Ulasan buku: Temengong Ibrahim singkir Sultan Johor Lama?

Ulasan buku: Temengong Ibrahim singkir Sultan Johor Lama?
(GAMBAR) Muka depan buku Institusi Bendara – Permata Melayu yang Hilang berserta lukisan gambar Tengku Ali (kiri) dan Temenggong Ibrahim (kanan).

 

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

Sejarah mesti berlaku jujur kepada manusia yang terlibat dan peristiwa yang berlaku. Maka buku Institusi Bendahara – Permata Melayu Yang Hilang adalah sebuah kebenaran sejarah. Sepahit manapun kebenaran ia tetap sejarah yang benar kepada generasi selepas mereka.

Judul buku: Institusi Bendahara – Permata Melayu Yang Hilang
Penyusun: Tun Suzana Tun Haji Othman
Penerbit: Pustaka BSM Enterprise
Tahun: 2002

Buku Institusi Bendahara – Permata Melayu Yang Hilang mendedahkan taktik licik Temengong Ibrahim dari keturunan Bugis pada abad ke 18 Masihi menyingkirkan waris kesultanan Melayu, Tengku Ali yang menjadi Sultan Johor Lama. Walaupun Tengku Ali dilantik oleh kaum kerabat sebagai Sultan Johor Lama tetapi British tidak mengiktirafkan Tengku Ali.

Sepuluh tahun sebelumnya, iaitu pada 1825 Masihi Temengong Abdul Rahman meninggal dunia di Telok Belanga, Singapura digantikan dengan Temengong Ibrahim.

Pelantikan Temengong Ibrahim tidak dipersetujui oleh Bendahara Tun Ali kerana tindakan ayahnya menggadai Singapura kepada British.

Temengong Ibrahim kemudiannya bercita-cita menjadi Sultan Johor Lama kerana kedudukan ayahnya setara dengan Sultan Johor Lama daripada kacamata British.

Dengan bantuan British Temengong Ibrahim berjaya meruntuhkan institusi Bendahara, satu-satunya kuasa adat tertinggi menentukan pewaris Sultan Johor Lama yang sebenar.

Tengku Ali diisytiharkan sebagai Sultan Johor ke-19 pada 16 September 1840, dengan gelaran Sultan Ali Iskandar Shah ibni Hussain Muazzam Shah. Bagaimanapun perlantikan baginda tidak diiktiraf oleh British. Jawatan Sultan Johor itu hanya diiktiraf oleh pedagang dan beberapa pembesar Melayu.

Tengku Ali tidak berperanan dalam pentadbiran negeri kerana sebahagian besar terletak di bawah bidang kuasa Temenggung Ibrahim dan British. Kuasa Sultan Johor Lama menjadi kecil berbanding Temengong Ibrahim.

Penyingkiran Tengku Ali secara terhormat sebagai Sultan Johor Lama merupakan satu tragedi besar lagi penting yang mengubah lanskap sejarah kesultanan Johor Lama – daripada galur Melayu kepada galur Bugis oleh Temengong Ibrahim. Mengikut adat kesultanan Melayu dan institusi Bendahara, Temengong Ibrahim bukan Sultan Johor Lama yang sah.

Kalau institusi Bendahara tidak dilumpuh dan diruntuhkan, Temengong yang di luar galur kesultanan Melayu galur Iskandar Zulkarnain hingga Demang Lebar Daun tidak mungkin ditabal menjadi Sultan Johor Lama. Maka langkah pertama ialah melumpuhkan institusi Bendahara pada 1722 Masihi.

Berakhirnya institusi Bendahara membuka ruang kepada pembesar Bugis dan British sesuka hati menabal galur Temengong sebagai Sultan Johor Lama. Johor Lama bermaksud tanah besar Johor, Pahang, Singapura dan pulau-pulau yang terletak di sebelah selatan Singapura termasuk Riau dan Lingga. Disebabkan tidak tahan dengan tekanan oleh British dan Temengong Ibrahim, pada 10 Mac 1855 Masihi Tengku Ali menandatangani perjanjian menyerahkan takhta Johor Lama kepada Temengong Ibrahim.

Ketika institusi Bendahara menjadi tunggak institusi kesultanan Melayu, ia memastikan peralihan kuasa mengikut adat Melayu dan syariat Islam serta membendung percaturan politik dalam kalangan pewaris-pewaris Sultan. Bagaimanapun kelestarian institusi Bendahara berakhir apabila Temengong Ibrahim berketurunan Bugis berkongsi kuasa dan akhirnya membayangi institusi kesultanan Melayu.

Bendahara berperanan dalam menabal Duli Yang Dipertuan yakni Sultan mengikut adat tradisi Melayu dan hukum syarak (dengan bimbingan ulama) kemudian menjadi penasihat baginda, menyelenggara jenazah baginda, mengganti baginda selepas kemangkatan, memangkuriba Sultan yang masih kecil sebagai Pemangku Sultan dan menjadi ketua bagi pembesar tradisi Melayu seperti Temengong, Laksamana, Penghulu Bendahari dan sebagainya.

Mengikut adat kesultanan Melayu, Temengong yang merupakan jawatan kurniaan tidak mungkin ditabal menjadi Sultan. Ini kerana Sultan merupakan jawatan yang diwariskan oleh galur keturunan. Temengong boleh dilantik atau dipecat mengikut budi bicara institusi Bendahara. Hanya Bendahara sahaja yang merupakan jawatan warisan dari keturunannya sementara Temengong, Laksamana, Penghulu Bendahari dan Orang Kaya-Kaya merupakan jawatan kurnia.

Temengong juga bukan daripada galur keturunan kesultanan Melayu Iskandar Zulkarnain yang turun kepada Demang Lebar Daun. Kedudukan Temengong dalam kesultanan Johor Lama sangat rendah berbanding Sultan. Temengong juga jauh lebih rendah berbanding Bendahara. Ini kerana Temengong hanya membantu Bendahara. Selain Temengong, lain-lain yang turut membantu Bendahara ialah Laksamana, Penghulu Bendahari, Orang Kaya-Kaya serta beberapa lapis lagi.

Sejarah Johor Lama memang telah banyak dibukukan. Bagaimanapun sebahagian besarnya condong kepada kepentingan keturunan Bugis serta berdasarkan orientalis Barat. Bagaimanapun buku ini ini melihat dan mengangkat secara terang tentang persejarahan Johor Lama yang dibenamkan demi kepentingan pihak tertentu.

Sejarah mesti berlaku jujur kepada manusia yang terlibat dan peristiwa yang berlaku. Maka buku Institusi Bendahara – Permata Melayu Yang Hilang adalah sebuah kebenaran sejarah. Sepahit manapun kebenaran ia tetap sejarah yang benar kepada generasi selepas mereka.

Wibawa Tun Suzana sebagai seorang ahli sejarah yang disegani menjadikan buku ini sebuah pendedahan sejarah yang sangat berharga mengenai kerajaan Johor Lama.

Buku ini adalah satu pencerahan terhadap sejarah yang dibenamkan sekian lama. Difahamkan buku ini menjadi buruan orang ramai khususnya yang ingin tahu sejarah sebenar kesultanan negeri Johor. Oleh hal yang demikian, membaca buku ini telah memberikan kesedaran lagi sangat menginsafkan. Johor Lama kehilangan pewaris Sultan yang sah.

https://kuseman.com/2019/05/04/temengong-ibrahim-singkir-sultan-johor-lama/

— KuSeman.com

PENAFIAN : Tulisan ini merupakan pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan serta pendirian BebasNews.my

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.