Vivian dedikasikan kemenangan kepada mendiang bapanya

0
43
vivian wong shir yee dan ibu florence chong 11mei2019 - foto bernama
(GAMBAR) VIVIAN WONG SHIR YEE meraikan kemenangannya dengan ibunya, Florence Chong selepas terpilih menjadi Ahli Parlimen baharu Sandakan pada PRK Sandakan 11 Mei 2019. – Foto BERNAMA.

 

Saya berterima kasih kepada bapa saya yang telah mempersiap diri saya menjadi ahli politik dan menjadikan saya sebagai wanita muda yang berhati waja. Kemenangan saya bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk mendiang bapa saya dan keluarga saya, serta rakyat Sandakan.

SANDAKAN – Ahli Parlimen Sandakan yang baharu Vivian Wong Shir Yee mendedikasikan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan kepada mendiang bapanya Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang meninggal dunia pada 28 Mac lepas.

Untuk itu, beliau akan menziarahi kubur bapanya esok (12 Mei 2019) bagi menghargai pengorbanan bapanya mendidiknya menjadi seorang insan berjiwa rakyat.

“Saya berterima kasih kepada bapa saya yang telah mempersiap diri saya menjadi ahli politik dan menjadikan saya sebagai wanita muda yang berhati waja.

“Kemenangan saya bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk mendiang bapa saya dan keluarga saya, dan yang paling penting, rakyat Sandakan,” katanya selepas diisytiharkan pemenang PRK Sandakan di sini malam ini (11 Mei 2019).

Vivian juga berkata beliau terharu dengan kesungguhan dan dedikasi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkempen untuknya tanpa mengenal cuaca panas mahupun hujan lebat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kemenangan Vivian merupakan hadiah ulang tahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah.

Katanya, kemenangannya akan menyuntik semangat kepada kerajaan untuk bekerja lebih keras lagi demi rakyat dan negara.

Sementara itu, ibu Vivian iaitu Datin Florence Chong berkata kemenangan anaknya itu telah mengubati deritanya selepas kehilangan Stephen akibat serangan jantung.

“Kemenangan Vivian menunjukkan Sandakan masih begitu menghormati mendiang suami saya sehingga menyokong anak kami,” katanya.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat Datuk Frankie Poon Ming Fung pula berkata kemenangan itu akan membawa perubahan kepada Sandakan.

Pemangku Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri itu berkata beliau bersama Wong akan berusaha melaksanakan janji bagi memajukan Sandakan.

http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1725527

— BERNAMA

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here