Lelaki berpura pengsan ketika ditahan JAIK

0
75

JITRA — Seorang lelaki warga emas terpaksa berpura-pura sakit dan pengsan di atas lantai ketika sebuah kedai makanan bukan Islam di Tunjang, diperiksa anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) di sini, pagi tadi.

Dalam pemeriksaan pada jam 10.30 pagi itu, lelaki warga emas berusia 71 tahun bersama seorang lelaki berusia 50 tahun dikesan makan serta minum di khalayak pada bulan Ramadan.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK, Syeikh Azhari Mohamad, berkata lelaki warga emas itu memberi alasan mengalami masalah kesihatan dan tidak boleh berpuasa ketika ditahan.

Katanya, namun apabila ditanya lebih lanjut mengenai penyakitnya, lelaki itu gagal memberi penjelasan lanjut dan hanya diam apabila disoal anggota penguatkuasa.

“Warga emas itu pada mula cuba melarikan diri, namun dapat dihalang anggota penguatkuasa sebelum dia berpura-pura sakit dan pengsan ke atas lantai.

“Bagaimanapun dia kemudian mengaku tidak berpuasa kerana melakukan kerja kampung, manakala seorang lagi lelaki memberi alasan mengalami masalah mental,” katanya ketika ditemui dalam Ops Ramadan hari ini.

Syeikh Azhari berkata, kedua-dua mereka disaman mengikut Seksyen 14(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana makan atau minum di khalayak ramai ketika bulan puasa.

“Walaup apa jua alasan yang diberi, mereka tidak boleh makan secara terang-terangan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara.

“Sepatutnya mereka malu dengan perbuatan itu kerana kanak-kanak pun sudah ada yang berpuasa penuh, inikan pula mereka yang sudah berusia,” katanya.

-Berita Harian
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here