Pergilah Bapa

0
48

S M Mohamed Idris 1926 – 2019

Pergilah Bapa;
Rehatlah,
Telah bertahun lelah kau itu,
Aku tahu kau takkan berhenti,
Hingga masanya, DIA menjemput kau kembali,

Timbunan buku yang berserakan,
Di meja, kerusi rotan, katil, memenuh ruang,
Majalah dari Selatan ke timur,
Keratan-keratan akhbar yang kau selak satu demi satu,
Dan teriakanmu, manusia ini lalai dan hina !

Kami terbina, bukan dari kertas2 akademik yang kering tak bersuara,
Bukan dari helaian falsafah yang tidak mampu berbicara pada manusia,
Atau dari kata-kata agama yang gagal menyedarkan dari alpa,
Atau teori sains dan ekonomi yang miskin budinya,
Atau kegagahan, panggil dan gelar yang kau benci selamanya,

Namun; kami ini terbina,
Melihat kegigihanmu yang tak pernah lelah leka,
Melihat kesederhaanmu dengan Dhoti dan songkok, penuh mulia,
Dengan ketajaman akalmu, membedah kecuaian sains dan kerakusan tamak manusia,
Dan kamu tidak tunduk pada kesombongan, kebodohan dan kepura-puraan segala,
Prinsip, tidak terbeli dengan apa-apa-apa harga,

Dikatil sakitmu, kau masih terus berbicara,
Tentang Ramadhan yang dilacur muslim semuanya,
Dikalah nafsu dengan pembaziran yang gila,
Puasa, tidak mengajar kita bersederhana,
Namun keras mengajar kita, menjadi lebih haloba,

Dari Palestina ke Pattani,
Nelayan, Petani ke Hutan Rimba,
Perubahan Iklim, Ulu Muda ke pestisida,
Produk haram ke teknologi gila,
Kucing, anjing ke budaya materialisma,
TPPA, WTO ke budaya bergantung,
Tambak laut, tarah bukit ke bahaya gula,
Semua kau gegarkan,
Membangun, hati yang mati,
Dan akal yang buta,

Tak dapat kutahan airmata ini mengalir,
Akukan merinduimu bapa,
Dan begitu juga ribuan pejuang yang kau lahirkan,
Legasi yang pastinya kami teruskan,
CAP, SAM, TWN, Utusan Pengguna dan ribuan perjuangan,

Terima kasih bapa,
Rehatlah, pergi mengadap yang Esa,
Tugasmu telah selesai dengan tinggi wibawa,
Pahalamu bersambungan pada generasi seterusnya,
Pak Derih, Uncle Idris,
Kamu tidak mati dihati kami,
Akan kekal abadi selamanya.

 

Nizam Mahshar
Rose Avenue, P.Pinang
17 Mei 2019

 

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here