Kedudukan kewangan TH semakin kukuh

Kedudukan kewangan TH semakin kukuh
Foto: MalayMail

 

Jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM1.2 bilion, disokong oleh peningkatan prestasi portfolio pelaburan serta kualiti keseluruhan aset yang sihat setelah rosot nilai dibuat pada 2018.

 

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan prestasi yang mampan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019, hasil daripada kejayaan proses penstrukturan dan pemulihan yang dilaksanakan pada akhir Disember 2018.

Kedudukan kewangan TH semakin kukuh dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM1.2 bilion, disokong oleh peningkatan prestasi portfolio pelaburan serta kualiti keseluruhan aset yang sihat setelah rosot nilai dibuat pada 2018.

Bagi suku pertama tahun ini, TH berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM623 juta dan mencatat keuntungan bersih RM440 juta.

Pendapatan TH dijangka akan terus meningkat mulai suku kedua dengan penerbitan Sukuk oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun dan perlaksanaan proses pelarasan pelaburan baharu.

Dalam tempoh tiga (3) bulan berakhir 31 Mac 2019, lebih daripada 91,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, seterusnya meningkatkan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 9.3 juta. Sebagai sebuah institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji, operasi perkhidmatan pengurusan simpanan kekal lancar tanpa sebarang gangguan pada suku tersebut.

TH juga merekodkan simpanan baharu sebanyak RM4.3 bilion manakala pengeluaran sebanyak RM4.6 bilion.

— Bebasnews
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.