Mahasiswa tak perlu ikat perut

Mahasiswa tak perlu ikat perut
Gambar atas: Pelajar Fakulti Sastera dan Sains Social menerima bantuan makanan menerusi program senyum Ramadan anjuran Halping Hand Projek di Universiti Malaya. NSTP/ROHANIS SHUKRI

 

“Bantuan kecil ini diharap dapat memberi sinar kegembiraan kepada mahasiswa agar tidak terus ‘ikat perut’ dalam perbelanjaan harian dan boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian.”

 

KUALA LUMPUR — Pengalaman anak yang menuntut di universiti mengalami kesempitan wang menjadi antara pendorong seorang usahawan tampil membantu golongan mahasiswa yang kurang berkemampuan.

Ahmad Syafique Abdullah, 54, berkata, pengalaman ‘pahit’ itu sepatutnya tidak perlu dilalui mahasiswa yang sepatutnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian tanpa bimbang mengenai perbelanjaan harian.

Menurutnya, selepas berbincang dengan isteri, Rosnah Yunus, 50, mereka akhirnya sepakat untuk mempromosikan untuk menyediakan menu untuk mana-mana individu yang berminat menyalurkan bantuan.

“Kami mengusahakan kafe dan kebolehan isteri dalam bidang masakan digunakan untuk memasak juadah berbuka puasa yang akan diagihkan kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan.

“Menu yang ditawarkan bernilai RM15 namun saya hanya mengenakan bayaran RM12 untuk satu pek makanan yang lengkap bersama air minuman dan buah,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Pelajar Fakulti Sastera dan Sains Social, Sri Mulyati Setu bersama rakannya Nurul Farhani Rahim menerima bantuan makanan menerusi program senyum Ramadan anjuran Halping Hand Projek di Universiti Malaya. NSTP/ROHANIS SHUKRI.

Ahmad Syafique yang juga pemilik Kafe Sembang berkata, setiap hari beliau dan isteri bersama pembantu akan menyiapkan 100 bungkus juadah berbuka puasa pelbagai menu dan mula diedarkan bermula jam 4 petang di Universiti Malaya (UM).

Katanya, bantuan kecil ini diharap dapat memberi sinar kegembiraan kepada mahasiswa agar tidak terus ‘ikat perut’ dalam perbelanjaan harian dan boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian.

“Untuk permulaan, saya bersama penyumbang sudah berkolaborasi dengan kumpulan mahasiswa UM iaitu Helping Hands Project (HHP) untuk mengagihkan juadah berbuka kepada 100 mahasiswa menerusi program Senyum Ramadan.

“Respon yang diberikan begitu menggalakkan kerana rata-rata mereka datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Sumbangan kecil ini memberi makna yang besar kepada mereka,” katanya yang berterima kasih kepada Harian Metro kerana menyiarkan inisiatif HHP minggu lalu.

Katanya, usaha murni ini akan diperluaskan di universiti lain sekiranya ada penyumbang yang sudi memberi sumbangan dana agar lebih ramai mahasiswa menerima manfaat.

-Harian Metro
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.