Usaha Perak tarik pelabur dan pelancong bukan cakap politik – Ahmad Faizal

Usaha Perak tarik pelabur dan pelancong bukan cakap politik – Ahmad Faizal
 Gambar atas: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Pengerusi Eksekutif Scanda Sky, Tengku Faizwa Tengku Razif (dua kanan) bergambar bersama dengan replika aplikasi Instagram selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian bagi penerbangan Ipoh-Kuala Lumpur-Guangzhou diantara Scanda Sky dan Malaysia Airlines Berhad di Weil Hotel.STR/BALQIS JAZIMAH ZAHARI

 

“Besarlah harapan kerajaan negeri agar rakyat dapat bersama-sama memberikan sokongan padu terhadap apa yang diusahakan ini demi manfaat bersama.”

 

IPOH — Usaha kerajaan negeri Perak untuk menarik ketibaan lebih ramai pelabur dan pelancong bukan  ‘main-main’ atau cakap-cakap politik semata-mata.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, segala usaha yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk penubuhan Majlis Tindakan Pelancongan Perak (PTAC) bertujuan memacu sektor pelancongan negeri.

“Pewartaan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai bermula Januari tahun depan akan merancakkan lagi kedatangan pelancong asing dan domestik ke negeri ini.

“Besarlah harapan kerajaan negeri agar rakyat dapat bersama-sama memberikan sokongan padu terhadap apa yang diusahakan ini demi manfaat bersama,” kataya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian antara Scanda Sky dengan Malaysia Airlines Berhad di sini pada Selasa.

Perjanjian itu menyaksikan Scanda Sky sebuah syarikat penerbangsan sewa khas tempatan bersama Amal oleh Malaysia Airlines menyediakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan seterusnya ke Guangzhou, China.

Dijangka memulakan penerbangan sulung pada Oktober depan, kadar tambang dan jumlah kekerapan penerbangan bagaimanapun belum dimuktamadkan.

Dalam sidang media kemudiannya, Ahmad Faizal optimis laluan tersebut berupaya menjadikan Perak sebagai pintu masuk pelancong dari selatan China ke Ipoh dan negara ini amnya.

“Saya percaya laluan ini akan jadi hit, jadi amat popular,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Ahmad Faizal mahu syarikat milik kerajaan (GLC), badan korporat, dan badan bukan kerajaan (NGO) di Perak bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk melakukan kajian melibatkan sumber khazanah alam.

“Usaha ini dapat melonjakkan nama Perak ke peringkat lebih tinggi khususnya sektor pelancongan,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran ‘Coffee Table Book Rafflesia- Conservation Efforts and Management At Royal Belum State Park’ di sini.

Buku hasil kajian bersama Tenaga Nasional Berhad dengan Perbadanan Taman Negeri Perak itu diterbitkan bagi memberi kesedaran terhadap usaha melestarikan alam sekitar khususnya di kawasan Royal Belum, Gerik.

— BERNAMA
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.