Tindakan tegas terhadap doktor pro-antivaksin – Boon Chye

0
21

 

“Jika ada doktor terbabit dalam gerakan antivaksin dan mempromosi kaedah alternatif ini, mereka akan diambil tindakan melaksanakan amalan yang boleh memudaratkan kanak-kanak.”

 

TINDAKAN tegas akan diambil terhadap mana-mana doktor yang menyokong kumpulan antivaksin serta mempromosikan kaedah alternatif selain daripada vaksin.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata ia kerana tindakan itu, khususnya mempromosikan perubatan alternatif menggantikan vaksin seperti homeopati, adalah dianggap melaksanakan amalan yang boleh memudaratkan kanak-kanak.

Katanya, doktor dilarang untuk mempromosikan dakyah antivaksin kerana Kementerian Kesihatan memiliki data yang membuktikan bahawa vaksin adalah selamat dan berkesan untuk menjaga kesihatan bayi dan kanak-kanak.

“Kita amalkan demokrasi, jadi kumpulan antivaksin berhak untuk suarakan isu mereka, cuma kita harap mereka tak sampaikan mesej yang mengelirukan atau salah.

“Kita dapati ada pihak antivaksin yang mempromosi alternatif vaksin seperti homeopati yang terbukti memang tidak berkesan.

“Jika ada doktor terbabit dalam gerakan antivaksin dan mempromosi kaedah alternatif ini, mereka akan diambil tindakan melaksanakan amalan yang boleh memudaratkan kanak-kanak,” katanya pada sidang media pelancaran Dana Kebajikan Radioterapi Halcyon Untuk Pesakit Kanser di Beacon International Specialist Centre (Beacon Hospital) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Beacon Hospital, Victor Chia;Pengarah Perubatan dan Perunding Klinik Onkologi Beacon Hospital Datuk Dr Mohamed Ibrahim A Wahid dan Pengarah Hubungan Pesakit dan Tanggungjawab Sosial Korporat Beacon Hospital, Calvin Karthigesu.

Beliau mengulas penganjuran seminar realiti vaksin oleh kumpulan antivaksin yang dijadual diadakan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), dekat Bandar Tun Razak, Cheras, 19 Mei ini, dengan menampilkan dua panel wanita.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman menegaskan, kemudahan seliaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ialah zon larangan untuk mana-mana pihak yang berpegang kepada fahaman antivaksin di negara ini bagi menyebarkan dakyah mereka.

Terdahulu, Boon Chye melancarkan sumbangan berjumlah RM3 juta untuk Dana Kebajikan Radioterapi Halcyon yang diwujudkan hospital swasta itu bagi meringankan beban pesakit kanser.

Calvin berkata, Beacon Hospital akan menanggung kos rawatan pesakit kanser berdasarkan kemampuan mereka, termasuk membiayai keseluruhan kos berkenaan.

“Kos rawatan kanser menerusi kaedah radioterapi Halcyon adalah antara RM3,000 hingga RM25,000 bergantung jenis rawatan, tapi kita akan tanggung kos bergantung kemampuan pesakit.

“Jika pesakit mampu bayar 10 peratus, baki 90 peratus kita akan bayar, dan jika pesakit tidak mampu, kita akan rawat secara percuma,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohamed Ibrahim berkata, Beacon Hospital sedia bekerjasama dengan kerajaan dan merawat pesakit kanser yang berada dalam senarai menunggu di hospital awam, yang memerlukan rawatan radioterapi.

“Beacon Hospital menggunakan mesin Halcyon yang pertama di Asia Tenggara, dan mampu merawat 100 pesakit kanser sehari dan tempoh setiap rawatan adalah hanya dua minit.

“Kelebihan Halcyon berbanding mesin radioterapi lain ialah ia mengurangkan kesan radiasi pada tisu yang tidak terjejas dengan kanser,” katanya.

-Berita Harian

 

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here