Sultan Ahmad Shah ketepi protokol, mesra wartawan

0
105
Gambar atas: Almarhum Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah melawat mangsa banjir di Pusat Permindahan Banjir  pada 2014.

 

Sultan Haji Ahmad Shah merupakan sultan yang mesra rakyat jelata dan sanggup mengetepikan protokol sehinggakan baginda amat sinonim dengan ungkapan ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.’

 

ALMARHUM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar mangkat pada Rabu sempena hari mulia Nuzul Al-Quran dalam bulan puasa  17 Ramadan 1440 (H) bersamaan 22 Mei 2019.

Almarhum diputerakan pada hari Jumaat 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan merupakan Sultan Pahang ke-5 era moden mula menaiki takhta pada 7 Mei 1974 yang banyak berjasa itu pasti terus kekal dikenang rakyat jelata, terutama ketika zaman pemerintahannya.

Ini kerana Sultan Haji Ahmad Shah merupakan sultan yang mesra rakyat jelata dan sanggup mengetepikan protokol sehinggakan baginda amat sinonim dengan ungkapan ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.’

Sultan Haji Ahmad Shah terkenal prihatin membantu rakyat jelata dalam kesusahan terutama kepada golongan yang ditimpa bencana, termasuk bencana alam banjir besar menyaksikan baginda sanggup berjaga hingga larut malam turun ke lapangan meredah air dan mengarahkan tukang masak istana menyediakan makanan kepada mangsa banjir.

Antara faedah yang diterima daripada kemuliaan dan keprihatinan Sultan Haji Ahmad Shah itu ialah mangsa banjir di Pekan dan Kuantan pada kejadian beberapa tahun dahulu.

Selain terkenal mesra rakyat, Sultan Haji Ahmad Shah juga terkenal mesra wartawan media massa yang datang membuat liputan mengenai aktivitinya sama ada di peringkat negeri mahupun negara.

Penulis ingin mengambil satu kisah Sultan Ahmad Shah mesra wartawan menerusi titahnya yang simbolik sekali gus membuatkan orang mendengarnya perlu berfikir untuk menterjemahkannya.

Kisah ini berlaku ketika penulis bertugas sebagai pemberita wakil daerah akhbar Kumpulan Utusan Melayu di Temerloh, Pahang sekitar 1996-1997.

Penulis ketika itu pergi mengikut Ketua Biro Utusan Melayu, Kuantan iaitu Datuk Haji Alang Ahmad (Allahyarham) untuk membuat liputan Sultan Haji Ahmad Shah mencemar duli menghadiri majlis jamuan petang sempena Aidilfitri di Kerambit, Mela, Lipis, Pahang.

Almarhum Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah memilih juadah berbuka di Bazar Ramadan Taman Kerang sambil dibantu peniaga. / STR/AFIF ABD HALIM

Sultan Haji Ahmad Shah datang ke Kerambit dengan menaiki helikopter, manakala kami datang untuk membuat liputan berita ke majlis itu menaiki kereta melalui jalan dari Temerloh, kemudian Jerantut dan menempuh pula jalan Kuala Tembeling sebelum sampai di Kerambit.

Jamuan Aidilfitri pada petang itu berlangsung penuh meriah dan memang mesra rakyat, malah terdapat insiden Sultan Ahmad Shah berpelukan gembira dengan ‘kenalan rapatnya’ seorang Pegawai Daerah yang turut menghadiri majlis tersebut.

Apabila majlis selesai, penulis dan Haji Alang Ahmad serta beberapa rakan media mengambil keputusan untuk pulang lalu berjalan kaki menuju kereta yang diparkir di sudut padang tidak jauh daripada kedudukan helikopter dinaiki Sultan Haji Ahmad Shah.

Ketika berjalan kaki ke parkir kereta, tiba-tiba sebuah kereta Mercedes berhenti di sisi kanan kami lalu pemandunya menurunkan cermin kenderaan itu.

