Zam yang kami rindui; Pesanan terakhir beliau kepada Utusan…

Zam yang kami rindui; Pesanan terakhir beliau kepada Utusan…

Namun itu semua sudah sejarah. Utusan juga adalah antara penyebab kejatuhan kerajaan yang sudah didokong selama 60 tahun.

 

RAMADAN tahun lepas saya bertemu dengan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainudin Maidin atau Zam. Kami bersembang serius.

Hanya dia dan saya dalam kereta. Saya membawa beliau berbuka puasa di Hotel Shangri-La Putrajaya. Ia adalah atas undangan seorang rakan, yang teringin sangat bertukar fikiran dengan beliau.

Zam meminta saya mengambilnya di kediamannya di Precint 10.

Walaupun laluannya pendek, namun sembang kami cukup mendalam. Ia adalah mengenai Utusan Melayu.

Saya masih ingat kata-katanya sebaik sahaja kereta saya memasuki ke ruang parkir hotel itu (yang kini sudah bertukar nama).

Hubungan saya dengan Tan Sri Zam cukup mesra. Boleh dikatakan selang sehari kami akan bersembang dalam telefon. Atau jika lama saya tak menghubunginya dia akan kata “lama tak telefon.”

Ada pada satu ketika pada pertengahan bulan November 2017, dia menelefon saya. “Jom ikut saya ke Singapura.”

Saya terpinga-pinga. Kerana hari yang akan beliau bertolak ialah pada 23 November — beberapa hari lagi.

“Biar saya fikir dulu…” Tak perlu fikir, saya akan belanja semua, tegasnya.

“Kita pergi makan dan balik. Kita tidur semalam.” Akhirnya saya akur.

(Ini bukan pertama saya ke Singapura dengannya. Kali terakhir semasa beliau mahu menyiapkan bukunya Di Depan Api, Di Belakang Diri: Kisah Sejarah Utusan Melayu 1938 -2011 kerana mahu mengintebiu dengan Osman Wok, bekas wartawan Utusan zaman perang dan pengasas parti PAP.)

Kami bertolak dari rumahnya bersama-sama dua orang lagi teman rapat beliau iaitu Rosle Azmi (bekas pekerja teleprinter Utusan) dan Haji Ali Jaafar, pemilik syarikat Utusan Transports.

Tak perlu saya cerita lebih. Tujuan Zam ialah hanya untuk kami menemani beliau. Dan bercerita.

Terlalu banyak yang terpendam dalam hatinya yang mahu diceritakan.

Maka perjalanan tiga, empat atau lima jam termasuk kesesakan macet di Tambak Johor dan pulang semula; memberi ruang lagi bagi kami semua bersembang.

Topik kegemaran Zam ialah mengenai Utusan Melayu.

Tak habis-habis dia bercerita mengenai Utusan Melayu; dan Singapura di mana Utusan dilahirkan.

Namun, dalam perjalanan pergi dan balik itu nadanya cukup tersentuh.

Utusan bukan lagi sesuatu yang sedap untuk didengar daripada beliau. Zam sudah menjadi cukup kritikal.

Walaupun itulah ciri-ciri seorang wartawan hebat iaitu mesti kritikal dan berfikir tongkah-arus, tapi nadanya mengenai Utusan amat keras sekali.

Hati saya ketika itu berkata-kata. Adakah kerana kemarahannya kepada mantan PM Najib menyebabkan Utusan yang cukup dicintainya itu juga terpalit?

Kami tiba di sebuah hotel bajet di Jalan Kubor sekitar petang. Malam itu kami makan murtabak Singapura di Restoran Zam-Zam, sebuah restoran yang cukup terkenal dengan juadah mamak.

Allahyarham Tan Sri Zam bersama Tok Mat Din (depan beliau), Haji Ali Jaafar (dua dari kiri), Datuk Abdullah (rakan Tok Mat), Rosli (hujung kanan) dan saya di Restoran Zam-Zam, Singapura pada 24 Nov 2017.

Kami bercerita lagi. Seperti biasa mukanya cukup serius. Cerita pun serius.

Kemudian kami menyeberangi jalan untuk bersolat di Masjid Sultan. Sungguh khusyuk bersolat di masjid bersejarah orang Melayu, Arab dan India Muslim di situ.

