiah belia di negara ini yang dilihat semakin meruncing dengan pelbagai masalah sosial yang melanda negara hanya semata-mata kerana memikirkan nilai komersial yang akhirnya menyebabkan masalah sosial bertambah parah.

Kemasukan artis luar negara ke Malaysia bukan sahaja membawa nilai sosial yang negatif, malah tidak membina intelektual belia di negara ini.

Justeru, KN berharap agar Syed Saddiq meletakkan keutamaan tugas beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan di hadapan dan menyerahkan kepada menteri yang berkenaan dalam soal nilai komersial dan sebagainya.

Syed Saddiq mesti fokus terhadap isu-isu pokok yang melanda belia dan sukan di negara ini.

PENAFIAN: Tulisan ini merupakan pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan serta pendirian BebasNews.my

— BebasNews.my

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here