Pemandu kereta itu ialah Sultan Haji Ahmad Shah dan rakannya di kerusi penumpang depan pula merupakan pemilik kenderaan tersebut ialah Exco Pahang, Datuk Omar Othman.

“Haaa…. adalah lagi awak Haji Alang…. saya sangka awak dah bertukar ke Melaka….?” Titah Sultan Haji Ahmad.

“Ada…. patik tak ke mana, masih berada di Pahang,” balas Haji Alang Ahmad, mungkin dia faham dengan soalan simbolik sultan yang tujukan kepadanya itu, tetapi diberikan jawapan lurus sahaja.

Tak kisahlah apa yang mereka perkatakan itu sebagai kemesraan seorang sultan dengan wartawan yang sudah lama dikenalinya sejak tahun 1960-an lagi.

Sultan Haji Ahmad Shah memang sudah lama tidak berjumpa dengan Haji Alang Ahmad dan hubungan mereka renggang gara-gara media cetak dan media elektronik banyak mendedahkan pemilikan kekayaan peribadi dan hal yang tidak sepatutnya terhadap Raja-Raja Melayu di negeri yang beraja, kecuali negeri yang tidak beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Almarhum Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bermesra dengan seorang kanak-kanak selepas bersembahyang sunat Hari Raya Aifilfitri di Masjid Sultan Haji Ahmad 1 di Kuantan. / NSTP Halim Mat Ali

Insiden ‘serangan’ kepada Raja-Raja Melayu itu berlaku semasa ‘krisis Perlembagaan’ untuk menghapuskan kekebalan kuasa raja semasa Malaysia dahulu di bawah pentadbiran Perdana Menteri keempat, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun).

Selepas bertitah ringkas kepada Haji Alang Ahmad dalam insiden spontan itu, Sultan Haji Ahmad Shah meneruskan pemanduan Mercedes itu menuju ke helikopter di tengah padang perkampungan Kerambit tersebut.

Bagi kami pula terus berjalan kaki menuju ke kereta. Perjalanan pulang kami ke Temerloh dan Kuantan itu menaiki kereta pandu oleh Haji Alang Ahmad.

“Awak semua tadi tengok sendiri begitu mesranya Sultan Haji Ahmad Shah kepada wartawan. Sanggup hormat berhentikan kereta untuk bertanya perkembangan Abang Aji,” kata Haji Alang Ahmad yang membahasakan dirinya sebagai Abang Aji itu.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ketika menyertai sukan air sewaktu melawat Kampung Almarhum Bantal, Hulu Tembeling pada 1976. / IHSAN KOLEKSI SUK PAHANG

Setelah beberapa ketika kemudiannya, Haji Alang Ahmad menyambung, “memang Abang Aji renggang dengan Sultan Haji Ahmad Shah selepas Abang Aji turut terlibat mendedahkan ke akhbar berita yang tak sepatutnya mengenai Tuanku, tapi Abang Aji terpaksa kerana majikan di Kuala Lumpur suruh buat berita itu.

“Bagaimanapun Abang Aji memang puji, tabik kepada Tuanku (Sultan Haji Ahmad Shah) kerana dirinya memang gentleman tak ada marah-marah secara terbuka kepada media massa yang melakukan serangan bertubi-tubi kepada raja ketika itu, malah Tuanku juga yang berperanan meredakan pergeseran isu kekebalan kuasa raja di antara pihak Kerajaan Pusat dengan istana,” sambung Haji Alang Ahmad ketika kereta yang dipandunya terus meluncur di jalan raya melalui Jerantut sebelum membelok ke Temerloh.

Semua detik bermakna tersebut sudah tinggal kenangan yang menyentuh perasaan. Wartawan hebat Haji Alang Ahmad juga dikenali ramai sebagai ‘Wartawan Mat Kilau’ kerana berjaya membuat ‘scoop story’ mengenai kemunculan semula pahlawan Pahang bernama Mat Kilau di Pulau Tawar, Jerantut pada 1969.

