[VIDEO] Bella Astillah pendam duka demi kebahagiaan anak

[VIDEO] Bella Astillah pendam duka demi kebahagiaan anak

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Bella nak go with the flow, maksudnya Bella berserah kepada Allah. Sekiranya Allah kata jodoh Bella dan Aliff kuat, Bella akan teruskan juga. Kalau ditakdir tak ada jodoh pun Bella terima saja, tapi sekarang Bella lebih kepada bersikap positif.

ENGGAN melihat anak kesayangan Mohamad Ayden Adrean membesar tanpa ayah di sisi, Bella Astillah, 25, rela mengambil sikap ‘pejam mata’ dengan perangai suami, Aliff Aziz.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabella Awang Astillah berkata, biar apa masalah yang melanda rumah tangga, beliau tetap mengambil kira perasaan anaknya.

“Dalam apa jua keadaan Bella mahukan suasana yang positif. Kalau boleh Bella nakkan anak Bella hidup dalam keadaan sempurna iaitu mempunyai mummy dan daddy.

“Sekarang ini walaupun umur Adrean, baru setahun, sembilan bulan tapi dia memang fasih sebut daddy dan selalu ingat Aliff.

“Bella tak nak bersikap pentingkan diri sendiri, biar Bella bahagiakan anak. Aliff ada datang jumpa dan buat video call. Apa yang penting Bella nak kebahagiaan Adrean yang diutamakan,” katanya tatkala ditanya perihal statusnya sekarang.

Bella yang ditemui pada majlis Chari-Tea In Love With Farah Nabilah & Friends di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini berkata,dalam situasi sekarang beliau lebih mengutamakan perasaan anak berbanding dirinya.

Katanya, insya-Allah bila anak rasa bahagia, dirinya pun akan turut merasa kebahagiaan itu dan beliau lebih senang mengikut keadaan semasa.

“Bella nak go with the flow, maksudnya Bella berserah kepada Allah. Sekiranya Allah kata jodoh Bella dan Aliff kuat, Bella akan teruskan juga. Kalau ditakdir tak ada jodoh pun Bella terima saja, tapi sekarang Bella lebih kepada bersikap positif.

“Kalau boleh Bella nak Adrean ada ayah kandungnya. Bella tak ada waktu tertentu untuk tetapkan bila kami akan kembali bersama kerana semua itu bergantung pada waktu,” katanya terus terang.

Buat masa sekarang, Bella sering sibukkan diri dan pada waktu yang sama menilai kekurangan diri dan memperbetul apa yang kurang.

Ternyata masalah yang melanda rumah tangganya menjadikan Bella lebih kuat untuk menghadapi cabaran dan meneruskan kehidupan.

Sudah dua kali rumah tangga yang dibina pada 9 September 2016 itu dilanda badai gara-gara Alif yang ‘tertangkap’ kerana dikatakan menjalin hubungan dengan wanita lain.

Untuk kesalahan Alif yang pertama pada Julai 2017, penyanyi kelahiran Singapura itu terkait dengan kontroversi dikatakan menjalin hubungan dengan pelakon Afifah Nasir.

Sebagai isteri yang setia, Bella dengan hati terbuka memaafkan kesalahan Aliff dan berusaha membina kehidupan baharu.

Malangnya kepercayaan yang diberi oleh Bella telah dicalar oleh Aliff dan Februari lalu apabila penyanyi lagu Sayang Sayang sekali lagi buat perangai apabila didakwa menjalin hubungan dengan pelakon Oktovia Manrose.

Melihat dugaan yang dilalui Bella itu jika tidak kuat semangat boleh membuatkan dirinya tertekan atau kemurungan.

Ternyata Bella adalah wanita yang tabah dan melalui dugaan rumah tangga dengan pasrah.

“Kehidupan sekarang alhamdulillah, lebih baik sebab Bella dikelilingi dengan orang positif seperti keluarga dan kawan-kawan.

“Bella tak boleh cakap nak hidup solo atau sebaliknya kerana masalah yang dihadapi, kalau Bella merancang sekalipun akhirannya Allah yang tentukan kehidupan Bella,” katanya yang turut mendapat sokongan daripada keluarga mentua.

Sementara itu, sempena Ramadan ini, Bella sibuk membantu ibunya membuat biskut batang buruk, kek batik, makmur dan coklat cip untuk dijual.

Jelas Bella, sudah dua tahun beliau membantu ibunya membuat dan menjual biskut raya dan setakat ini, beliau sudah menyertai ekspo di Singapura dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

— BebasNews.my

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.