Lagi 14 laporan SPRM isu land swap Kementerian Pertahanan

Lagi 14 laporan SPRM isu land swap Kementerian Pertahanan
  1. LAPORAN ini berasaskan ‘Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai oleh Tan Sri Ambrin Buang bekas Ketua Audit Negara, yang telah menyiasat 16 kes Land Swap di Kementerian Pertahanan. Dua daripadanya iaitu Pembinaan Kem Paloh dan Kem Hutan Melintang sudah dilaporkan kepada SPRM dan hari ini baki 14 kes lagi akan diserahkan kepada pihak SPRM untuk tindakan lanjut.

 

  1. Land Swap ialah satu kaedah pembangunan Kem-Kem Tentera, perumahan anggota tentera dan fasiliti-fasiliti lain yang dibiayai melalui pertukaran tanah milik persekutuan yang diberikan kepada pihak swasta yang membangunkan. Ia satu kaedah untuk menangani kekangan kewangan kerajaan di sebalik keperluan yang besar terhadap pembangunan.

 

  1. Keseluruhan 16 projek Land Swap ini melibatkan 2923 ekar tanah milik persekutuan yang bernilai RM4.7 bilion dan nilai projek yang sepatutnya dibangunkan sebanyak RM4.8 bilion. Sehingga Disember 2018, hanya 5 projek telah disiapkan, 2 dalam pembinaan dan baki 9 projek lagi sama ada gagal disiapkan atau masih dalam proses untuk ditandatangani.

 

  1. Isu-isu di sebalik projek ini:

 

  1. Hanya dua daripada 16 projek Land Swap ini iaitu Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di Putrajaya dan Fasiliti Skuadron 323 TUDM Bukit Banang, Johor termasuk dalam Pelan Pembangunan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan 14 lagi tidak termasuk di dalam Pelan Pembangunan tersebut dengan makna bukan keutamaan.

 

  1. Terdapat 10 daripada 16 projek Land Swap ini dimulakan dengan cadangan daripada pihak swasta yang mana pihak swasta yang mengenal pasti tanah balasan dan seterusnya mencadangkan projek pembangunan untuk dipertimbangkan KEMENTAH. Ini menyebabkan perancangan projek berlaku secara ad hoc. Ia telah menyebabkan banyak kelewatan dan pihak kerajaan kerugian nilai tanah yang semakin meningkat dan peningkatan kos binaan.

 

  1. Terdapat pertimbangan politik melebihi kepentingan kerajaan di 13 daripada 16 projek yang dibina. Semakan dengan pihak SPR mengesahkan dapatan siasatan JKSTUPKK bahawa beberapa kem iaitu Kem Bera, Kem Segamat, Kem Paloh dan Kem Hutan Melintang dibina bagi tujuan politik iaitu pemindahan pengundi sebelum pilihanraya ke-14 bagi memenangi parlimen dan DUN tertentu. Ia dibina bukan disebabkan strategik ketenteraan, tetapi kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

 

  1. Pemilihan syarikat pelaksana projek ini yang tidak mengikut syarat iaitu berpengalaman dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh iaitu minima 10 peratus daripada nilai projek yang akan dibina. Terdapat syarikat yang hanya memiliki tidak sampai 1 peratus daripada nilai projek dan terdapat syarikat yang mempunyai rekod gagal menyiapkan projek kerajaan terdahulu dan dibatalkan projek tersebut, telah mendapat projek pembangunan melalui Land Swap ini. Hal ini memberi kesan kepada kelewatan projek disiapkan sehingga ada yang lewat 11 tahun.

 

  1. Terdapat 4 projek yang nilaian tanah gantian yang diputuskan lebih rendah daripada nilai tanah yang dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sehingga menyebabkan kerajaan rugi nilai tanah tersebut sebanyak RM166 juta.

 

KERUGIAN KEPADA KERAJAAN

Hasil siasatan menganggarkan kerajaan telah rugi sebanyak RM515.21 juta berdasarkan kepada perlanjutan masa projek yang gagal disiapkan segera, kontrak-kontrak tambahan yang tidak termasuk dalam perancangan dan penetapan nilai tanah gentian yang lebih rendah daripada harga semasa yang dinilai oleh jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

 

Kebimbangan kita, kerajaan bukan sekadar kerugian nilai wang tetapi juga kedudukan strategik pertahanan negara terjejas disebabkan kegagalan projek-projek tersebut. Atas semangat mempertahankan kedaulatan negara dan perkara yang sama tidak berulang lagi di bawah pentadbiran baharu, maka laporan akan dibuat kepada pihak SPRM untuk tindakan lanjut.

 

Mohd Nasaie Ismail
Pegawai Tugas Tugas Khas kepada
Menteri Pertahanan Malaysia.

 

 

Berikut ialah senarai 14 Projek Pembangunan Melalui Kaedah Land Swap yang akan dilaporkan:

 

  1. Projek Pembangunan Kem Markas 11 Briged, Depot Simpanan Pertahanan dan Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (PERHEBAT) di Serendah, pertukaran dengan tapak tanah Kem Sungai Buloh.

 

  1. Projek Pembinaan Fasiliti Sukan di Kem Sg Besi, Baik Pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) 6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kedah, 2 Kor Artileri Diraja (KAD) Negeri Sembilan dan 4 RAMD di Tapah, Perak. Pertukaran dengan tanah KEMENTAH DI Jalan Kuching, Mukim Batu, Kuala Lumpur.

 

  1. Pembinaan Kem Batalion Infantri Tentera Darat di Batu Pahat, pertukaran dengan Kem Majidee, Mukim Plentong Johor.

 

  1. Projek Penswastaan Kem Transit dan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.

 

  1. Cadangan Pembangunan Rejimen 514 Askar Wataniah, Sg Putat Melaka dan Pembangunan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Terendak Melaka.

 

  1. Projek Pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di Putrajaya.

 

  1. Projek Pembinaan 60 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Slim, Cameron Highland, pertukaran dengan tanah Kem Brinchang.

 

  1. Projek Pembinaan Kompleks 7 Briged Skudai. Pertukaran tanah Kem Tebrau dan Kem Penggawa Timur, Johor.

 

  1. Projek Pembinaan Kem Logistik Tentera Darat di Semenyih, pertukaran tanah Kem Batu Kantonmen.

 

  1. Projek Pembinaan Kompleks Markas 2 Divisyen Jalan Bayan Lepas, Bukit Gedung dan Sungai Ara, Pulau Pinang. Pertukaran tanah dengan Kem Batu Uban.

 

  1. Cadangan penswastaan Kompleks Markas Divisyen 1 di Muara Tuang, Sarawak dan Pembinaan Akademi Tentera Malaysia (ATMA iv)di Sg Besi, tukaran tanah Bukit Raja, Klang dan Palm Road, Kuching.

 

  1. Cadangan Pembinaan Depot Peluru 71 Batalion Ordinans Divisyen di Kem Muara Tuang. Tukaran tanah kem Stampin, Sarawak.

 

  1. Projek Cadangan Pembangunan Fasiliti di Kem Muara Tuang dan Kem Pennrisen, Sarawak.

 

  1. Projek Pembangunan Fasiliti Skuadron 323 TUDM di Bukit Lunchu ke Bukit Banang, Johor dan Pangkalan Udara, Kuantan.

 

PROJEK YANG SUDAH DILAPORKAN KEPADA SPRM

 

  1. Pembangunan Batalion Infantri Standard (BIS) dan Rejimen Artileri Diraja Bantuan Rapat di Hutang Melintang, Bagan Datuk.

 

  1. Projek Pembangunan Kem Paloh, Kluang, Johor.

 

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.