Pertingkatkan pusat tahfiz ke institut pengajian al-Quran

Pertingkatkan pusat tahfiz ke institut pengajian al-Quran

 

Oleh DR ISMAIL IBRAHIM

 

BANYAK tempat di negara kita ini yang sering mengemukakan para imam ketika bersolat Terawih di surau atau masjid yang amat baik dan merdu bacaannya. Malah banyak pula para imam kita yang jika didengar bacaannya dalam solat, terutamanya dalam solat tarawih di dalam bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang ini, orang ramai akan menyangka bahawa beberapa orang daripada mereka ialah imam yang dibawa dari para Qari Arab, terutamanya yang sering mengimamkan solat di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi di Madinah, kerana cara bacaannya, sebutan, tajwid dan tarannumnya, saling tak tumpah seperti imam di Makkah atau Madinah yang amat dekat dengan hati orang Islam Malaysia yang pernah mengerjakan haji atau umrah di sana.

Tetapi bila berhadapan dengan para imam tersebut, atau mendengar keterangan dari para Jemaah tempatan sendiri, ternyata bahawa para imam itu adalah terdiri dari orang Melayu Islam anak-anak tempatan sendiri, yang sebagai sifat orang Melayunya, sering tidak mengalami kesukaran untuk membaca ayat-ayat Al Quran mengikut tertib dan sebutan serta lagu yang sering mereka dengar dari pengalaman sendiri di mana-mana masjid, atau dari gajet sosial yang kini amat banyak memaparkan bacaan dari para imam yang terkenal di dunia Islam itu.

Teman-teman saya sering mengemukakan sendaan yang ringan ketika berbicara tentang kemahiran orang Melayu menurut dan meniru suara dan irama para pelakon, penyanyi luar dan dalam negara, sehingga hampir menyerupai suara asal para artis itu, termasuk penyanyi termasyhur seperti P.Ramlee, Saloma dan lain-lain,  malah penyanyi Barat seperti Elvis Presely, Net King Cole dan lain-lain.

Oleh itu, ketika terbangunnya banyak pusat tahfiz dan pengajian Al-Quran di negara kita ini, maka kedengaran para pembaca atau Qari dan Qariah negara kita pula yang melagukan pembacaan kitab suci itu mengikut bacaan para Qari dan Imam terkenal antarabangsa, terutamanya dari tanah Arab seperti Makkah, Madinah, Mesir dan lain-lain lagi.

Kita merasa bangga dengan usaha Perdana Menteri Pertama kita, Al Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, yang ketika menyedari akan perdampingan  rapat orang Melayu dengan bacaan Muqaddam dan Al Quraan sejak kecil lagi, maka Al Marhum terus memperkenalkan Peraduan Membaca Al Quran pada mula nya di peringkat Kebangsaan, dan akhirnya terkenal dan termasyhur hingga sekarang di peringkat peraduan bacaan Al Quran antara bangsa hingga ke saat ini, sehingga negara kita terkenal sebagai sebuah negara yang mempelopori peraduan ini, dan hasil dari usaha yang baik itu di ikuti oleh negara-negara Islam lain di dunia ini..

Usaha membuka bidang bacaan Al Quran dalam bentuk baru, iaitu dengan menghafal dan melagukannya dalam kepelbagaian lagu, termasuk dalam kategori taranum ketika mengambil bahagian dalam peraduan, ketika bersolat tarawih dan sebagainya, merupakan usaha baik para pengkaji dan guru kajian Quran kita sendiri, yang pernah mendapat pendidikan di pusat-pusat tahfiz di negara kita atau di luar negara yang menawarkan kursus bacaan ini di beberapa buah negara Islam Asia Barat.

Tabiat dan legasi mereka semula jadi yang mempunyai bakat dan lidah serta suara yang merdu, mudah pula menyadur dan mempersembahkan bacaan kitab suci itu seperti yang mereka dengar dan berlatih mengikut para pembaca yang terkenal itu dari berbagai-bagai latar belakang bangsa dan negara nya.

Kita seharusnya memberikan penghargaan dan galakan kepada para imam, qari dan qariah negara kita dalam hal ini, terutamanya kepada para pelatih dan guru-guru yang mendidik anak-anak kecil dan generasi muda kita dalam bacaan Al Quran ini melalui pusat-pusat pengajian yang tertentu, atau pendidikan kumpulan atau persendirian yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di serata pelosok negara kita. Pengajian dan latihan mereka tentunya tertumpu kepada hafazan, tajwid yang betul dan syarat rukun yang sempurna dalam bacaan dan hafazannya.

Namun hingga kini perhatian dan konsep serta matlamat pusat pengajian itu agak terhad dan berjalan dalam skop  yang kecil, dan masih berjalan seperti permulaan penubuhannya beberapa dekad yag lalu tanpa peningkatan yang lebih tinggi untuk menyelami hikmah dan pengajian Al-Quran juga bahasa dan rahsia ayat-ayat nya yang amat luas dan menyeluruh sebagai sebuah perlembagaan yang holistik bagi umat manusia seluruh dunia.

Saya melihat bahawa pengajian hafazan ini seharusnya dibawa ke hadapan, melangkaui bidang bacaan dan hafazannya, kepada bidang yang lebih luas seperti yang sering disebutkan oleh Al-Quran sendiri, bahawa dengan mempelajari bacaan Al-Quran, maka manusia seharusnya menyelami isinya yang menjadi pertunjuk kepada umat manusia dalam segala aspek kehidupannya, fizikal dan kerohanian.