Haji Alang Ahmad meninggal dunia dalam usia 80 tahun di Kuantan kerana komplikasi batu hempedu di Kuantan pada 17 Mac 2019, kemudian disusuli pula dengan kemangkatan Sultan Haji Ahmad Shah ketika berusia 88 tahun di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 17 Ramadan 1440 (H)  bersamaan 22 Mei 2019.

Sultan Haji Ahmad Shah bukan sahaja terkenal di peringkat negeri Pahang, malah hingga ke peringkat negara kerana baginda pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh (26 April 1979 hingga 25 April 1984).

Semasa bertakhta sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Haji Ahmad Shah turut menyarankan kepada pelajar Islam di semua sekolah supaya memakai tudung kepala dan seruan dakwah itu turut menjadikan semua peringkat Muslimah tanpa mengira status usia mula bertudung sesuai dengan tuntutan syarak.

Almarhum Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (barisan depan, kanan sekali) juga aktif bemain hoki. /IHSAN KOLEKSI SUK PAHANG

Sebenarnya banyak tak terkira akan jasa atau kebaikan yang dicurahkan oleh Sultan Haji Ahmad Shah kepada rakyat jelata, termasuklah keprihatinannya beberapa kali melawat projek Jambatan Kuala Krau melintasi Sungai Pahang untuk ke bandar Jengka supaya siap mengikut jadual yang kini jambatan itu memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung tradisional dan penghuni Felda Gugusan Jengka.

Sultan Haji Ahmad Shah mempunyai ketajaman penghayatan kerana baginda berupaya melihat aspirasi rakyat jelata di kawasan kampung tradisional dan Felda Gugusan Jengka menerusi keperluan membina jambatan baharu di Kuala Krau disebabkan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) tidak melalui kawasan Kuala Krau-Jengka, sedangkan jambatan itu penting untuk menyingkatkan perjalanan ke bandar Jengka serta menyaksikan limpahan menyeluruh pembangunan negeri.

Sebaliknya LPT hanya membina jambatan baharu merentasi Sungai Pahang di Temerloh terletak hanya pada jarak lima minit pemanduan kenderaan dari jambatan lama Temerloh.

Dalam arena sukan pula Sultan Haji Ahmad Shah begitu terkenal berperanan dalam pembangunan sukan bola sepak di peringkat Malaysia, ASEAN dan Asia.

Almarhum pernah dipilih menyandang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula 1984-2014, Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 1994-2002 dan Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2011.

Potret Almarhum Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah semasa muda. / IHSAN KOLEKSI SUK PAHANG

Setelah mendapat pendidikan dalam negara, Sultan Haji Ahmad Shah melanjutkan pengajian di Universiti College Exeter, Devon, England (1951-1953). Antara jawatan yang disandang baginda sekembalinya ke tanah air ialah sebagai Pegawai Pemerintah, Pasukan Infantri Ke-12 Batalion Askar Wataniah di Kem Batu 5, Mentakab, Pahang.

Kini segala jasa Sultan Haji Ahmad Shah akan tetap dikenang dan dihargai. Antara bangunan yang mengabadikan nama baginda ialah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, Pahang.

Sultan Haji Ahmad Shah sendiri ketika gering sanggup menyerahkan takhta kepada anakandanya Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah pada 12 Januari 2019. Seterusnya Al-Sultan Abdullah dilantik pula sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berkuat kuasa pada 31Januari 2019.

Sebagai hamba Allah yang baik, maka terdapat banyak kelebihan pada Sultan Haji Ahmad Shah, antaranya mangkat pada hari Nuzul Al-Quran dalam bulan mulia Ramadan penuh berkat dan cuaca redup bagaikan alam turut sama berduka ketika upacara pemakaman baginda di Makam Diraja Pekan, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang pada petang Khamis bersamaan 23 Mei 2019.

Semoga roh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dicucuri rahmat dan ditempatkan ke dalam golongan orang beriman oleh Allah SWT. Al-Fatihah.

—BebasNews

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here