Dr Mahathir tokoh berpengaruh dunia – Fortune

Dr Mahathir tokoh berpengaruh dunia – Fortune

Di bawah kepemimpinannya kini, beliau memberi tumpuan utama kepada ketelusan sistem pentadbiran kerajaan pimpinannya termasuk menyelesaikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disifatkan skandal kewangan terbesar di dunia.

 

KUALA LUMPUR — Tun Dr Mahathir Mohamad disenaraikan sebagai 50 Tokoh Dunia Paling Berpengaruh 2019 oleh portal antarabangsa, Fortune.com.

Pemilihan Perdana Menteri yang menduduki tangga ke-47 senarai itu meletakkan beliau dalam kelompok tokoh ternama lain, termasuk Pengasas Microsoft, Bill Gates bersama isterinya, Melinda yang berada pada kedudukan nombor satu.

Ini diikuti Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang berjaya menangani isu serangan masjid di Christchurch baru-baru ini, yang turut menyaksikan negara itu menguatkuasakan larangan baharu membabitkan penggunaan senjata api.

Tokoh berpengaruh lain yang turut disenaraikan ialah Duke of Sussex, Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle pada tangga 42.

Dalam laporannya, Fortune.com menyatakan pada usianya mencecah 93 tahun, Dr Mahathir mencipta sejarah apabila kembali menerajui kepemimpinan Malaysia.

Di bawah era kepemimpinannya yang terdahulu selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, Malaysia mengalami transformasi cemerlang, terutama dalam konteks pembangunan dan sosioekonomi.

Sepanjang tempoh itu juga, Dr Mahathir memacu kejayaan Malaysia sebagai kuasa ekonomi serantau, selain berjaya memimpin negara ini mendepani beberapa krisis kewangan dunia.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lalu, Dr Mahathir sekali lagi mengejutkan dunia apabila mengetuai Pakatan Harapan (PH) mencatatkan kemenangan besar apabila berjaya menumbangkan dominasi Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun.

Ia sekali gus menyaksikan Dr Mahathir kembali dilantik sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua, seterusnya menyaksikan perubahan besar tampuk pentadbiran negara, termasuk kempen anti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan pemimpin terdahulu.

Di bawah kepemimpinannya kini, beliau memberi tumpuan utama kepada ketelusan sistem pentadbiran kerajaan pimpinannya termasuk menyelesaikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disifatkan skandal kewangan terbesar di dunia

Bersandarkan semangat `Malaysia Baharu’, Dr Mahathir bersama barisan kepemimpinannya turut menyatakan komitmen melindungi prinsip kebebasan media dan sistem perundangan seiring dengan amalan demokrasi negara ini.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/05/560570/dr-mahathir-tokoh-berpengaruh-dunia-fortune
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.