Puasa Ramadan dapat merasai penderitaan orang miskin

Puasa Ramadan dapat merasai penderitaan orang miskin

 

APA SAJA bersama NAZERI NONG SAMAH

Isu pelajar universiti ‘kelaparan’ bukanlah perkara baharu, tetapi ia menjadi isu hangat apabila mutakhir ini ditonjolkan oleh media massa sebagai laporan eksklusif untuk menguji keprihatinan kerajaan, korporat, jutawan dan ‘bilionair’ untuk tampil membantu.

TIDAK banyak diperkata mengenai ‘falsafah lain yang tersembunyi’ di sebalik perintah Allah SWT mewajibkan umat Islam cukup syarat untuk menunaikan ibadat puasa bulan Ramadan sebagai memenuhi Rukun Islam ketiga.

Selama ini kita umat Islam lebih banyak diberikan pencerahan mengenai fadilat ibadat puasa dalam bulan mulia itu menyentuh perkara-perkara yang digalak dan dilarang, termasuk memberi faedah kepada kesihatan tubuh manusia yang diperakui kajian klinikal.

Dalil wajib berpuasa bagi umat Islam menurut firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183).

Perkara pokok yang sering dinyatakan mengenai asas utama berpuasa ialah menahan lapar dan dahaga serta hawa nafsu pada siang hari bermula minimum dua jam sebelum menjelang terbit fajar pagi di ufuk timur sehingga terbenamnya fajar senja di ufuk, barat sekali gus berkumandang azan maghrib.

Sebenarnya ‘falsafah lain yang tersembunyi’ di sebalik ibadat puasa yang jarang diperkata ialah untuk mendidik sekalian umat Islam yang hidup bersenang-lenang di muka bumi ini agar turut merasai denyut nadi penderitaan orang miskin, termasuk mangsa perang yang menjadi pelarian kebuluran tidak cukup makanan dan minuman.

Fakir miskin, orang kurang upaya (OKU) dan golongan daif lain serba kekurangan sering diselubungi dengan kesusahan hidup sama ada ketiadaaan wang ringgit untuk membeli makanan dan minuman, di samping tidak mempunyai pakaian baharu mahupun kediaman tertentu.

Nasib baiklah idea bernas daripada kerajaan berkebajikan Barisan Nasional (BN) dahulu sempat menyediakan bangunan Anjung Singgah untuk kemudahan golongan fakir miskin gelandangan di Kuala Lumpur mendapatkan makanan serta minuman sebelum mereka boleh berdikari atau pulang ke pangkuan keluarga.

Justeru apabila golongan mewah dalam kalangan umat Islam menunaikan ibadat berpuasa, maka falsafah dari sudut agama ialah supaya mereka insaf, sekali gus turut merasai kepedihan penderitaan golongan fakir miskin, OKU serta golongan seumpamanya kerap tidak cukup makan dan minum saban hari yang menjadi prasyarat untuk menyambung nyawa.

Ada golongan miskin bandar dan kampung hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,’ malah pernah tidak dapat makan berhari-hari sekadar minum air sejuk kerana ketiadaan wang perbelanjaan lantaran kian tertekan dalam era negara terus dicengkam inflasi.

Sehubungan itu, setiap umat Islam yang berkemampuan gunakanlah kesempatan bulan Ramadan yang mulia penuh berkat untuk menambah pahala dengan cara menghulurkan bantuan secara langsung kepada fakir miskin, OKU, asnaf, mualaf, anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan golongan-golongan lain layak menerima bantuan sekurang-kurangnya bagi mengubati kesedihan akan nasib mereka.

Bantuan ikhlas juga boleh disalurkan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang aktif, selain organisasi di bawah Jabatan Agama Islam Persekutuan, negeri dan wilayah. Majlis Agama Islam setiap negeri juga perlu prihatin dalam soal ini berdasarkan peranan organisasi yang diperuntuk kepada pihaknya.

Namun penyaluran bantuan menerusi organisasi tertentu di bawah jabatan atau majlis agama Islam kerap ‘diprotes secara senyap’ oleh masyarakat Islam sendiri kerana ia didakwa terpaksa berhadapan dengan kerenah birokrasi. Mereka enggan memprotes secara terbuka kerana dipercayai takut dikenakan tindakan undang-undang?

Antara protes senyap daripada masyarakat Islam itu ialah pihak berkuasa berkenaan dipercayai berjaya mengutip jutaan ringgit wang zakat pada setiap tahun, tetapi mengapa masih ramai umat Islam miskin di seluruh negara kita yang layak menerima bantuan, kerap dilaporkan dalam media massa masih hidup miskin melarat terbiar.

