Iftar@Kuala Lumpur 2019 semarakkan bulan Ramadan di ibu kota

Iftar@Kuala Lumpur 2019 semarakkan bulan Ramadan di ibu kota

 

“Program Iftar@Kuala Lumpur 2019 merupakan program pelancong bagi menikmati suasana Ramadan di Ibu Kota secara percuma.

 

KUALA LUMPUR — Berbuka puasa sambil menikmati keindahan kota Kuala Lumpur dalam remang senja telah menarik kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa sejak ia dilaksanakan kali ke lapan tahun ini.

Iftar(Berbuka Puasa)@Kuala Lumpur pada mulanya dilaksanakan sejak 2012 – 2014 pada ketika itu dikenali sebagai Festival Ramadan dan dijenamakan semula menjadi Iftar@KL pada 2015 yang di selaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kelainan pengisian Iftar@Kuala Lumpur 2019 pada kali ini ialah dengan penyediaan Surau Kontena Bergerak yang disediakan oleh JAKIM serta Penganjuran Malam 7 Likur@River of Life oleh DBKL yang akan diadakan pada 25 Mei nanti.

Bagi tahun ke-8 ini, Iftar@Kuala Lumpur 2019 yang dijadualkan berlangsung sepanjang bulan Ramadan 1440H sebanyak enam (6) kali Setiap Sabtu dan Ahad pada tarikh 11 & 12, 18 & 19 dan 25 & 26 Mei 2019 di Jalan Raja, Kuala Lumpur (berhadapan Bangunan Panggung Bandaraya DBKL).

Iftar@Kuala Lumpur 2019 bertujuan untuk menjadikan bulan Ramadan sebagai satu bulan di mana kegiatan kerohanian dan kesenian Islam dapat disemarakkan kepada masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda serta memupuk nilai-nilai murni melalui penganjuran aktiviti.

Ia antara usaha menjadikan Iftar@Kuala Lumpur 2019 sebuah program pelancongan Islamik, selain mengimarahkan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan melalui amalan kebajikan di samping mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum.

Melalui program seumpama ini, dapat menyemai semangat kekeluargaan dan membantu pihak-pihak yang memerlukan sumbangan dan sekali gus dapat bersedekah,” kata Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 15 aktiviti akan dilaksanakan oleh JKKN, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersama DBKL, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) serta pelbagai agensi lain.

Antara pengisian termasuk Majlis Berbuka Puasa (Iftar), Penyediaan dan Pengagihan Bubur Lambuk, Pameran Bubur Lambuk, Tadarus Al-Quran, Sukarelawan, Klinik Tahsin Al-Quran, Jualan Food Truck, Kaunter Zakat, Kaunter Sumbangan, Solat Berjemaah (Maghrib, Isyak dan Tarawih), Perkhidmatan kepada Rakyat, Tazkirah Ramadan, Bicara Ramadan (Ramadan Talk), Konsert Ramadan dan Moreh.

Acara kemuncak adalah pada 25 Mei 2019 iaitu Majlis Berbuka Puasa Perdana yang di jangka akan dihadiri oleh Tetamu Di Raja dan Pemimpin Utama Kerajaan yang akan bersama-sama rakyat untuk mengagihkan bubur Lambuk kepada orang ramai, bertadarus Al Quran sekali gus berbuka puasa bersama-sama rakyat.

—BebasNews
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.