Sepuluh tahun yang berharga – ADC Sultan Ahmad Shah

Sepuluh tahun yang berharga – ADC Sultan Ahmad Shah
Gambar atas: Juru iring tentera (ADC) kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah, Lt Kol Nazatul Rina Lasim. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

 

PEKAN — Tempoh lebih 10 tahun berkhidmat sebagai juruiring tentera (ADC) kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Sultan Abu Bakar menjadi kenangan tidak mungkin dapat dilupakan buat Leftenan Kolonel Nazatul Rina Lasim.

Nazatul Rina, 38, yang berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengakui banyak belajar daripada keperibadian Almarhum yang menjadikan kebajikan orang lain sebagai keutamaan dan sentiasa bermurah hati.

“Saya berbangga kerana dapat berkhidmat dengan Tuanku hingga ke akhir hayat Baginda. Ini pengalaman yang tidak dapat ditukar ganti dan menjadi kenangan tersendiri kepada saya.

“Baginda tetap membenarkan saya untuk menjaga arwah ayah semasa menerima rawatan di hospital, walaupun tugas saya sebenarnya memerlukan saya untuk sentiasa berada di sisi tuanku,” katanya.

Anak jati Kluang, Johor itu ditemui di Istana Abu Bakar di sini hari ini, pada Istiadat Pemakaman Diraja Sultan Ahmad Shah yang mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) pada 8.50 pagi semalam, pada usia 88 tahun.

Mengimbas keperibadian Sultan Ahmad Shah, Nazatul Rina berkata baginda sentiasa ingin mengambil tahu perkembangan rakyat dan mahu menjadi orang pertama jika berlaku bencana terhadap rakyat.

Beliau juga menyifatkan pelantikannya sebagai ADC adalah rezeki tidak dijangka memandangkan beliau dikatakan adalah wanita pertama di negara yang berpeluang menjawat jawatan penting itu.

Sementara itu, Tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan yang turut memberi penghormatan terakhir menyifatkan Sultan Ahmad Shah sebagai seorang yang amat pemurah dan mudah didekati walaupun berkedudukan.

Katanya, perkenalan mereka mula terjalin atas urusan perniagaan dan semakin rapat semasa beliau membangunkan projek pelancongan di Pulau Tioman dan Bukit Tinggi di Pahang.

“Baginda sering bertanya perkembangan pembangunan di dua tempat itu, dan apabila siap dibangunkan, Baginda sering mencemar duli untuk beristirehat di situ.

“Saya akan mencuba untuk berada di Pulau Tioman dan Bukit Tinggi jika Baginda mencemar duli ke situ dan setiap kali, sentiasa melihat Tuanku memberi kurnia kepada pekerja,” katanya.

— BERNAMA

 

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.