Cara berpuasa umat Islam dan Yahudi berbeza

Cara berpuasa umat Islam dan Yahudi berbeza
APA SAJA bersama NAZERI NONG SAMAH

 

IBADAT puasa bulan Ramadan wajib ditunaikan oleh umat Islam yang akil baligh atau cukup umur dan siuman (tidak gila) serta mengikut segala syarat ditetapkan hukum syarak sebagai memenuhi Rukun Islam ke-3 itu.

Prasyarat yang lazim disebut mengenai kaedah puasa itu ialah menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari bermula sebelum masuk waktu subuh sehingga berkumandang azan maghrib tatkala terbenamnya fajar di ufuk barat.

Puasa juga menetapkan syarat tertentu bagi mengelakkan ibadat itu terbatal antaranya jika memasukkan dengan sengaja sesuatu ke dalam rongga tubuh badan, termasuk berjimak pada siang hari.

Dalil wajib puasa adalah menepati dengan Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183).

Dalam pada itu amat penting disedari bahawa kaedah menunaikan ibadat berpuasa bagi umat Islam dengan Yahudi dan Nasri (ahli kitab) adalah berbeza.

Perkara tersebut perlu diketahui sebagai pedoman kepada umat Islam yang sekadar ikut-ikutan berpuasa, tetapi gagal mendalami hukum syarak dan peraturan wajib atau sunat dalam mengerjakan ibadat itu.

Puasa bagi umat Islam perlu dilakukan mengikut ajaran sebenar yang disebut dalam hadis agar tidak menyerupai amalan puasa Yahudi dan Nasrani.

Daripada Amru bin al-‘As r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perbezaan di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.” (Hadis riwayat Muslim).

Makan sahur sebelum masuk waktu subuh adalah amalan Rasulullah SAW kerana terkandung banyak hikmah tersembunyi di sebalik tuntutan tersebut.

Antaranya ialah makan sahur boleh membekalkan tenaga dalam tempoh seharian siang berlapar dahaga, selain ia juga adalah sunnah Rasulullah SAW.

Justeru Anas bin Malik r.a. meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat yang besar.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Ada pelbagai kaedah bersahur itu sama ada makan dengan kenyang atau sekadar memakan beberapa biji kurma dan meminum susu, tetapi jika tidak mempunyai susu, memadai meminum air sejuk.

Seperti diketahui umum bahawa buah kurma adalah makanan mengikut sunnah Rasulullah SAW itu memang terkandung banyak zat berupa vitamain dan mineral meskipun dimakan dalam jumlah sedikit, tetapi ia mampu membekalkan tenaga dalam tempoh yang panjang terutama ketika berpuasa.

Walaupun amalan sahur itu dianjurkan oleh Rasulullah SAW, namun masih ramai umat Islam yang ‘malas’  bangun tidur untuk bersahur, sedangkan ia memberi banyak kelebihan.

Antara kelebihannya ialah sebaik sahaja selesai bersahur, umat Islam boleh terus menunaikan solat subuh sama ada di rumah atau terus ke surau dan masjid berdekatan dengan kawasan kediaman.

Seperkara lagi yang perlu diketahui oleh umat Islam ialah ketika berbuka puasa juga terdapat perbezaan dengan cara Yahudi dan Nasrani dalam hal tersebut.

Pernah ada riwayat menyebut supaya umat Islam melambatkan bersahur (supaya kurang lapar ketika berpuasa), tetapi mempercepatkan berbuka puasa apabila sampai waktu yang ditetapkan mengikut kawasan tertentu.

Hadis riwayat Abu Daud menyatakan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Agama akan sentiasa nampak syiarnya dengan nyata selama orang Islam berbuka puasa dengan segera, sebab orang-orang Yahudi dan Nasrani melambat-lambatkannya.”

Demikianlah kesimpulan utama yang dapat dikutip daripada huraian mengenai perbezaan menunaikan ibadat puasa antara umat Islam dengan Yahudi dan Nasrani.

Semoga dengan itu ia akan dapat memberi pencerahan kepada mereka yang selama ini mengabaikan perkara yang dituntut oleh ajaran Islam menerusi firman Allah SWT dalam kitab suci al-Quran di samping sabda Rasulullah SAW.

Pengajaran lain daripada apa yang diperkatakan ini juga dapat membantu umat Islam membezakan cara beribadat khususnya berpuasa, berbanding dengan cara penganut agama lain.

Selain itu ibadat puasa juga wajib ditunaikan secara ikhlas dengan niat ‘kerana Allah’ tetapi bukan sekadar ikut-ikutan sebagai tradisi bulan Ramadan bagi umat Islam.

Sesungguhnya kita bersyukur bahawa hampir 99 peratus umat Islam dapat menunaikan ibadat puasa genap sebulan bagi golongan lelaki, berbanding golongan wanita muda di bawah usia 50 tahun lazimnya tidak dapat berpuasa penuh kerana halangan keuzuran datang haid, tetapi lazimnya mereka akan lakukan ‘puasa wajib ganti.’

Mengapa umat Islam rajin berpuasa? Apakah kerana ibadat itu ‘mudah’ dilaksanakan sekadar menahan lapar dan dahaga serta menjauhi perbuatan membatalkan ibadat itu sepanjang siang hari? Atau guna taktik tidur lama bagi mengelakkan rasa lapar?

Kita kerap berjumpa umat Islam akan bertanya kepada rakannya dalam bulan Ramadan: “Puasakah hari ini?”

Tetapi kita jarang atau terus tidak berpeluang mendengar soalan lain dalam bulan Ramadan: “Sudah solatkah?”

Sedangkan puasa itu memakan masa yang lama sepanjang siang hari, berbanding dengan mendirikan solat lima waktu tidaklah terlalu lama untuk setiap waktu tertentu, sebaliknya ramai umat Islam lebih rela berbual kosong, berjenaka, mengumpat, menonton televisyen, membaca bahan picisan, melihat WhatsApp atau bersiar-siar berjam-jam lamanya.

Lantaran itu puasa yang tidak disertai dengan solat lima waktu pastinya akan pincang, kerana kedua-dua ibadat wajib itu tidak berjalan seiringan, apatah lagi insya-Allah pahalanya berlipat kali ganda jika ditunaikan terutama pada bulan mulia Ramadan penuh berkat ini. Renungkanlah…

–BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "Cara berpuasa umat Islam dan Yahudi berbeza"

  1. jarlon  06/06/2019 at 9:09 am

    bulan posa d malaysia bkn jadi bulan ibadah, tapi jadi bulan melantak !!
    https://facebook.com/rojakcincau

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.