Subjek agama lain tak sesuai ajar di sekolah – Nik Omar

0
21
Gambar atas: Yang di Pertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Nik Omar Nik Abdul Aziz, bersalaman dengan tetamu yang hadir di Majlis makan colek dan sembang santai sinar Ramadan, di Pasir Tumboh. NSTP/FATHIL ASRI

 

“Jadi pendedahan agama lain ini sebagai satu cara untuk kehidupan harmoni dalam negara majmuk.”

 

CADANGAN supaya subjek agama lain selain Islam diperkenalkan di sekolah dilihat tidak sesuai untuk dilaksanakan, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Katanya, di peringkat usia tersebut adalah penting bagi seseorang Muslim diberi penekanan terhadap asas agama Islam dan pemantapan akidah terlebih dahulu.

“Kita tidak (boleh) menyatakan setiap agama sama sebaliknya kita tetap kena yakin bahawa agama yang benar adalah Islam yang diturunkan daripada Allah SWT.

“Namun pada masa sama kita menghormati pilihan agama dan bangsa lain,” katanya ketika ditemui selepas Program Makan Colek dan Sembang Santai Sinar Ramadan, di Kota Bharu, semalam.

Sebaliknya Nik Omar berkata cadangan tersebut lebih sesuai jika dilaksanakan di peringkat pengajian tinggi seperti universiti bagi memupuk perpaduan kaum.

“Apabila setiap rakyat Malaysia fahami agama masing-masing, ia memudahkan wujudnya kesepaduan dan menghormati antara satu sama lain. Pendedahan agama lain sebagai satu cara untuk kehidupan harmoni dalam negara majmuk.

“Namun, kalau di peringkat rendah memang tidak sesuai kerana mereka perlu didedahkan asas fardhu ain dan akhlak Islam mulia terlebih dahulu,” kata pemimpin Amanah itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) agar kerajaan memperkenalkan mata pelajaran khusus bagi mengenali agama lain selain Islam di peringkat sekolah dan universiti.

Presiden MBM Jufitri Joha dilaporkan berkata, mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Bukan untuk tunjuk kesamarataan

Sementara itu Nik Omar berkata, cadangan itu memerlukan perbincangan pelbagai pihak dan mengambil kira setiap aspek membabitkan individu, tokoh, serta organisasi terutama Kementerian Pendidikan.

Tegasnya sekiranya mahasiswa beragama Islam didedahkan agama lain, ia perlu dilihat dalam konteks agar mereka menghormati agama tersebut dan bukan untuk menunjukkan kesamarataan.

“Jadi pendedahan agama lain ini sebagai satu cara untuk kehidupan harmoni dalam negara majmuk,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menjelaskan kementeriannya mahu menekankan lebih penghayatan terhadap silang budaya dan kaum di peringkat sekolah dan universiti agar semangat perpaduan dapat dipupuk.

Beliau bagaimanapun tidak secara jelas menyatakan sama ada bersetuju dengan cadangan agar subjek agama lain diperkenalkan di sekolah.

“Pada saya yang lebih penting ialah penghayatan. Jadi penghayatan melalui aktiviti kurikulum, aktiviti bersama, itu akan lebih mendekatkan kita.

“Kita tidak mahu dari segi teori saja tapi kita mahu dari segi praktikal supaya kita lebih memahami dalam erti kata kehidupan bersama itu sendiri,” katanya sambil menjelaskan di sekolah, sudah terdapat beberapa subjek yang membolehkan pelajar mempelajari tentang agama, kepelbagaian budaya dan sebagainya.

http://bit.do/eSNN7
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here