Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 masih sah – Dr Shamrahayu

0
65

 

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, perkara asal dalam Perlembagaan Negeri Johor itu sendiri; Kedua, penambahan daripada Perlembagaan Persekutuan; Ketiga hal-hal berkaitan dengan negeri termasuk keistimewaan Melayu

JOHOR BAHRU – Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 masih sah dan terpakai sebagai sistem pentadbiran negeri itu, kata Pakar Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz.

Katanya, secara evolusinya Perlembagaan Negeri Johor 1895 juga kekal sehingga ke hari ini dan diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang Johor dimasyhurkan pada 1895 dan perkara asal di dalamnya kekal sebagai Perlembagaan Negeri Johor.

“Kemudian berlaku penambahan apabila negeri itu menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948,” katanya pada Ceramah Perlembagaan ‘Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor: Sah atau Terbatal?’ di Johor Bahru, malam tadi (30 April 2019).

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Katanya, pada 1959 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 sekali lagi melalui penambahan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

“Perlembagaan 1959 itu adalah penambahan dari Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang dimasukkan ke dalam perlembagaan negeri.

“Jadi apa yang Johor ada sekarang ialah Perlembagaan Negeri 1895 ditambah dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang dimasukkan menjadi Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, sekali gus menjadikan Johor sebahagian daripada negeri-negeri persekutuan,” katanya.

Atas sebab itu, beliau berkata, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 terbahagi kepada tiga bahagian.

“Bahagian Pertama perkara asal dalam Perlembagaan Negeri Johor itu sendiri, manakala Bahagian Kedua penambahan daripada Perlembagaan Persekutuan dan Bahagian Ketiga pula hal-hal berkaitan dengan negeri termasuk keistimewaan Melayu,” katanya.

Pada 24 April lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa Perlembagaan Negeri Johor dan Terengganu terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk.

Perdana Menteri menerusi catatan dalam laman blog beliau, chedet.cc turut menjelaskan secara ringkas mengenai pembentukan Perlembagaan tersebut serta kegagalan mematuhinya akan menidakkan kedaulatan undang-undang.

https://www.sinarharian.com.my/article/26115/EDISI/Johor/Undang-Undang-Tubuh-Kerajaan-Johor-1895-sah-kata-Dr-Shamrahayu

https://www.sinarharian.com.my/article/25190/BERITA/Nasional/Perlembagaan-Johor-Terengganu-terbatal-bila-Tanah-Melayu-dibentuk

— Sinar Harian

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here