Jawatan COO bukan terlalu penting bagi MOM

Jawatan COO bukan terlalu penting bagi MOM

 

Kenapa sangat mahu mewujudkan jawatan tinggi dalam MOM? Ada yang menyatakan bahawa ia diperlukan segera untuk menaikkan imej pertubuhan itu.

 

SETELAH gagal melantik seorang ketua pegawai operasi atau COO baru-baru ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih bagi menyimpan hasrat untuk terus memburu individu yang layak menduduki jawatan itu.

Bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia, Ung Su Ling dikatakan telah dinamakan sebagai COO MOM tetapi kemudian dinafikan oleh kepemimpinannya. Pelbagai reaksi dan ulasan diberikan oleh orang No. 1 dan No. 2 MOM itu.

Senyap seketika hal pelantikan Su Ling yang dilanda kontroversi itu. Tetapi dengar khabar Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria berusaha di sana sini untuk menarik minat ‘orang luar’ menduduki jawatan itu.

Ada kedengaran pemegang jawatan tinggi MOM telah berbincang dengan bekas Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh untuk jawatan COO itu. Kenny merupakan CEO Gabungan Badminton Asia sejak Januari 2016. Difahamkan Kenny menolak tawaran itu.

Kenapa sangat mahu mewujudkan jawatan tinggi dalam MOM? Ada yang menyatakan bahawa ia diperlukan segera untuk menaikkan imej pertubuhan itu. Selama ini imej Olimpik itu sudah tercalar?

Apakah sejak penubuhannya pada 1953 dan kemudian diterima menjadi gabungan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) setahun kemudian tidak membawa imej baik? Setahu ramai zaman Tan Sri Hamzah Abu Samah dan Tunku Imran Tuanku Ja’afar imej dan nama MOM berada di landasan baik dan tidak terjebak dalam masalah besar.

MOM adalah sebuah organisasi yang menggabungkan semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) di negara ini. Ia merupakan sebuah ‘payung’ kepada organisasi sukan khusus bagi penyertaan dalam temasya pelbagai jenis sukan. Umpamanya Sukan Olimpik, Asia, Komanwel dan Sukan SEA.

Jadi pada hemat umum ke arah mana yang seorang COO ingin membawa imej MOM di peringkat antarabangsa. Secara mudah, fungsi MOM banyak tertumpu kepada  mmenyelaraskan penyertaan acara-acara sukan ke temasya besar sahaja. Dari sudut pemilihan atlet pula, MOM akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara.

Pada peringkat awal MOM, Setiausaha Persatuan Lawn Tenis Malaysia, V. Rajaratnam dlantik setiausaha eksekutif dalam tahun 1960-an bagi membantu setiausaha ketika itu. Rajaratnam banyak membantu dalam urusan menulis minit mesyuarat sahaja.

Bekas guru, MP Haridas Menon memegang jawatan Pengurus Besar MOM pada tahun 1993 hinggalah 2008. Kemudian Fong Wan Hor memulakan fungsi sebagai penolong pengurus besar untuk mengambil alih tugas mengetuai pentadbiran sehingga naik pangkat sebagai pengurus besar pada tahun 2015 sampai sekarang.

Buat masa ini kalaulah dilihat kepada struktur pentadbiran MOM, jawatan pengurus besar sudah memadai untuk mengemudi tugas pengurusan. Dan kalaulah perlu sangat pun, wujudkan jawatan penolong pengurus besar.

Imej MOM tidak pernah rosak dan masih cemerlang di peringkat antarabangsa. Di rantau ini, nama Malaysia sentiasa baik dan dihormati.

Akhir kata janganlah fikirkan sangat jawatan tinggi macam COO itu.

—BebasNews
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.