Upacara serah anak babi kepada Tun Mahathir

0
39
Oleh DATUK REJAL ARBEE

 

MENJADI seorang pemberita memberikan kesempatan kepada saya untuk menjejaki negara-negara asing hingga dapat melihat banyak negara di semua benua, kecuali Antartika.

Kebanyakan daripada negara Eropah sememangnya saya telah pun sampai, melainkan Sweden, Norway, Sepanyol dan Portugal.

Kunjungan saya ke negara-negara tersebut kebanyakannya untuk membuat liputan lawatan pemimpin-pemimpin negara, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Saya juga pernah membuat liputan beberapa lawatan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga Datuk Seri Najib Tun Razak ke Warsaw, Poland.

Pada satu ketika saya pernah membuat liputan lawatan Tun Mahathir ke negara-negara di Selatan Lautan Pasifik, termasuk Western Samoa.

Bagi tugasan itu kami sempat melintasi International Dateline (IDL) untuk ke negara berkenaan yang bermakna kami kehilangan sehari dalam jadual rangka lawatan.

Bagaimana pun, pada keesokan harinya apabila kami melintasi semula IDL,  kami kembali ke hari asal.

Di Western Samoa semua ketua kaum di situ mahu meraikan Tun Dr Mahathir secara besar-besaran.

Penghargaan sedemikian mengikut adat orang Samoa melibatkan penyerahan seekor anak babi hidup kepada Tun.

Berdepan dengan keadaan sebegitu, nasib baik sehari sebelum acara berlangsung pihak pegawai kedutaan kita diberitahu mengenainya.

Alangkah terkejutnya apabila diberitahu bahawa perkara itu tidak mungkin boleh dilakukan.

Justeru, pegawai-pegawai terpaksa memberi tahu kepada ketua-ketua kaum Samoa mengapa upacara itu tidak boleh dijalankan.

Nasib baiklah mereka akur, dan upacara itu pun dibatalkan dan diganti dengan acara biasa saja.

Apabila saya hendak menulis episod tersebut sebagai berita, pegawai khas Tun, Engku Annuar minta saya jangan buat demi untuk menghormati kaum-kaum di Samoa.

Maka itu saya pun tidak menulis mengenainya walau pun ia sebenarnya suatu berita yang sungguh menarik.

Jadi, inilah pertama kali saya menulis mengenainya walaupun saya pernah menceritakan hal tersebut kepada keluarga dan rakan-rakan rapat.

Suatu hal yang saya lihat di Western Samoa ialah betapa banyaknya babi di sana hingga saya terserempak dengan beberapa ekor berkeliaran.

Bersambung…

 

— BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here