Nabi Ibrahim pernah berdoa kepada Allah SWT ketika memahami kehidupan jahiliah yang kusut dan rosak, supaya Allah SWT membangkitkan seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri untuk membaca ayat-ayat Allah, mendidik dan mengajar keseluruhan ajaran kitab suci itu, mengambil hikmah dan pemahaman yang bijaksana, serta membersihkan segala isi hati nurani mereka dari sebarang penyakit jiwa dan akal mereka, kerana gabungan tujuan mulia inilah Al-Quran diturunkan  sebagai satu perlembagaan yang menyeluruh dan universal untuk mendidik masyarakat manusia sebagai umat global.

Maka untuk menjalankan tugas dan kewajipan menyeluruh inilah, Allah SWT mengutus Nabi kita Muhammad SAW untuk menjadi Nabi dan Rasul terakhir kepada manusia seluruhnya.

Sebab itulah saya cadangkan di atas bahawa pusat tahfiz yang ada sekarang ini segera dipertingkatkan ke peringkat yang lebih tinggi dan menyeluruh, iaitu dalam mendidik dan mengajar Al Quran sebagai satu bidang pengajian yang pelbagai, daripada bacaan dan tilawah, ke arah pemahaman kandungannya, kebijaksanaan mengambil inti patinya dalam menguruskan segala disiplin hidup dunia dan akhirat, malah sebagai pusat pengajian yang luas untuk memahami konsep tauhid dan undang-undang Allah yang serba canggih, dengan kesimpulan yang dapat diperoleh, bahawa Al-Quan sebenar-benarnya merupakan sebuah kitab suci untuk urusan dan penghayatan bagi kehidupan dunia dan akhirat.

Saya perhatikan di dalam buku Tafsir Al-Quran “Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran 30 Juzuk” yang diterbitkan oleh JAKIM semenjak tahun 1968, di bahagian akhirnya tertera beberapa tajuk penting yang di kemukakan sebagai rujukan kepada para pengajar dan pelajar, malah kepada seluruh para pembacanya, untuk merujuk kepada ayat-ayat tertentu yang memperkatakan dan membuat analisis yang penting tentang sesuatu bidang yang tertentu.

Para pentafsir yang bijaksana bagi buku tafsir ini telah menunjukkan sedikit panduan kaedah ilmiah untuk menyelami rahsia Al-Quran dari segi kefahamannya yang serba ringkas sahaja. Tetapi sekiranya panduan ini dapat dibentangkan dalam beberapa peringkat disiplin ilmu dan dibicarakan secara kajian dan perbandingan yang menyeluruh dalam tahap-tahap pengajiannya,  maka bidang pengajian Al-Quran ini akan dapat membukakan ruang lengkap pengajian Al-Quran yang lebih luas lagi, dalam bidang sains kajian perbandingan  ilmu, sejarah pembentukan dan kejadian manusia, alam sekitar, angkasa lepas dan sebagainya, yang sering tidak pernah difikirkan oleh manusia bahawa hal ini dibicarakan oleh Al-Quran sejak awal lagi.

Di antara tema dan tajuk penting yang ditonjolkan oleh pentafsir yang tersebut,  termasuklah tentang bahagian keimanan, keesaan Allah SWT, kerasulan malah tentang peranan dan fungsi Al-Quran sendiri dalam menyusun dan menguruskan alam dan manusia ini, akhlak, ibadat, hukum hakam, ilmu pengetahuan, umat manusia kepelbagaian kepercayaan, rezeki dan nikmat, pengurusan diri dan negara, peperangan dan jihad, makhluk lain seperti malaikat, iblis, syaitan dan sebagainya.

Semua pembicaraan mengenai urusan hidup seperti yang dibicarakan oleh Al-Quran amat penting di analisis ketika mengkaji Al-Quran dan melaksanakan segala ajarannya serta menghayatinya dalam segenap peringkat dan lapisan masyarakat dan manusia.

Dengan meningkatkan pusat-pusat tahfiz yang sedia ada pada hari ini  ke tahap pusat atau institusi pengajian yang mendalam tentang pengajian Al-Quran, pahala dan visi yang diberikan Allah SWT kepada pembaca Al-Quran akan meningkat berlipat ganda kepada yang mengkaji kitab suci ini untuk direalisasikan tujuan meluas Al-Quran itu diturunkan.

Umat Islam pada hari ini perlu menyusun agenda yang praktikal bagi mencapai tahap yang tinggi dalam membuktikan kepada dunia bahawa umat Islam ialah umat yang terbaik, tinggi, termaju, serta mendapat rahmat dan petunjuk Allah SWT.

Demikian juga setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan seperti sekarang ini, maka pemusatan kepada kitab suci Al-Quran, bukan hanya sekadar bacaan dan tadarus Al Quran dalam pengertian bacaan tanpa, dengan pemahaman yang singkat atau tidak wujud pemahaman sama sekali, tetapi akan dapat dilonjakkan ke hadapan, kepada matlamat yang lebih tinggi dan bermakna, iaitu menghayati dan melaksanakan segala falsafah dan agenda Al-Quran itu, tanpa menafikan sebahagian usaha begini yang telah pun dilakukan oleh sesetengah pihak di negara kita ini.

Pihak Kementerian Pendidikan negara kita, dengan kerjasama agensi agama, dan badan serta persatuan tokoh intelektual di negara kita,  dapatlah mulai mengambil langkah permulaan ke arah melaksanakan usaha murni ini bagi faedah umat Islam di negara kita khasnya, dan dunia umumnya.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.