Kini hanya menunggu kesanggupan MOM

Kini hanya menunggu kesanggupan MOM

 

Wang daripada kerajaan untuk disalurkan kepada MSN juga dikatakan tidak secepat seperti dijangka.

 

DALAM setiap Sukan SEA atau SEAP,  penyertaan rombongan Malaysia dibiayai sebahagian besar oleh kerajaan. Sebahagiannya pula oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Penyertaan ke sukan berbentuk temasya ini dipertanggungjawabkan kepada MOM yang bertindak sebagai penyelaras. Jadi pembahagian dari segi belanja untuk menyertai adalah antara Kerajaan Persekutuan dengan MOM.

Kebelakangan ini, Majlis Sukan Negara (MSN) membayar kos penginapan, makan-minum dan kos pengangkutan untuk mengambil bahagian. Kos persediaan atlet seperti latihan juga disediakan MSN. Lain-lain belanja secara umum dibiayai MOM seperti pakaian latihan, pakaian seragam, beg, kasut.

Sejak pertubuhan Olimpik di negara diwujudkan pada tahun 1953, MOM sentiasa menikmati sokongan kerajaan kecuali masalah menyertai Sukan Olimpik di Rome pada 1960.

Sewaktu Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein menjadi Presiden MOM, Jabatan Perdana Menteri (JPM) sentiasa membantu dalam hal penyertaan. Setiausaha MOM ketika itu, Thong Poh Nyen merupakan pegawai yang amat berdiplomatik dan sentiasa disenangi pegawai tinggi kerajaan.

Tan Sri Mohamed Rahmat sewaktu menjadi seorang daripada Naib Presiden MOM turut memastikan pihak JPM menghulurkan pelbagai bantuan dalam penyertaan negara ke temasya antarabangsa seperti Sukan Asia, Komanwel, Olimpik termasuk Sukan SEA.

Kini Sukan SEA XXX di Filipina bermula 30 November hingga 11 Disember 2019. Apakah MSN bagi pihak kerajaan bersedia membantu apa yang dilaksanakan sebelum ini?

Sejak akhir-akhir ini nampaknya persediaan pasukan negara ke Filipina tidaklah selancar dahulu. Wang daripada kerajaan untuk disalurkan kepada MSN juga dikatakan tidak secepat seperti dijangka. Jadi ini tentu mengganggu persediaan MSN menjelang temasya dan membayangkan kesukaran menokok sebahagian daripada belanja menghantar kontinjen ke Filipina.

Jika ini benar-benar terjadi, apakah MOM bersedia membantu MSN dalam dua perkara itu? Persediaan atlet dengan lebih tersusun dan memastikan semua belanja ke temasya berkenaan dapat diuruskan.

Banyak pertubuhan Olimpik negara luar mengurus dan berbelanja sendiri dalam penghantaran atlet ke temasya sukan dimaksudkan. Soal bagaimana mereka mendapatkan sumber kewangan tertakluk kepada pengurusan mereka sendiri. Jadi apakah MOM akan bertindak sedemikian jika MSN benar-benar bermasalah tahun ini?

Persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang terbabit dalam Sukan SEA perlulah juga menyediakan sendiri atlet masing-masing dengan tidak hanya bergantung harap kepada MSN sahaja. Fahamilah fungsi masing-masing!

Bagi MOM, sudah sampai masanya untuk berjiwa besar lebih-lebih tugas hakikinya dalam urusan menyelaras penyertaan kontinjen negara ke pesta sukan sebegini.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.