Kerap dilaporkan dalam media massa atau media sosial, terdapat banyak keluarga miskin mempunyai banyak tanggungan hidup terpaksa berlapar setiap hari dan amat menyedihkan bahawa ada dalam kalangan mereka pernah tinggal dalam kandang kambing atau reban ayam, kalau bukan di pondok daif tepi hutan hujung kampung yang atapnya bocor sana sini apabila ditimpa hujan lebat…! Bayangkanlah nasib malang mereka yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya itu daripada pihak berwajib.

Mengapa kutipan wang zakat yang banyak itu seolah-olah dibekukan? Atau jika dimanfaatkan sekadar minimum, malah jika difikiran secara rasional tidak sewajarnya kita menyaksikan Malaysia yang hanya secalit kecil dalam peta dunia ini masih terdapat ramai umat Islam terkial-kial hidup miskin melarat tanpa pembelaan sewajarnya.

Kebanyakan kita tidak pernah atau mungkin terlepas pandang untuk melihatkan jumlah sebenar laporan tahunan kutipan wang zakat Persekutuan, negeri serta wilayah diluar-uarkan secara meluas dan telus untuk pengetahuan rakyat. Kita juga tidak didedahkan dengan statistik rasmi berapa ramai golongan penerima bantuan?

Apakah para pegawai jabatan atau majlis berkenaan dalam istilah akademik disebut sebagai tidak ‘turun ke lapangan’ bagi menjejaki golongan fakir miskin, asnaf, mualaf, OKU dan seumpamanya lagi yang layak untuk diberikan bantuan?

Sepatutnya menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam perlu berfikiran kreatif dan bertindak drastik menerusi agensi di bawah kementeriannya bagi membela nasib umat Islam miskin dengan cara memberi bantuan keperluan harian, khidmat nasihat berupa motivasi supaya berdisiplin serta latihan khusus mengikut minat supaya mereka mempunyai kemahiran tertentu sebagai bekalan untuk berdikari.

Malah menteri dan ketua jabatan agama Islam atau majlis berkaitan jika berfikiran kreatif sepatutnya mencipta ‘konsep baharu budaya kerja’ turun ke lapangan ‘mencari orang susah atau miskin’ bukan lagi duduk selesa dalam bilik pejabat berhawa dingin menunggu ‘tetamu’ datang untuk mengadu nasib dan merayu bantuan.

Kadang-kadang majoriti orang Islam miskin, tambahan pula bagi ketua keluarga yang ramai anak itu mengalami ‘inferiority complex’ (berperasaan rendah) atau malu untuk datang memohon bantuan ke pejabat jabatan atau majlis agama, termasuk pejabat cawangan agensi berkaitan yang berperanan membantu dalam urusan kemiskinan tersebut.

Golongan miskin juga sebenarnya mahu menikmati kesenangan hidup dari segi makan, minum dan kediaman sempurna serta setahun sekali berpeluang memiliki pakaian baharu bagi menyambut kegembiraan Hari Raya Aidilfitri bersama insan lain. Bagi golongan yang berada, sewajarnya bersyukur mendapat kemewahan hidup kurniaan Allah SWT, tetapi dalam masa yang sama jangan lupa membantu golongan kurang berkemampuan.

Jika menteri berkaitan dan pejabat atau majlis agama Islam Persekutuan, negeri dan wilayah mempunyai bilangan pegawai yang terhad untuk turun ke lapangan mencari umat Islam serba susah, mengapa tidak gunakan sahaja mekanisma sedia ada secara bersepadu?

Umpamanya jabatan atau majlis agama Islam boleh melakukan tindakan bersepadu bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saluran parti politik, pejabat daerah, NGO, penghulu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pelbagai lagi mekanisme yang selama ini wujud tidak pernah dimanfaatkan secara maksimum bagi membantu umat Islam miskin khasnya dan rakyat umum amnya.

Jika pemikiran di luar kotak bagi membantu golongan umat Islam miskin itu dapat dipraktikkan, maka ia sudah tentu dapat membuktikan bahawa kerajaan semasa tidak mengabaikan kepentingan agama Islam dan umatnya agar dipandang tinggi oleh pihak lain di negara ini.

Dalam era Malaysia menerusi pemerintahan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sejak 9 Mei 2018 lalu, sepatutnya kita tidak mahu lagi melihat kakitangan awam bagi jabatan tertentu yang berkaitan secara langsung dengan urusan membantu kebajikan rakyat, asyik memerap dalam pejabat.

