Kerajaan setuju hapus kira RM3.8 bilion pinjaman bekalan air luar bandar

projek bekalan air luar bandar tidak lagi dibiayai dalam bentuk pinjaman mudah Kerajaan Persekutuan tetapi akan diperuntukkan secara geran di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Kerajaan setuju hapus kira RM3.8 bilion pinjaman bekalan air luar bandar

PUTRAJAYA — Kerajaan Persekutuan bersetuju  menghapuskan kira pinjaman projek bekalan air luar bandar Kerajaan Negeri bagi 2001 dan ke atas berdasarkan baki belum selesai 31 Disember 2018 berjumlah RM3.8 bilion.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata hapus kira pinjaman itu adalah tertakluk kepada Kerajaan Negeri memuktamadkan Skim Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negara selewat-lewatnya 31 Disember 2019.

Beliau berkata, projek bekalan air luar bandar tidak lagi dibiayai dalam bentuk pinjaman mudah Kerajaan Persekutuan tetapi akan diperuntukkan secara geran di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Pelaksanaan hapus kira ini diharapkan dapat mempercepatkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air, mengurangkan beban kewangan tahunan negeri serta memastikan faedah berterusan dapat dinikmati oleh rakyat pada jangka masa panjang.

“Pada masa yang sama, syarikat pengendali air negeri boleh memfokuskan kepada penambahbaikan kualiti perkhidmatan bekalan air,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2019 di sini, hari ini.

Mesyuarat berkenaan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Ketua Menteri dan Menteri Besar.

Pada mesyuarat itu, Dr Mahathir berkata, Majlis Kewangan Negara bersetuju meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membiayai kadar baharu Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) mulai  2019.

Beliau berkata, tambahan peruntukan itu bertujuan melindungi kawasan perlindungan hutan dan marin serta bagi membantu negeri yang berpendapatan rendah melaksanakan program atau projek bagi meningkatkan hasil negeri.

Beliau berkata, Majlis Kewangan Negara juga bersetuju pemberian Cukai Pelancongan menjadi satu pemberian baharu kepada Kerajaan Negeri mulai 2019.

Pemberian itu, jelasnya, adalah berdasarkan agihan 50 peratus hasil kutipan Cukai Pelancongan di negeri.

“Pemberian ini adalah bagi membantu Kerajaan Negeri menyenggara dan menyediakan kemudahan pelancongan, mempromosi dan memasarkan destinasi pelancongan dan menambah baik pelaporan statistik pelancongan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) ditambah baik.

Antaranya termasuk memperluaskan perbelanjaan yang dibenarkan untuk membiayai penyenggaraan jalan yang tidak mencapai piawaian minimum Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tidak didaftarkan di dalam Sistem MARRIS dalam talian serta perbelanjaan menaik taraf jalan / jambatan /parit/longkang dengan had tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar penyenggaraan tahun sebelumnya atau RM15 juta, yang mana terendah.

–Berita Harian

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.