Pakar PR Kamaralzaman Tambu meninggal dunia

Pakar PR Kamaralzaman Tambu meninggal dunia

KUALA LUMPUR — Pengamal perhubungan raya (PR) terkemuka Kamaralzaman Tambu, 68, meninggal dunia pagi ini di rumahnya di Seri Ampang Hilir Residences, di sini.

Allahyarham meninggalkan isteri Zeenat Hamid dan dua anak.

Zeenat berkata suaminya menghidap kanser paru-paru, menghembuskan nafas terakhir pada 6.56 pagi di rumah mereka.

“Arwah seorang yang baik hati, beliau meninggal dunia dengan tenang di rumah kami, dikelilingi anggota keluarga,” katanya.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Nurul Islam di Kampung Desa Pahlawan dan dikebumikan selepas solat zohor di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Gombak.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir termasuk Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan bekas Pengerusi Media Prima Berhad yang juga Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaafar.

Kamaralzaman, bekas pengarah urusan Alpha Platform (tidak wujud lagi), antara firma PR terkemuka di negara ini yang pelanggannya terdiri daripada syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Satu lagi syarikat PRnya, Runaway Success Sdn Bhd juga mempunyai pelanggan utama.

Allahyarham juga pernah menyandang Ketua Pengarang Cambodian Times.

Kamaralzaman yang sentiasa tampil dengan pakaian kemas dan rapi, mempunyai latar belakang yang menarik. Beliau adalah anak bekas Wakil Tetap Indonesia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diusir dari Indonesia oleh Presiden Sukarno.

Kamaralzaman tiba di Malaysia bersama Prabowo Subianto, yang bertanding jawatan Presiden Indonesia baru-baru ini, kerana bapa Prabowo juga diusir oleh Sukarno pada masa yang sama. Bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak yang membenarkan kedua-dua keluarga itu menetap di negara ini.

Bagaimanapun, Prabowo memilih untuk kembali ke Indonesia, sebaliknya Kamaralzaman membuat keputusan untuk tinggal di sini dan menjadi warganegara Malaysia serta meneruskan kehidupannya di sini.

— BERNAMA

 

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.