Jangan lupa kita solat subuh nanti, katanya seperti mengajar anaknya sendiri.

Waktu subuh kami berjalan kaki dari hotel ke masjid itu, kira-kira sekilometer. Balik dari masjid kami terserempak dengan Datuk Mat Din, pemilik Utas Travel.

Dia kenal saya kerana kami sama-sama terlibat dalam satu forum di UKM satu ketika dulu. Tok Mat ini juga boleh tahan pemikirannya — juga seorang yang kritis.

Kami bersarapan sekali. Tok Mat berada di situ kerana menghadiri reunion sekolah lamanya iaitu Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Tok Mat terlalu mahu bertemu lagi dengan Tan Sri Zam. “Kita kena jumpa lagi di KL nanti. Zaini tolong aturkan ya,” desak Tok Mat. Kami makan dan bersembang.

Macam-macam cerita. Tok Mat belanja kami dan kami pun berpisah.

Allahyarham Tan Sri Zam bersembang dengan Haji Ali Jaafar (topi) dan Rosli Azmi semasa jalan pagi di Botanical Garden, Singapura, 24 Nov 2017.

Keesokan harinya, Tan Sri Zam mengajak kami ke salah satu tempat kegemarannya iaitu di Botanical Garden. Kami berjalan pagi di situ.

Kami sembang-sembang lagi. Zam mencuit Haji Ali supaya berkahwin semula selepas kematian isterinya.

Haji Ali tersipu-sipu. Kami semua turut memberi motivasi kepada Haji Ali.

Haji Ali menukar topik kerana mungkin dia tidak mahu memanjang kisah rumah tangganya.

Dia merungut kerana Utusan berhutang dengan syarikat pengangkutannya mencecah jutaan ringgit. Operasi syarikatnya ialah menghantar surat khabar ke seluruh negara.

Saya kata “syarikat sedang ada masalah tunai.” Dia faham, tapi dari matanya beliau memandang jauh.

Kami semua memandang jauh. Zam pun pandangannya seperti tertembus entah ke mana. Saya pun sama.

Saya tidak nampak cahaya di hujung terowong yang kami masuk. Gelap gulita, kelam.

Dari taman rimba botanikal yang cukup mengagumkan itu kami bertolak pulang melalui Tuas. Jalan ke kompleks imigresen kita sesak selama lebih dua jam. Rosle yang memandu kereta SUV milik Haji Ali juga merungut-rungut.

Tapi Zam masih membawa cerita Utusan Melayu. Mengimbau kisah lamanya. Yang kemudian rindu menjadi sendu.

Saya berkata-kata di dalam hati. Adakah beliau terlalu kecewa kerana Utusan dibiarkan tanpa haluan.

Akhbar mesti ada pendirian. Akhbar mesti berkata benar walau pahit sekali pun.

Itulah roh sesebuah akhbar. Tak ada akhbar yang tak ada roh. Maka itu kepala editornya juga harus ada roh. Bukan kosong. Harus ada pendirian, bukan goyah.

Mereka harus sudah boleh melihat ke hadapan. Sudah boleh meramal. Bukan terikut-ikut dengan “wahyu-wahyu dari atas”.

Ada wahyu baru mahu jalan, kalau tidak tak ada haluan.

Namun itu semua sudah sejarah. Utusan juga adalah antara penyebab kejatuhan kerajaan yang sudah didokong selama 60 tahun.

Apabila berlaku defisit kepercayaan terhadap akhbar itu, ia adalah cerminan kerajaan sewaktu itu.

Apabila Utusan mulai dibenci, itu bermakna kerajaan pun dibenci, kata Zam perlahan kepada saya.

Saya sedar itu. Barah yang dihidapi oleh Utusan bukan baharu. Ia mengambil masa lama. Ia berlaku secara berperingkat. Namun tiada usaha untuk mematikan barah itu.

Ia kemudian merebak. Saya melihat sendiri dengan mata hati saya. Saya menjerit dalam bilik mesyuarat pengurusan. “Kita kena lakukan sesuatu di peringkat pengarang!”

