Kisah saya di JB semasa Tragedi 13 Mei di KL

0
1

SUATU kejadian yang sungguh menggemparkan yang memberi tekanan hebat terhadap hubungan antara Melayu dan orang Cina masih lagi menjadi ingatan kepada ramai yang mendiami Kuala Lumpur khususnya.

Maka itulah setiap kali berlaku sedikit angkara di antara kedua-dua bangsa itu ada yang menyebut kita tentunya tidak mahu Mei 13 berulang.

Kebanyakan daripada rakyat negara ini kini sebenarnya tidak boleh membayangkan apa sebenarnya yang telah berlaku waktu itu.

Bagi saya sendiri walau pun sudah menjadi seorang pemberita masa itu tetapi saya sendiri tidak pula mengalaminya.

Ini adalah kerana pada waktu itu saya adalah pemberita akhbar The Straits Times di Johor.

Saya mula dihantar untuk memulakan pejabat akhbar itu di JB pada bulan Oktober 1966.

Sebelum itu apa-apa perkembangan di Johor dilakukan oleh pemberita dari Singapura.

Waktu itu STP (Straits Times Press) adalah satu akhbar saja dengan mempunyai edisi Malaysia dan edisi Singapura.

Belum wujud pun The New Straits Times. Mungkin juga waktu itu pengurusan STP berfikir atau pun mendapat teguran bagaimana berita mengenai sebuah negeri penting di Malaysia dilakukan oleh seorang pemberita asing.

Oleh itu tiga hari selepas saya dipindahkan dari Berita Harian ke Straits Times Press saya telah dipanggil oleh Pengarang Berita STP ketika itu Felix Abisheganathan yang berkata kepada saya:

“Rejal bolehkah you pergi ke JB.” Saya tanya untuk apa. Jawabnya:  “Jadi pemberita kita di sana.”

Alangkah terkejutnya saya.  Tanpa banyak persoalan atau kerenah tiga hari kemudian saya telah menaiki kereta api dengan membawa skuter Vespa saya ke sana.

Itulah pertama kalinya saya menjejaki JB. Dan tidak siapa pula dari KL menemani saya ke sana untuk menolong saya menguruskan soal pejabat, penginapan dan urusan-urusan lain walau pun waktu itu saya hanyalah seorang pemberita kadet.

Semuanya saya terpaksa lakukan sendiri. Baik juga selepas dua hari di sana saya telah serempak dengan seorang kenalan dari Universiti Malaya, Ishak Harun yang ketika itu adalah seorang pensyarah di Malaysian Teachers College (MTC) di situ hingga sehari kemudian menumpang di rumah sewanya di Jalan Storey.

Kemudian saya bernasib baik kerana menemui rakan satu kelas saya di Malay College (MCKK), Sani Kechut yang waktu itu adalah seorang Pegawai di Majlis Bandar JB.

Dia banyak membantu mendapatkan saya menyewa sebuah pejabat di bangunan majlis itu yang lengkap dengan telefon lagi.

Salah satu perkara yang saya ingat ialah menemui beberapa pemimpin politik seperti Menteri Besar Johor ketika itu Hj Othman Saat (kini Allahyarham Tan Sri) serta pemimpin-pemimpin parti pembangkang seperti Mr Yong dari Parti Buruh.

Malah pada Mei 13 saya sedang makan tengah hari dengan salah seorang daripada pemimpin mereka membincangkan soal hubungan kaum.

Ini adalah kerana berlakunya ketegangan kaum khususnya antara Melayu dan Cina yang tercetus semasa kempen pilihan raya. Malah malangnya ia telah mencetuskan pergaduhan teruk di KL hingga membawa maut dan KL dikenakan perintah berkurung.

Baik juga di Johor hal yang tidak diingini seperti itu tidak berlaku.

Malah pada hari itu saya telah makan tengah hari dengan seorang pemimpin parti buruh Johor membincangkan apa yang berlaku di KL.

Walaupun bertugas di sana tak sampai tiga tahun tetapi ia sungguh mencabar dan memberi banyak pengalaman yang tidak boleh dilupai.

Banyak juga berita yang saya kirim digunakan untuk muka satu  hinggakan seorang pemberita di KL yang sedang mengambil berita yang saya sampaikan melalui telefon berkata: “Rejal kenapa you terlalu kuat sangat bekerja” ; saya jawab “bukan kuat bekerja tetapi tahu apa yang hendak dilakukan”.

Saya selalu juga ke pejabat STP di Singapura  untuk menghantar berita sebab di sana ada direct teleprinter connection dengan ofis KL.

Apabila di sana, selalu juga editor Wee Kim Wee (kemudian menjadi Presiden Singapura) apabila ternampak saya dia akan panggil saya ke biliknya.

Dia banyak bertanyakan mengenai perkembangan di Johor.

