Surat Terbuka kepada Tun Dr Mahathir:  Akta Hasutan 1948

Surat Terbuka kepada Tun Dr Mahathir:  Akta Hasutan 1948
Ulasan DATO’ PROF. EMERITUS DR. HASHIM YAACOB

 

Pada waktu ini kita sering mendengar banyak hasutan dilempar di sana sini yang bukan hanya membuat rakyat negara ini mencurigai antara satu sama lain, tetapi juga membiakkan kebencian.

 

SAYA difahamkan bahawa kerajaan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948, dan akan digantikan dengan yang lebih baik, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong.

Saya merayu kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mengkaji perkara ini dengan teliti.

Pemansuhannya mungkin akan membawa kepada musibah yang tidak akan terduga teruknya, sekiranya tidak digantikan untuk menangani perbuatan jenayah hasutan.

Pada waktu ini kita sering mendengar banyak hasutan dilempar di sana sini yang bukan hanya membuat rakyat negara ini mencurigai antara satu sama lain, tetapi juga membiakkan kebencian.

Tanpa Akta ini, akan ada rakyat yang tidak bertanggungjawab dan berasa bebas menghasut rakyat dengan segala macam propaganda dan niat jahat yang akhirnya akan memusnahkan kestabilan negara.

Rakyat boleh hidup dalam harmoni dan aman apabila mematuhi undang-undang negara yang dibuat oleh rakyat negara itu sendiri.

Tetapi, bila undang-undang dicabul, maka hilanglah keamanan dan kestabilan negara, dan rakyat akan berbuat sesuka hati mengikut nafsu buas untuk memenuhi kepentingan diri sendiri tanpa menghormati hak orang lain.

Sekiranya Akta Hasutan 1948 ini dihapuskan, dan tidak digantikan dengan yang lebih baik, maka akan berpestalah orang-orang yang berhati busuk menabur fitnah di sana-sini.

Mereka tidak akan lagi takut untuk berbuat demikian kerana tiada undang-undang untuk menyekat mereka.

Buruk sangka akan terjadi antara rakyat negeri ini secara berleluasa, yang akhirnya akan menimbulkan malapetaka yang dahsyat.

Rakyat Malaysia tidak mahu perkara ini terjadi.

Semua orang akan rugi dan kalah, tiada siapa yang untung dan menang.

Ketika kita masih mempunyai Akta Hasutan 1948 pun sudah ada manusia yang menghasut demi untuk kepentingan mereka sendiri, seperti menghina Islam dan Rasul, Raja dan kedudukan orang Melayu yang terang-terang ditegah oleh undang-undang.

Apatah lagi sekiranya Akta itu dihapuskan!  Saya pasti keadaan akan menjadi bertambah buruk.

Ingatlah bahawa kebebasan bersuara ada batasnya. Perlembagaan Malaysia pun mengatakan begitu.

Kenangan bersama Tun Mahathir sewaktu beliau melancarkan pameran lukisan Hashim Yaacob di Holliday Villa tahun 2010.

Negara yang bertamadun yang kononnya mengamalkan demokrasi pun mempunyai undang-undang untuk menjaga keselamatan rakyat masing-masing.

Umpamanya Amerika Syarikat yang mempunyai Akta Patriot dengan 10 tujuan, merangkumi hasrat untuk memperkuatkan keselamatan dalam negeri dan memperluaskan kuasa kerajaan untuk mengenal pasti  dan memerangi pengganas.

Akta ini digunakan untuk menangani banyak perkara termasuklah bagi menentang anasir-anasir yang akan memporak-perandakan negara.

Pada dasarnya Akta Patriot Amerika Syarikat ini adalah lebih kurang menyerupai Akta Hasutan 1948 negara kita.

Tetapi, demi untuk keselamatan negara mereka, rakyat Amerika Syarikat masih mengekalkan Akta Patriot mereka ini.

Mengapa pula kita mahu menghapuskannya?

Semua agama mengajar kita supaya tidak menghasut. Dalam Islam, al-Quran dan hadis menyimpulkan bahawa mengumpat merupakan salah suatu dosa besar dan ia merupakan perbuatan yang tercela seolah-olah pelakunya memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati.

Dalam agama Buddha disebut “If a person fails to have faith but instead slanders the sutra, immediately he will destroy all the seeds for becoming a Buddha in this world; To seek enlightenment without repudiating slander is as futile as trying to find water in the midst of fire or fire in the midst of water; And he is a slanderer, having heard something at one place, he makes it known elsewhere for causing variance among other people.”

Agama Hindu menyatakan “One giving false evidence or uttering falsehood goes to Raurava hell.”

Agama Kristian menyatakan “You shall not bear false witness against your neighbor.”

Taoism menyatakan “To break up friendships and set kinfolk at odds is called maliciousness”.

Orang yang tidak beragama sekalipun, sekiranya mereka mempunyai fikiran yang waras, tidak akan mengutuk perbuatan menghasut.

Sekiranya Akta Hasutan hendak dihapuskan dan digantikan dengan yang lebih baik, maka ia hendaklah mengambil kira fakta-fakta yang akan menghalang kebebasan bercakap yang boleh merosakkan harmoni dan keamanan negara.

Jangan kerana tersangat bebas berkata-kata, badan dan negara jadi binasa.

Saya akan menulis di lain waktu dengan lebih lanjut mengenai perkara ini.

Saya berharap pendapat saya ini akan sampai kepada pengetahuan Tun Dr Mahathir.

— BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "Surat Terbuka kepada Tun Dr Mahathir:  Akta Hasutan 1948"

  1. Dr. Nedunchelian Vengu  21/05/2019 at 11:15 am

    Satu pendapat yang bernas dan kena pada tempat dan waktunya. Seperkara yang hendak saya utarakan, “ Bersatu kita tenguh, bercerai kita roboh”. Saya menyokong penuh pendapat Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob agar Akta Hasutan 1948 dikekalkan ataupun diganti dengan akta yang lebih baik agar keharmonian negara dapat dikekalkan dan dipelihara.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.