Akhirnya setahun lalu benarlah jangkaan. Kerajaan Najib tersembam ke tanah.

Berbalik kepada malam Ramadan di Shangri-La antara saya dan Zam dalam kereta.

Dia berkata kepada saya “Utusan bukan seperti dulu lagi. Ia sudah tiada roh. Kau keluarlah…”

Akhirnya setelah 29 tahun, saya berhenti daripada Utusan pada November 2018 — sebulan sebelum Zam meninggal dunia.

Banyak lagi yang diucapkannya. Banyak pesanan beliau. Biarlah saya simpan dalam diri saya sendiri. Kami kemudian berbuka puasa dengan Tok Mat Din, yang kami bertemu selepas solat subuh di Masjid Sultan, Singapura.

Kini Utusan mengalami lagi pusingan kedua serangan barahnya. Jika dulu, serangan itu menjahamankan sebuah kerajaan, kini ia menyerang ke jasad syarikat itu sendiri.

Hidup dan matinya sedang di hujung tanduk.

Namun saya optimistik. Saya melihat ia masih boleh disembuhkan, dengan izinNya.

Ia harus mendengar keluh-kesah pembacanya. Ia harus keluar secara total daripada cengkaman “orang-orang politik”.

Apabila Malaysiakini semalam menyiarkan berita bertajuk “Gaji lewat: Ramadan yang suram untuk kakitangan Utusan” — maka muhasabahlah komen-komen daripada pembaca. Bukan dipersenda!

Akhbar-akhbar besar dunia dipegang oleh taikun perniagaan yang besar. Bukan oleh orang politik totok yang — hidup, mewah kerana wang politik dan hubungan politik.

Memang benar jugalah apabila berlaku sejarah mogok besar Utusan diketuai pengarang Said Zahari pada 1961.

SAID ZAHARI (kanan berbaju belang membelakangkan jurugambar) mengetuai Mogok Utusan Melayu (1961)

Beliau menentang “Dasar Empat Perkara” yang dipaksa Utusan Melayu untuk diterima pakai. (Baca tulisan Sahidan Jaafar: Said Zahari ketuai mogok Utusan Melayu. 2 Feb 2019)

Said Zahari dalam tulisannya bertajuk Mogok Utusan: Kenapa dan Untuk Apa? dalam buku Di sebalik Jendela Utusan Melayu (1989) sempena Ulang tahun Utusan Melayu Ke-50 (1939-1989) menyatakan ‘Dasar Empat Perkara’ itu jelas bertentangan dengan aspirasi ‘Ikrar 1939’ dan berbau kongkongan ke atas kebebasan dan kebijaksanaan pengarang untuk memenuhi tugas-tugasnya dengan berkesan dan berfaedah kepada rak­yat dan negara.

“Dasar Empat Perkara” yang diserahkan secara tangan kepada Said Zahari itu ialah:

Pertama: Memberikan sokongan penuh kepada parti yang memerintah kerana itu akan lebih menguntungkan dari segi perniagaan.

Kedua: Me­nyiarkan berita-berita yang benar tetapi membatasi kepala-kepala be­rita kepada parti-parti lain.

Ketiga: Menyiarkan lebih banyak berita dengan kepala-kepala berita yang besar mengenai menteri-menteri Perikatan dimana ia dapat dilakukan, termasuk kenyataan-kenyataan dasar penting.

Keempat: Menyokong Perikatan apabila perbuatan sudah dilakukan dan mengkritik secara membina sesuatu keputusan yang buruk dibuat.

Jika pada 1961 pun sudah ada tentangan seperti itu, apatah lagi di zaman ini.

Media tidak boleh lagi hidup dengan cara itu.

Pengarang pula tidak boleh lagi menunggu wahyu turun ke riba.

Akhbar harus bebas. Ia harus dimiliki oleh Tan Sri Azman Hashim atau Syed Mokhtar atau mana-mana taikun kaya atau sebuah yayasan yang bebas — dan bukan orang politik!

Biar Utusan kembali dengan wajah dan rohnya yang sebenar di alaf baru digital ini.

“Utusan kena berubah, berubahlah, atau terkubur, ” itu pesanan terakhir Zam.

