Iftar@Kuala Lumpur 2019 di Dataran Merdeka sasar 90,000 pengunjung

Iftar@Kuala Lumpur 2019 di Dataran Merdeka sasar 90,000 pengunjung
(GAMBAR) Para pengunjung ke Iftar@Kuala Lumpur 2019 berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 11 Mei 2019 – Foto BERNAMA.

 

Iftar@KL 2019 yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan sebanyak enam kali bermula hari ini, esok, 18 dan 19 Mei, serta 25 dan 26 Mei. Pengunjung boleh menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah

KUALA LUMPUR – Program berbuka puasa beramai-ramai, Iftar@Kuala Lumpur (Iftar@KL) 2019 di Dataran Merdeka yang bermula hari ini (11 Mei 2019), menyasarkan kira-kira 90,000 warga kota termasuk pelancong asing tahun ini.

Pengarah program Iftar @ Kuala Lumpur 2019, Rosnan Nordin berkata pelaksanaan program itu telah mencatat seramai 66,839 pengunjung tahun lepas termasuk 6,882 pelancong asing yang turut sama dalam acara berkenaan.

“Tahun ini, kami optimis untuk mencapai sasaran 90,000 pengunjung melebihi tahun lepas kerana kebetulan Bazar Ramadan diadakan di sekitar Jalan Raja yang dapat menarik lebih ramai pengunjung datang untuk berbuka puasa beramai-ramai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini (11 Mei 2019).

Katanya terdapat 15 aktiviti dilaksanakan dengan penyertaan lebih 200 sukarelawan pada Iftar@KL 2019 antaranya Tadarus al-Quran, Klinik Tahsin al-Quran, jualan melalui trak makanan, Bicara Ramadan, Pameran Pelancongan Islam dan Konsert Ramadan.

“Tahun ini, kami sediakan lebih banyak perkhidmatan bergerak seperti kaunter zakat, produk pakej umrah, kaunter ikrar derma organ, sekali gus memberikan kemudahan kepada orang ramai yang hadir.

“Melalui Iftar@KL 2019, bulan Ramadan dijadikan sebagai satu bulan yang kegiatan kerohanian dan kesenian Islam dapat disemarakkan kepada masyarakat khususnya generasi muda,” katanya.

Selepas berbuka, pengunjung dijadual menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah serta dihiburkan Konsert Ramadan oleh artis-artis tempatan seperti UNIC, Nowseeheart dan Iwan Syahman.

Iftar@KL 2019 yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan sebanyak enam kali bermula hari ini, esok, 18 dan 19 Mei, serta 25 dan 26 Mei.

http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1725497

— Bernama

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.