Anaknya Cindy Wee adalah emak kepada perenang terkenal kita Nurul Huda.

Sewaktu di JB saya selalu berulang-alik ke Singapura. Waktu itu causeway (Tambak Johor) tak ada jem pun.

Malah pada suatu hari Ahad saya telah berulang-alik sebanyak tiga kali sehari.

Pada waktu itu ramai pegawai kastam dan imigresen di causeway mengenali  saya.

Satu kisah yang sukar saya lupakan ialah kisah bersama Tengku Mahmood yang kemudian menjadi Sultan Iskandar dan juga Yang di-Pertuan Agong.

Baginda pada mulanya ialah Tengku Mahkota tapi kena tarik balik gelaran tu.

Saya baik dengannya malah dia pernah datang ke rumah saya menginap ketika itu di Jln Storey.

Sewaktu baginda datang saya keseorangan di rumah kerana teman serumah saya Ishak Harun dan Teng Sin Woo seorang lagi pensyarah sedang bertugas di MTC.

Tengku Mahmood kemudian berkata kepada saya:

“Kita adat Melayu bila ada tetamu kita kena hulurkan sedikit juadah”.

Saya bagi tahu baginda di rumah itu tidak ada apa yang boleh dihulurkan.

Kemudian dia mencelah: “me dahaga”.

Orang Johor membahasakan diri sendiri sebagai ‘me’.

Saya pun ke dapur untuk cari sesuatu malangnya tidak ada apa-apa.

Peti sejuk pun tak ada. Jadi saya kata kepadanya air paip adalah dan baginda kata “air paip pun bolehlah”.

Jadi saya sekali lagi ke dapur mencari bekas. Malangnya gelas pun tak ada.

Saya terpaksa basuh satu cawan yang ada dalam sinki dan isinya dengan air paip dan hulurkan kepada Tengku Mahmood dan dia meminumnya.

Tengku Mahmood baik dengan saya kerana suka dengan berita yang saya tulis mengenai baginda diberi gelaran Raja Muda, suatu gelaran baru yang diwujudkan khas untuknya.

Waktu itu adiknya Tengku Abdul Rahman (kalau tak silap) telah dikurniakan gelaran Tengku Mahkota menggantikan tempat Tengku Mahmood.

Satu kisah lain ialah bagaimana saya mendapat lesen memandu kereta kerana pada  waktu itu saya telah membeli kereta sports Austin Healey Sports dan telah ke hulu ke hilir termasuk ke Singapura tanpa lesen memandu. Saya hanya ada lesen B untuk motosikal.

Namun, satu kejadian telah menyebabkan satu terpaksa mengambil lesen memandu kereta.

Suatu hari apabila sedang memandu  pulang ke JB dan berhampiran Woodlands sebuah bas depan saya berhenti secara mengejut dan saya melanggar bas itu.

Nasib baik tak laju. Apabila saya keluar dari kereta, demikian juga pemandu bas.

Saya berfikir habislah aku kali ini.

Nasib baik tak ada apa-apa serius dan pemandu bas pun beredar.

Lepas itu saya pun berazam nak dapatkan lesen ‘D’ untuk kereta.

Jadi saya pun uruskannya dan pada hari ujian itu saya telah ke JPJ di Jalan Larkin. Petang hari sebelumnya saya membeli plate L.

Pada hari ujian saya puas cari kawan untuk pandu saya ke JPJ tapi tidak ada seorang pun yang lapang.

Jadi saya pun pandulah kereta sports saya ke JPJ. Sampai di sana saya pun keluar dan gantungkan plate L itu di depan dan belakang kereta.

Ada beberapa orang di situ telah melihat apa yang saya buat dan bertanya. Saya kata saya datang untuk mengambil ujian.

La, mereka kata tapi sudah membawa kereta ke sana ke mari.

Saya menjawab: “Yalah tapi tak ada lesen, ni baru nak ambil”.

Waktu itu ujian boleh dilakukan dengan kereta sendiri. Kebetulan pengujinya ialah seorang Engku tinggal di Jalan Storey, di atas dari rumah saya tinggal dan dia pernah terserempak dengan saya.

Memanglah kereta sports itu tidak ada bumbung jadi siapa pun bila terserempak akan nampak saya memandu.

Jadi Engku inilah yang menguji saya. Dia agak berisi dan agak susah sikit hendak masuk duduk.

Dia berkata “inilah bila dah berisi macam ini susah sikitlah nak masuk kereta sports”.

Saya pun kemudian memandu uji melalui Jalan Larkin dekat dengan stesen bas.

Jadi banyaklah bas berulang alik.

Engku berkata kepada saya “nasib baiklah you dah pandai bawa kalau tidak kecutlah perut saya”.

Saya berfikir “nampak gayanya luluslah aku…”

 

Bersambung…

 

— BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here