Roti John Superhero tarik perhatian

Roti John Superhero tarik perhatian
Gambar atas: Peniaga Roti John, Nor Zamry Abd Rashid, 36 ketika menjual juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Putrajaya. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

 

PUTRAJAYA — Pelbagai cara dan kreativiti digunakan peniaga bagi menarik perhatian pengunjung di Bazar Ramadan Putrajaya, Presint 3 di sini.

Antara jualan yang menarik perhatian ialah Roti John pelbagai warna yang diadaptasi daripada watak adiwira seperti Batman, Spiderman, Hulk dan Superman.

Peniaga Roti John berkenaan, Nor Zamry Abd Rashid, 36, berkata dia menjual makanan berasaskan roti itu sejak lima tahun lalu dan membuat beberapa penambahbaikan bagi mendapatkan rasa yang digemari pelanggan.

“Warna pada roti ini dibuat khas atas permintaan saya sendiri. Terdapat lima warna iaitu merah, biru, hijau, kuning dan hitam yang masing-masing melambangkan watak superhero terkenal.

“Sebelum ini, saya menjual Roti John sama seperti penjual lain. Namun terdetik untuk membuat sedikit kelainan dan akhirnya tercetus idea menggunakan roti berwarna,” katanya ketika ditemui di gerai Roti John Superhero di Bazar Ramadan Putrajaya di sini, semalam.

Nor Zamry berkata, dari segi inti dia menyediakan pilihan ayam, daging dan campur mengikut permintaan pembeli.

“Resipi yang digunakan adalah milik sendiri, daging dan ayam berkenaan juga dikisar dan diproses sendiri.

“Selain pilihan daging dan ayam, pengunjung boleh membuat pilihan sama ada Roti John berkenaan mahu diletakkan keju atau tidak. Keju itu akan dibakar menggunakan ‘flame gun’.

“Harga bagi setiap Roti John ini antara RM7 hingga RM15 mengikut menu yang dipilih,” katanya.

Bazar Ramadan Putrajaya yang terletak bersebelahan Masjid Tuanku Zainal Abidin (MTMZA) disertai 300 peniaga serta beroperasi bermula 4 petang hingga 7.30 malam dengan lebih 1,000 menu berbuka puasa dijual di situ.

-Berita Harian
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.