Darjah kebesaran Selangor Najib dan Rosmah digantung berkuat kuasa 6 Mei

Darjah kebesaran Selangor Najib dan Rosmah digantung berkuat kuasa 6 Mei
Foto: NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

 

Penggantungan darjah kebesaran itu berikutan kedua-dua individu berkenaan sedang menghadapi beberapa pertuduhan di mahkamah melibatkan kes rasuah, pecah amanah, kes Lembaga Hasil Dalam Negeri dan penggubahan wang haram.

 

SHAH ALAM– Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Darjah Kebesaran Negeri yang dianugerahkan kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor digantung berkuat kuasa 6 Mei lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dalam satu kenyataan hari ini berkata penggantungan darjah kebesaran itu berikutan kedua-dua individu berkenaan sedang menghadapi beberapa pertuduhan di mahkamah melibatkan kes rasuah, pecah amanah, kes Lembaga Hasil Dalam Negeri dan penggubahan wang haram.

“Penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Sultan Selangor ini akan disemak semula selepas kes dimuktamadkan di mahkamah.

“Penggantungan ini selaras dengan kuasa Baginda di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di negeri Selangor,” katanya, di sini.

Menurut Mohd Amin, Najib dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada 1992.

Rosmah pula dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

Dalam pada itu, Mohd Amin berkata Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya Darjah Kebesaran Datuk – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) membawa gelaran Datuk yang dianugerahkan kepada bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Syarikat NGV Tech Sdn Bhd Zulkifli Shariff ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa 6 Mei lepas.

Katanya, ia berikutan Zulkifli tidak layak memegang darjah kebesaran itu memandangkan beliau telah diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Tegas Mohd Amin, Zulkifli juga dilarang menggunakan darjah kebesaran dan gelaran Datuk itu malah semua pihak ditegah untuk memanggil beliau dengan gelaran berkenaan kerana ia telah dibatalkan.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.