JAIS junjung titah Sultan Perak

Di Selangor, JAIS mendapat kerjasama yang baik daripada ahli politik dan mematuhi semua peraturan dan larangan yang berkuatkuasa.

JAIS junjung titah Sultan Perak

SHAH ALAM — Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjunjung tinggi titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah berhubung larangan program dengan menggunakan nama parti politik di masjid.

Pengarahnya Datuk Haris Kasim berkata, titah Sultan Nazrin itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini berhubung perkara sama.

“Sultan Selangor juga pernah bertitah bahawa masjid dan surau di Selangor sama sekali tidak boleh digunakan sebagai tempat kegiatan parti politik dan perkara ini sudah jelas dinyatakan dalam Peraturan 70 (2) (C) dan (e) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2017.

“Sehubungan itu, di Selangor, JAIS mendapat kerjasama yang baik daripada ahli politik dan mematuhi semua peraturan dan larangan yang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Sultan Nazrin memperkenankan mana-mana Pengerusi Jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti politik, digantung jawatan, sementara siasatan dilakukan.

Selaras itu, baginda memperkenan tanggungjawab bagi jawatan itu diserahkan kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah, selaras dengan Peraturan 10(2), Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak 2015.

Baginda memberi perkenan terhadap cadangan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, itu dan menitahkan Mohd Yusop melakukan siasatan lengkap untuk dipersembahkan kepada baginda terhadap program dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.

Ia berlaku di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, dan di Surau Al-Ittihad Kampung Temiang Ipoh pada 24 Mei, serta program atas nama parti politik yang dilangsungkan di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei.

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.