Sesungguhnya, kami amat merindui Tan Sri Zam. Kami seperti kehilangan seorang bapa dalam dunia kami ini. Saya sudah tidak ada tempat untuk mengadu…

Semoga roh Zainudin Maidin (Jun 1939 – Dis 2018) dicucuri rahmat.

Al Fatihah.

 

— BebasNews
Please follow and like us:
error

8 Responses to "Zam yang kami rindui; Pesanan terakhir beliau kepada Utusan…"

  1. Samsuri  14/05/2019 at 2:53 pm

    Dulu masa UMNO berkuasa CEO dan kroni tabur berita mengampu dengan berleluasa.
    Penipuan yg dicanang oleh Utusan bukan baru tapi semenjak Najib naik menjadi PM dan pembangkang ketika itu mula mendedahkan skandal demi skandal tapi di nafikan oleh Najib dan kroni.
    Malahan UMNO baik diperingkat Pusat, Negeri dan Bahagian menyokong Najib melakukan penyelewengan membabi buta.
    Kemuncak bila TS Muhyiddin Yasin dan DS Mukhriz dipecat dari UMNO.
    Ketika itu Utusan dilihat tidak ada integriti sebagai wadah perjuangan Melayu tapi sebaliknya menjadi medan memuaskan nafsu serakah pihak kerajaan ketika.
    Maka beberapa kerat yang sayangkan jawatan dari pertahankan maruah Utusan sanggup melacurkan Utusan dengan cara yang cukup hina.
    Jika dulu Utusan mampu menjana keuntungan RM1 juta melalui sisipan Pancaindera tapi diakhir hayat Utusan sudah tinggal kerangka.
    Org ramai meluat dan berhenti beli Utusan. Saya sendiri satu masa dahulu membeli Utusan saban hari tanpa gagal. Dek kerana nafsu Najib dan kroni serta pihak atasan Utusan yang bacul dan gilakan jawatan, Utusan jatuh rugi.
    Bila awam memperkatakan soal hidup mati Utusan sebagai lidah Melayu, pihak yang mengampu Najib dengan mudah memberi alasan org ramai sudah bertukar kepada online newspaper dan tak lagi beli Utusan seperti biasa. Sedangkan langganan akhbar Utusan Online tidak meningkat pun.
    Satu jawapan utk menipu dan menyedapkan hati sendiri.
    Utk cut cost, 1000 kakitangan ditawar VSS.
    Punya terdesak sampai jual tanah, bangunan. Tapi sampai skrg pn pampasan VSS pun tak abis bayar. Tinggal beberapa minggu nak sambut raya.
    Kroni UMNO tetap maintain dalam Utusan. Sebab itu sampai skrg pn masih tabur berita kurang ajar.
    Konon Utusan ni lidah bangsa Melayu tapi bila pemimpin UMNO yg korup dijatuhkan tak ada sekor pn tampil utk tolong.
    Inilah rupa Melayu yang tamak haloba dan hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Manakala si balaci di dalam Utusan dikekalkan.

    Reply
  2. Hamzah Sidek  14/05/2019 at 6:09 pm

    Zam sedih kerana Utusan yang baginya “Suara Keramat” rupa-rupanya tidak keramat.

    Kebencian melampau terhadap Utusan ditiup oleh Anwar Ibrahim dan para mengikut fanatiknya apabila dia disingkirkan daripada UMNO dan kerajaan BN pada 1998.

    Mereka mengejek syarikat akhbar ini sebagai “Utusan Meloya.”

    Saya ketika itu adalah Pengarang Utusan Malaysia. Sedihnya kerana adik beradik pun turut menghentam saya.

    Akhirnya Utusan jatuh bersama UMNO yang didukungnya.

    Reply
    • Samsuri  18/05/2019 at 11:02 am

      Zaman Anwar mengelar Utusan Meloya tidak beri impak yang besar berbanding Najib mempergunakan Utusan sebagai bahan menabur propaganda politik yang menipu orang awam

      Reply
  3. Niezam KringKring  15/05/2019 at 7:25 am

    Masih teringat nasihat Datuk Zaini kepada saya di surau Utusan pada Mei 2010…
    “Aku denganq hang nak masuk Star… Betoi ka?”
    Betoi bosss,
    “Pi la… Hang jangan dok sini… Lebih baik hang pi. Hang kena cari pengalaman. Tapi hang jangan bagi tau depa (boss-boss lain yang melarang) aku cakap ni satgi depa marah…”
    Alhamdulillah… saya ambil positif nasihat Datuk tu, dan saya pergi. Kalau tidak saya juga senasib dengan sahabat-sahabat lain.

