Saban tahun berpuasa: belajarkah kita darinya ?

Inilah yang dikatakan puasa itu adalah tindakan “melawan” atau “menentang” arus, dan hal ini perlu dilakukan selama sebulan di dalam bulan Ramadhan.

Saban tahun berpuasa: belajarkah kita darinya ?
Oleh DR ISMAIL IBRAHIM

 

Bertakwa ertinya menjadi orang yang yakin kepada Allah SWT, yakin kepada kekuasaan-Nya, dan hasilnya kita merasa yakin kepada diri sendiri, bahawa segala kawalan dan niat serta peperangan menentang nafsu dan tuntutan badani, yang sering kali melampaui batasan, akan dapat kita lakukan dengan berjaya.

 

RAMADHAN tiba dan pergi saban tahun. Dan kini bulan berkat itu menjelang lagi, menambahkan hayat kita dan umur manusia seluruhnya setahun lagi.

Allah SWT menyediakan masa dan mewajibkan sesuatu ibadat yang difardhukan untuk manusia. Maka manusia wajiblah melakukannya semata-mata kerana menurut perintah-Nya.

Disamping manurut perintah-Nya,  kewajipan ini mempunyai hikmah dan rahsia yang amat banyak, yang kadang-kadang disedari dan kadang-kadang tidak pun dirasakan oleh hamba-hamba-Nya, malah hikmah dan manfaat yang seharusnya diperoleh daripada ibadat itu, terdapat orang yang menghayatinya, dan terdapat orang yang tidak pun menyedarinya, apa lagi menghayatinya sepanjang zaman.

Demikianlah hakikatnya dengan ibadat puasa. Puasa hanya berupa menahan nafsu makan dan minum, tidak nafsu ammarah yang lain. Puasa mungkin tidak merupakan amalan dan ibadat yang seharusnya memberikan banyak iktibar dan pendidikan secara “tidak formal” kepada umat Islam segala peringkat dalam meningkat dan memajukan dirinya.

Ibadat puasa merupakan satu tindakan jasmani manusia yang boleh dianggap sebagai satu tindakan “melanggar arus” ketika jasmani manusia yang tabii memerlukan makan dan minum, tetapi orang berpuasa tidak boleh makan dan minum. Ketika makanan dan minuman yang halal boleh dimakan dan diminum pada bila-bila masa sahaja, tetapi makanan dan minuman itu menjadi haram pada waktu siang hari bagi orang yang berpuasa. Demikianlah juga bagi tuntutan jasmani  lain yang diperlukan oleh tubuh manusia yang diharuskan oleh syarak, terdapat di antaranya yang ditegah dan diharamkan kepada orang yang berpuasa.

Inilah yang dikatakan puasa itu adalah tindakan “melawan” atau “menentang” arus, dan hal ini perlu dilakukan selama sebulan di dalam bulan Ramadhan. Allah SWT memberikan kuasa mengawal kepada manusia sepenuhnya dengan mewajibkan puasa sebulan di dalam setahun, dan amalan ini haruslah dilakukan berulang-ulang saban tahun menjelangnya bulan Ramadhan.

Menentang atau melawan arus tuntutan fizikal, apa lagi tuntutan kerohanian, melawan nafsu jasmani dan rohani, bukanlah merupakan perkara mudah bagi manusia untuk melakukannya dengan penuh kejayaan. Tuntutan nafsu makan minum saja pun merupakan satu tuntutan fitrah manusia yang bukan mudah untuk dikawal sekiranya orang yang melawan kehendak jasmani ini tidak kuat kawalan dirinya dari segi jasmani, rohani dan mindanya.

Sebab itulah dalam ayat yang mewajibkan kita berpuasa, Allah SWT menjelaskan bahawa puasa itu difardukan “semoga kamu bertakwa” Bertakwa ertinya menjadi orang yang yakin kepada Allah SWT, yakin kepada kekuasaan-Nya, dan hasilnya kita merasa yakin kepada diri sendiri, bahawa segala kawalan dan niat serta peperangan menentang nafsu dan tuntutan badani, yang sering kali melampaui batasan, akan dapat kita lakukan dengan berjaya.

Tindakan menentang arus dan kehendak jasmani manusia ini bukanlah satu perkara yang senang. Oleh itu puasa bagi manusia juga merupakan satu proses melawan kehendak jasmani yang mengakibatkan kelesuan dan kepenatan. Tetapi bagi orang yang telah berniat pada malamnya untuk berpuasa esoknya “kerana Allah Ta’ala” maka pada siangnya ia tidak akan merasa penat dan letih, lapar dan dahaga yang keterlaluan. Ia telah menutup fikiran dan perasaannya terhadap kehendak badaninya untuk makan dan minum serta perbuatan lain yang sering dirangsang oleh nafsu manusia, malah seharusnya ia juga menjelma menjadi manusia yang bersifat dengan sifat malaikat dan orang soleh serta zuhud, tidak mengumpat dan mengeji, buruk sangka dan berdendam kesumat dengan orang lain, harus tolong menolong dan bantu membantu untuk kebaikan dan kebajikan, belas kasihan dan rasa simpati kepada yang tidak bernasib baik, yang dizalimi dan ditindas tanpa hak.

