[VIDEO] Jenazah Paduka Ayahanda Sultan Pahang selamat disemadikan

0
71
Gambar atas: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengaminkan doa selepas menunaikan solat jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan. NSTP/ MUHD ASYRAF SAWAL

 

PEKAN — Istiadat pemakaman Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di Makam Diraja Pekan, Jalan Sultan Ahmad, dekat sini, selesai sebentar tadi.

Terdahulu, jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah dibawa dari Balairung Seri Istana Abu Bakar, selepas selesai tempoh diberikan kepada rakyat jelata dan orang kenamaan memberikan penghormatan terakhir sejak jam 9 malam semalam.

Kenderaan khas membawa jenazah bergerak meninggalkan perkarangan Istana Abu Bakar kira-kira jam 2.26 petang dan tiba di perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah yang terletak sejauh 2.2 kilometer dari istana, kira-kira sejam kemudian.

Ribuan rakyat jelata berbaris di kiri kanan jalan, sepanjang laluan digunakan kenderaan khas dibawa jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Solat jenazah diimamkan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan disertai ratusan rakyat jelata diadakan di masjid itu sebelum jenazah dibawa ke Makam Diraja Pekan, untuk istiadat pemakaman.

Istiadat pemakaman bermula jam 3.55 petang dengan dihadiri Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom dan semua paduka anakanda Almarhum Sultan Ahmad Shah, termasuklah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman; Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mua’adzam; Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Hajjah Meriam; Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Datuk Muhaini; Puteri Seri Lela Manja Pahang, Tengku Datuk Nong Fatimah dan Puteri Seri Bongsu Pahang, Tengku Datuk Shahariah.

Jenazah Paduka Ayahanda Sultan Pahang disemadikan bersebelahan pusara isterinya, Almarhum Tengku Ampuan Hajjah Afzan Rahimahallah Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad.

-Berita Harian

 

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here