Platform Pembelajaran Dalam Talian Menjadi Pilihan Popular

Platform Pembelajaran Dalam Talian Menjadi Pilihan Popular
Oleh DATO’ DR AHMAD RAMZI MOHAMAD ZUBIR

 

Syarikat terkenal seperti Google, Apple, IBM, Starbucks dan Hilton tidak lagi meletakkan syarat kelulusan ijazah sebagai kriteria utama dalam pengambilan pekerja, malah mengiktiraf ‘lulusan’ platform dalam talian untuk menyertai mereka. Kemahiran khusus dan kualiti bakat diberi lebih penekanan dan penilaian.

 

Pendidikan melalui platform pembelajaran dalam talian telah membuka akses dan menyediakan pilihan yang fleksibel kepada orang ramai untuk mempelajari atau menambah kemahiran sesuai dengan keperluan bidang pekerjaan masing-masing. Tambahan pula, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang tinggi di bandar, ada yang terpaksa melakukan kerja sambilan atau berniaga secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan. Maka, semua ini perlu kemahiran baru, ilmu baru dan pengalaman.

Bagi mengatasi permasalahan ini, platform pembelajaran dalam talian menjadi pilihan yang semakin popular. Anda hanya perlu mempunyai capaian Internet yang pantas, sebuah komputer atau telefon pintar dan berdaftar dengan mana-mana penyedia platform pembelajaran dalam talian. Bagaimana mengenal pasti platform yang sesuai apabila terdapat ratusan platform dalam talian di dunia maya?

Ciri-ciri platform yang berkualiti termasuklah menyediakan pelajar dengan kandungan kursus yang sentiasa dikemas kini dan boleh dipelajari secara berstruktur, video kuliah yang bebas untuk diikuti pada bila-bila masa, sebuah forum untuk perbincangan sesama pelajar dan pengendali kursus, tugasan atau projek untuk pengukuhan dan ujian untuk mengukur penguasaan pelajar.

Hari ini, platform pembelajaran dalam talian seperti Udemy, Coursera, Skillshare, XuetangX, Khan Academy dan FutureLearn sudah mempunyai hampir 81 juta pelajar di seluruh dunia yang mengikuti hampir 9,400 kursus pendek meliputi pelbagai bidang. Sebanyak 800 universiti, termasuklah universiti terkemuka seperti Harvard, Cambridge dan Oxford, menyediakan peluang kepada pelajar untuk mengikuti kursus-kursus mereka dan menawarkan sijil tamat kursus dengan yuran 70 ke 80 peratus lebih murah berbanding biasa.

Melalui platform dalam talian, pelajar tidak perlu mempunyai kelayakan akademik untuk mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan. Bagi mereka yang ingin belajar dalam bahasa Ibunda, PlanetMahir, sebuah penyedia platform pendidikan digital tempatan, menawarkan kursus-kursus dalam bahasa Melayu yang amat mudah untuk diikuti dan difahami. Planetmahir adalah platform perkongsian kemahiran dalam Bahasa Melayu yang pertama di dunia, dengan menyasarkan pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Hari ini, bilangan firma swasta yang mengiktiraf sijil pembelajaran melalui platform dalam talian ini semakin menggalakkan, malah ada juga majikan yang menyediakan bantuan kewangan kepada pekerja untuk mengikuti kursus-kursus platform dalam talian. Di Malaysia, agensi kerajaan seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah pun bekerjasama dengan Coursera untuk menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan ekonomi digital.

Antara kursus-kursus yang popular ditawarkan melalui platform ini termasuklah sains komputer, pengaturcaraan, sains data, perniagaan dan kewangan. Pelajar diberi pilihan sama ada mengikuti kelas secara audit atau percuma, atau dikenakan yuran untuk mereka yang memerlukan sijil. Ada juga beberapa universiti luar negara yang sudah mula menawarkan program ijazah di peringkat sarjana.

Namun, syarikat terkenal seperti Google, Apple, IBM, Starbucks dan Hilton tidak lagi meletakkan syarat kelulusan ijazah sebagai kriteria utama dalam pengambilan pekerja, malah mengiktiraf ‘lulusan’ platform dalam talian untuk menyertai mereka. Kemahiran khusus dan kualiti bakat diberi lebih penekanan dan penilaian.

Platform pembelajaran dalam talian turut menjadi pemudah cara untuk apa yang dipanggil sebagai skill sharing atau perkongsian kemahiran. Dengan persetujuan bersama antara dua pihak, kemahiran-kemahiran khusus dapat dipelajari dan dikongsi dengan mengenakan sedikit bayaran, secara percuma atau secara ‘barter’. Misalnya, individu yang mahir dalam reka bentuk grafik ingin belajar dan bertukar kemahiran dengan individu yang mahir dalam suntingan video dan begitu juga sebaliknya.

Sesiapa sahaja yang mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu boleh ‘menjual’ diri mereka ke forum komuniti perkongsian kemahiran melalui platform ini. Setelah mengenal pasti apa jenis kemahiran yang ingin dipelajari, anda boleh membuat carian yang sepadan untuk belajar secara satu sama satu. Daripada mencari jurulatih peribadi untuk memperbaiki pengucapan awam, sehinggalah mendapatkan khidmat nasihat dalam perundingan imej, apa sahaja kemahiran yang bernilai boleh dikongsi secara mudah.

Dengan ledakan teknologi dan desakan ekonomi, akses kepada pendidikan dan latihan menjadi semakin meluas. Di atas faktor kos, masa dan keperluan tempat kerja, platform pembelajaran secara maya ini ternyata menjadi pilihan individu. Ia memberi impak besar bukan sahaja kepada proses pendidikan sepanjang hayat, malah meningkatkan nilai mereka di pasaran kerja dan menjana sumber pendapatan yang lebih mampan pada era Ekonomi Gig.

— BebasNews
Please follow and like us:

One Response to "Platform Pembelajaran Dalam Talian Menjadi Pilihan Popular"

  1. Abu Anas  16/05/2019 at 9:17 am

    Great info.. how to meet the author ya?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.