Bagaimana pun kerana tuntutan badani manusia adalah merupakan kehendak “fitrah” kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah SWT menurut sunah alam dan undang-undang tabii ciptaan-Nya juga, maka orang yang sakit, uzur, lanjut umur yang tidak mampu berpuasa, musafir dan wanita yang sedang “uzur” diharuskan berbuka puasa.

Orang sakit memerlukan ubat dan makanan yang dapat membekalkan kekuatan dan ketahanan diri bagi melawan penyakitnya, wanita yang “uzur” mengalami kelemahan fizikal dan emosi yang memerlukan bantuan fizikal, dalam bentuk makanan atau minuman umpamanya untuk menstabilkan fizikal dan mindanya, demikian juga orang yang musafir, terutamanya yang mengalami kepayahan dan keadaan cuaca yang tidak selesa umpamanya, maka makanan dan minuman akan dapat membantu mereka mengatasi kepayahan perjalanan yang jauh itu.

Di samping itu, orang tua atau orang sakit yang tidak dapat berpuasa lagi, mereka diberikan kemudahan untuk menebusnya dengan gantian kebendaan di kira mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkannya. Sedangkan wanita yang uzur, wajiblah menggantikan puasanya itu di luar bulan Ramadhan sebelum menjelangnya bulan Ramadhan yang akan datang, dan sekiranya dibayar selepas bulan Ramadhan berikutnya, maka tebusannya digandakan dengan benda.

Inilah sebenarnya pertimbangan yang diberikan oleh Allah SWT dengan hikmah dan rahmat-Nya untuk manusia ciptaan-Nya yang sememangnya merupakan makhluk jasmani dan rohani, tetapi dalam masa yang sama, manusia itu bukanlah malaikat, dan bukan juga makhluk iblis yang mempunyai sifat hitam putih yang tidak dapat berubah lagi. Manusia mempunyai sifat untuk berubah, dan mampu mengawal dirinya sendiri, mampu bergerak dan bertindak di dalam batas-batas yang ditentukan Allah SWT, terutamanya manusia itu dikurniakan akal fikiran dan minda yang amat tinggi kapasitinya.

Tetapi kita menghadapi manusia Muslim yang amat kompleks dan bermasalah pada hari ini. Kita tidak tahu sangat di mana silap dan salahnya umat Islam dididik, sama ada melalui pendidikan formal, atau tidak formal, sehingga kelihatannya umat yang berjumlah lebih satu bilion di atas muka bumi ini, amat kerdil dan lemah di dalam segala aspek kehidupannya, amat lemah dalam menghadapi cabaran nafsu dan tuntutan fizikalnya, dan amat kucar kacir dalam menguruskan diri dan masyarakat serta negaranya.

“Jihad” yang seharusnya dilancarkan terhadap kemungkaran, nafsu jahat, kejahilan dan kemiskinan, telah diselewengkan kepada jihad menentang sesama umat, membunuh orang yang tidak bersalah, atau melakukan keganasan yang tidak dapat dijustifikasikan oleh syariah sendiri.

Belenggu kemiskinan, kejahilan, buta huruf, cara hidup berperaturan dan berdisiplin, ketamadunan dan kemajuan hidup, masih merupakan angan-angan dan fantasi umat seluruhnya, dan semuanya ini merupakan jati diri yang amat menyeleweng dari jati diri umat Islam seperti yang diprogramkan oleh wahyu Allah SWT bagi umatnya.

Kita mungkin belum sampai ke tahap yang tinggi dalam mempelajari agama kita dan falsafah syariahnya, maka umat kita tidak dapat berfikir dan bertindak di dalam acuan syariah yang merangkumi kehidupan dunia dan akhirat, jasmani dan rohani, ilmu wahyu dan ilmu akal manusia.

Dalam kerangka ini maka dalam ibadat puasa umpamanya, pendekatan pendidikannya secara formal dan tidak formal haruslah diluaskan, bukan hanya sekadar menceritakan hukum sah dan batalnya saja, tetapi hikmah yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian oleh para pelajarnya.

Konsep pendidikan moden dalam pendekatan falsafah pendidikan dan konsep ilmu Islam yang sebenarnya, memerlukan pendekatan bersepadu ketika mentarbiahkan umat Islam, yang bererti bahawa pengajaran ibadat dan falsafahnya tidaklah terpisah daripada semua disiplin ilmu yang ditawarkan di dalam sebuah institusi pendidikan itu. Jentera pendidikan bukan hanya berpusat di dalam kementerian yang tertentu, malah haruslah disokong oleh semua jentera pemerintah dan rakyat.

Sehingga falsafah dan matlamat pendidikan ini dapat diterjemahkan kepada kenyataan dan direalisasikan dengan sebaik mungkin di dalam sistem pendidikan kita, maka sehingga itulah kita akan bertanya, sampai bila kita akan belajar dari hikmah dan rahmat amalan agama kita, termasuklah persoalan di atas, setelah sekian lama kita berpuasa dari tahun ke tahun, apakah kita telah banyak belajar darinya untuk meningkatkan kualiti umat kita di peringkat individu, negara dan umat sejagat.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.