[VIDEO] ‘Kami ingin lihat keindahan syurga’

[VIDEO] ‘Kami ingin lihat keindahan syurga’
Gambar atas: Kemerduan suara Iskandar mengaji membuatkan ahli rombongan MyCare dan Econsave serta media terpegun.
Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

 

LOMBOK- Alunan suaranya yang merdu semasa mengaji amat menyentuh perasaan.

Membuatkan penulis bukan sahaja terpegun, malah amat mengagumi anugerah Allah SWT yang amat indah dan istimewa bagi setiap umat-Nya.

Walaupun dilahirkan cacat penglihatan, namun Iskandar Jumasah, 20, nyata ‘celik’ hatinya amat dapat mengaji dengan baik.

Seperti juga rakan-rakannya, Iskandar tidak pernah menyesali kekurangan diri dilahirkan cacat penglihatan.

Selain bijak mengaji, pemuda istimewa tersebut juga pandai bermain gitar.

Nyata petikan gitarnya amat serasi dengan kemerduan suara rakannya, Eliani Dewi Mukhir, 17, ketika mengalunkan lagu ‘Ya Maulana’ yang popular ketika ini.

Penulis sekali lagi terpaku dan sebak apabila ada penghuni rumah Yayasan Tuna Netra Al-Masyar yang memberitahu mereka tidak minta untuk diberi kesempatan melihat dunia, tetapi sentiasa berdoa untuk diberi penglihatan untuk menyaksikan keindahan syurga nanti.

Sempena kehadiran Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MyCare dan Pasar raya Econsave hadir memberi ‘senyuman’ kepada 60 penghuni rumah berkenaan.

Selain duit raya, Pengerusi MyCare Johor,  Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar dan Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada yayasan berkenaan yang memberi pendidikan kepada golongan cacat penglihatan.

Sebelum ini, pihak MyCare turut memberi sumbangan untuk membaik pulih asrama mereka, khususnya bahagian bumbung yang runtuh akibat gempa pada tahun lalu.

Mohd. Zin berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban yang ditanggung yayasan tersebut.

“Kita juga berharap bantuan ini dapat memberi keselesaan penghuni, iaitu anak-anak yang cacat penglihatan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan berkenaan.

Rombongan MyCare dan Econsave yang disertai beberapa ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil media turut menziarahi Pengasas yayasan berkenaan, Abdullah Masyar, 70, yang diserang angin ahmar sejak lapan tahun lalu.

Mereka turut menghulurkan sumbangan kepada beliau yang menubuhkan yayasan tersebut sejak 1979.

—BebasNews

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.