Karipap percuma untuk wanita mengandung

Karipap percuma untuk wanita mengandung
Foto:  Mohd Shaiful Hafiq Mohd Hadir mengoreng karipap yang akan diberikan secara percuma kepada wanita-wanita mengandung di Bazar Ramadan, Taman Suria, Jitra. NSTP/AMRAN HAMID

 

“”Ibu selalu berpesan, jika mahu berniaga, jangan hanya fikir untung sahaja. Perniagaan yang dilakukan mesti memberi manfaat kepada orang lain juga, kalau tak lebih baik jangan berniaga.”

 

JITRA — Menjual sambil beramal. Itul dipraktikan peniaga karipap tiga beradik yang meneruskan tradisi ibu mereka memberi kuih percuma kepada wanita mengandung sepanjang Ramadan.

Menurut Mohd Shaiful Hafiq MohdHadir, 27, dia bersama dua lagi adiknya Mohd Zulfadhly, 24, dan Mohd Hashiff, 19, meneruskan tradisi itu sejak 18 tahun lalu, sebagai tanda syukur dengan rezeki yang diberi kepada keluarganya.

Katanya, sejak mengambil alih perniagaan karipap daripada ibu, Hafizah Abu Hassan, 52, setahun lalu, mereka tiga beradik memperuntukkan kira-kira 500 karipap untuk diberi kepada wanita mengandung di 13 gerainya.

“Ibu selalu berpesan, jika mahu berniaga, jangan hanya fikir untung sahaja. Perniagaan yang dilakukan mesti memberi manfaat kepada orang lain juga, kalau tak lebih baik jangan berniaga.

“Sebagai insan yang melahirkan kami, nasihat ibu itu kami pegang dan kami putuskan untuk terus memberi karipap percuma kepada wanita mengandung di lima gerai di bazar Ramadan dan lapan gerai di tepi jalan,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Taman Suria, di sini.

Mohd Shaiful yang berasal dari Kampung Padang di sini, berkata secara purata lima ibu mengandung akan singgah di gerai mereka setiap hari bagi mendapatkan tiga karipap berinti daging atau ayam secara percuma.

Katanya, setiap hari mereka menjual kira-kira 11,000 karipap yang resipinya diwarisi sejak turun temurun menjadikan kuih itu istimewa dengan aroma rempah giling dan minyak yang cepat meresap pada bahagian kulit sebaik ia siap digoreng.

Sementara itu, pelanggan, Halimatul Fazliyana Harun, 23, yang sedang mengandung memuji langkah tiga beradik itu yang menghargai wanita mengandung.

“Pada hari pertama Ramadan yang lalu, saya sudah dapat karipap percuma dari cawangan yang sama di bazar Changlun, tak sangka hari ini saya ke bazar Taman Suria mereka melakukan perkara sama untuk wanita mengandung.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang menghargai pengorbanan seorang ibu semasa melahirkan mereka sebelum ini, usaha murni ini wajar dipuji dan dicontohi orang lain,” katanya.

-Berita Harian

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.