Sebaliknya para pegawai terbabit perlu turun ke lapangan menjalankan tugas yang diamanahkan sambil beroleh manfaat kesihatan apabila kulit terkena pancaran ‘ultraviolet’ (sinar matahari), maka ia akan dapat membantu mengaktifkan vitamin D terutama sebagai pemangkin metabolisme kalsium dan mineralisasi tulang dalam tubuh manusia, selain suhu panas juga dapat ‘mengelurkan peluh toksin,’ di samping mendapat pahala.

Bagi JKM pula dalam tindakan atau operasi bersepadu turun ke lapangan itu akan memberi kelebihan ‘serampang dua mata’ kerana selain dapat membantu mengesan umat Islam miskin, jabatan itu juga boleh membantu golongan rakyat bukan Islam yang layak menerima bantuan kerajaan.

Ini merupakan cabaran positif kepada kerajaan PH bagi tempoh mandat lima tahun yang diberikan oleh rakyat untuk melihat prestasi mentadbir negara. Lagipun para pemimpin PH kerap mendakwa sebagai kerajaan Malaysia Baharu yang mengutamakan kebajikan rakyat dalam rangka untuk memastikan keberkesanan pentadbirannya memandu pembanguan material dan modal insan negara…!

Selain itu pada setiap kali Ramadan, kita kerap melihat individu berada dan sektor korporat berlumba-lumpa menganjurkan majlis iftar, selain menghulurkan bantuan makanan harian, pakaian dan tidak kurang juga memberi wang tunai untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada golongan kurang bernasib baik.

Apa yang diharapkan ialah fenomena bantuan tersebut bukan aktiviti bermusim sambil mendapatkan publisiti, sebaliknya berpuluh-puluh ribu sektor korporat dan individu bertaraf jutawan kalau bukan ‘bilionair’ itu juga perlu menghulurkan bantuan makanan dan minuman bagi meringankan beban kos sara hidup harian kepada para pelajar miskin institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara ini.

Isu para pelajar IPTA miskin, mungkin juga berlaku di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang setiap hari terpaksa ‘mengikat perut’ berlapar dahaga kerana sentiasa tidak cukup wang saku bagi menampung keperluan harian.

Bagi masyarakat umum yang prihatin dan berperikemanusiaan pasti ‘meleleh’ air mata membaca berita sedih dalam media cetak dan media sosial atau menonton berita media elektronik yang mendedahkan kesukaran hidup majoriti pelajar miskin di universiti saban hari terpaksa ‘mengikat perut’ akibat ketiadaan wang saku.

Isu pelajar universiti ‘kelaparan’ bukanlah perkara baharu, tetapi ia menjadi isu hangat apabila mutakhir ini ditonjolkan oleh media massa sebagai laporan eksklusif untuk menguji keprihatinan kerajaan, golongan korporat, jutawan dan ‘bilionair’ untuk tampil membantu.

Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan juga perlu serius tampil untuk mencari satu resolusi atau formula yang wajib diwartakan sebagai ‘kaedah berkekalan’ dalam membantu pelajar univerisiti kelaparan menerusi ‘bank makanan’ dan ‘universiti angkat’ oleh sektor swasta bukan sahaja di IPTA atau IPTS sekitar Lembah Klang, sebaliknya dibantu secara holistik kepada siswa bagi ratusan lagi universiti seluruh Malaysia.

Tenangkan fikiran, tarik nafas perlahan-lahan dan berfikir panjang, lalu praktikkanlah oleh kerajaan sekarang dalam konteks membantu pelajar miskin di universiti secara berterusan supaya PH dapat dilihat menjadi sebuah kerajaan yang efesien…!

Ingatlah bahawa membantu pelajar universiti miskin adalah merupakan ‘pelaburan jangka panjang’ yang sangat bermakna kerana mereka (siswa) merupakan ‘aset amat berharga’ untuk masa depan sebagai teknokrat bagi membangunkan negara dalam pelbagai sektor.

Tidak mustahil pelajar miskin universiti yang dibantu itu kelak mungkin akan menjadi tenaga kerja berdedikasi, berintegriti dan berkemahiran tinggi muncul berkhidmat kepada kerajaan, sektor korporat mahupun individu yang pernah membantu ketika mereka berada dalam kedaifan alam siswa dahulu?

PENAFIAN : Tulisan ini merupakan pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan serta pendirian BebasNews.my

— BebasNews.my

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.