    Reply
  4. Nik  15/05/2019 at 11:24 am

    Salam Datuk Zaini,

    Alhamdulillah, saya dapat membaca cetusan rasa dan perasaan Datuk apabila bercakap tentang Utusan dan Tan Sri ZAM. Alhamdulillah, e-mail saya kepada Almarhum Tan Sri pernah tersiar di blog beliau dan Alhamdulillah, saya pernah berjumpa dengan beliau pada tahun 2017 di kediamannya di Putrajaya. Memang benarlah apa yang dikatakan oleh Tan Sri kepada Datuk dan setelah UMNO menjual sebahagian sahamnya dalam Utusan Melayu, baharulah saya membeli Utusan dan membacanya.
    Arwah datuk saya merupakan seorang pembaca tegar Utusan Melayu – dari tahun 1980an hinggalah ke tahun 2000-an. Sehinggakan datuk saya nyanyuk pun, dibelinya Utusan Melayu sebagai bahan bacaanya dan kami sekeluarga. Ada orang yang memberi komen – jika setiap ahli UMNO yang sebanyak 3 juta orang itu membeli akhbar Utusan Melayu tiap-tiap hari, nerscaya akhbar Utusan Melayu boleh selamat lagi. Ayah saya yang dulunya seorang penyokong PAS pun boleh membeli akhbar Utusan Melayu – semasa zaman Tan Sr ZAM dan Tan Sri Johan Jaafar. Tetapi, pada zaman Datuk Seri Najib, banyak faktor yang membawa kepada kemerosotan teruk penjualan akhbar Utusan Melayu.
    Pada saya, saya tiada komen apa-apa tentang Utusan Melayu kecuali doa dan harapan dalam bulan Ramadhan ini supaya akhbar dan staff Utusan Melayu mempunyai kekuatan luar biasa semasa dan selepas Ramadhan ini. In Sha ALLAH, saya akan menulis lagi komen saya di ruangan Datuk ini.

    Nik
    Subang Jaya

    Reply
  5. Taib Wahab  15/05/2019 at 12:26 pm

    Saya membesar di Utusan Singapura sewaktu ayah saya Wahab Mohammad bertugas sebagai pemberita hiburan sekitar tahun 1956.

    Saya sering dibawa ke pejabat Utusan di Cecil Street. Disitu saya dikenalkan kepada ramai wartawan termasuk Said Zahari dan Othman Wok.

    Pada tahun 1958 Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur dan kami sekeluarga juga berpindah.

    Di pejabat Utusan di Jalan Chan Sow Lin saya juga sering dibawa kesana dan berkenalan dengan ramai wartawan termasuk, Samad Ismail, A Samad Said, Salim Kajai, Taib Osman dan ramai lagi.

    Setelah selesai Mogok Utusan ayah saya berpindah ke Dewan Bahasa dan Pusaka sebagai Penyunting. Banyak lagi pengalaman manis di Utusan yang saya ingat dan akan saya catitkan satu hari nanti.

    Reply
  6. Jagat  15/05/2019 at 12:28 pm

    “Saya dapati editorial Bebasnews sekarang macam segan hendak siarkan berita2 benar berikutan pendedahan dan pembongkaran oleh pihak kerajaan. Jangan lah macam itu. Kamu semua kan wartawan. Jangan simpan agenda atau termakan hasutan politik. Walaupun tak sedap dalam hati bebasnews mempunyai peranan sebagai pemegang amanah suara hati negara dan rakyat untuk memanjang berita benar macam mana perit sekali pun, jangan jadi utusan melayu, ya?”

    Reply
    • Samsuri  18/05/2019 at 11:10 am

      Atau masih ada antara wartawan Bebasnews masih dibuai sentimen kegemilangan Utusan di bawah UMNO.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.